June 2008

Monthly Archive

KAD KREDIT…OH…KAD KREDIT!

Posted by Thinkerich on 30 Jun 2008 | Tagged as: Kepenggunaan

Salam pembaca PemikirKaya,

Beberapa hari kebelakangan ini, fikiran saya asyik tertumpu pada isu Kad Kredit. Apabila saya terlalu memikirkannya secara tak sengaja saya bertemu dengan pelbagai perkara yang berkaitan dengannya.

Itukah agaknya yang dikatakan kesan ‘Law of Attraction’….

Saya dapat tahu rakan saya sedang menghadapi masalah untuk menyelesaikan baki hutang kad kreditnya. Beliau hanya memiliki 2 kad, satu Mastercard dan satu lagi Visacard kedua-duanya dikeluarkan oleh Bank yang sama.

Kedua-duanya mempunyai had kredit maksima RM3,500. Ini bermakna beliau mempunyai keupayaan untuk berhutang sejumlah RM7,000! walaupun gaji bulanannya hanyalah purata dalam RM3,000 sahaja.

Beliau telah membelanjakan sekitar RM5,500 daripada kedua-dua kad kredit tersebut (termasuk caj terkumpul dan penalti yang gagal dijelaskan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan) dan hanya membayar antara RM100 hingga RM150 sebulan sahaja.

Saya bertanya kepadanya, “Adakah Anda Sedar Perubahan Caj Kad Kredit Anda?”

Beliau hanya mengeleng-gelenkan kepalanya tanda tidak tahu.

Seacara tiba-tiba beliau berkata kepada saya, “Engkau juga mesti mempunyai masalah yang sama dengan aku!” balasnya dengan penuh keyakinan.

Saya agak terkejut lalu membalasnya, “Oh, sudah tentu tidak!”

Rakan saya itu agak terperanjat dan tidak percaya dengan jawapan yang saya berikan itu…

Selepas saya memberikan penerangan secara ringkas, beliau agak terkejut dengan apa yang saya sarankan kepadanya.

Ini kerana sebelum ini beliau berfikiran dan beranggapan, sudah menjadi satu kemestian untuk mempunyai baki tertunggak setiap bulan dalam bil kad kredit setiap orang.

Beliau juga percaya bahawa dalam menggunakan kad kredit, pemegang atau pun pengguna hanya perlu bayar minima RM50.00 atau lebih…(beliau hanya membayar dalam RM100 ke RM150 sahaja sedangkan baki tertunggak mencecah 4 angka!) Itulah lebih pada fikirannya.

Sekarang saya mulai faham bahawa seseorang itu akan bertindak sebagaimana yang beliau percaya apa yang orang lain lakukan tanpa cuba memahami sesuatu itu dengan kaedah atau konsep yang sebenar!

Apabila mendapat tahu perkara ini dan juga maklum balas yang diberikan oleh AbahFateh dalam ruangan komen dalam blog PakDI saya agak terkedu… mendapat tahu perkara sebegini berlaku dalam masyarakat pengguna kad kredit.

Ini kerana di dalam fikiran dan minda saya, penggunaan kad kredit perlulah dibayar sepenuhnya apabila bil bulanan diterima sebelum tiba tarikh akhir bayaran tanpa caj.

Saya percaya dan memahami kaedah tersebut dan bukannya hanya bayar minima RM50 sebagaimana yang dipraktikkan oleh pengguna lain.

Jadi jika anda berfikiran bahawa memiliki baki tertunggak itu sesuatu perkara yang perlu bagi penggunaan kad kredit, Anda sebenarnya SILAP!

Mulai sekarang anda kena pastikan bahawa, setiap perbelanjaan yang telah anda gunakan pada kad kredit tersebut perlulah dibayar SEGERA sebelum tamat tempoh tarikh tanpa caj.

Jika tidak tanpa anda sedari, anda akan terus menjadi hamba kepada pihak Bank kerana sepanjang masa terpaksa membayar interest atau faedah kepada bank setiap kali kad anda digunakan untuk perbelanjaan anda.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Berapa banyak wang yang anda boleh perolehi sekiranya anda ketahui rahsia kelapan-lapan jutawan ini?
+Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, mentor kepada mentor!
+Azizi Ali, Jurulatih jutawan
+Chef Li (Dato’ Dr Rusly), Jutawan Senyap
+Dato’ Dr Azman Ching (Jutawan MLM)
+Billi Lim, Jutawan Berani Gagal
+Dato’ Hussamuddin, Pengasas Karangkraf
+Abang Abu, Usahawan/Motivator/Jutawan
+Irfan Khairi, Jutawan Internet

KEMAMPUAN LEBIH HEBAT DARI WANG!

Posted by Thinkerich on 28 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca PemikirKaya!

Tahukah anda bahawa kemampuan yang ada di dalam diri anda adalah jauh lebih hebat daripada wang yang anda miliki!

Ini kerana wang yang anda miliki mungkin boleh hilang atau dicuri sebaliknya kemampuan yang ada pada diri anda tidak mungkin hilang atau dicuri!

Jika anda mengkaji kehidupan orang yang berjaya dalam usaha niaga perniagaan mahu pun pelaburan, jarang sekali mereka sentiasa kekal berada dalam keuntungan sepanjang masa.

Sebaliknya mereka seringkali gagal dan mengalami kerugian beberapa kali sebelum kembali mencatatkan keuntungan dan kejayaan!

Mengapa mereka berupaya memulihkan semula kegagalan kepada kejayaan? Kerugian kepada keuntungan?

Jawabnya hanyalah satu! kerana mereka tahu bahawa mereka memiliki KEMAMPUAN untuk berusaha dan bertindak mengatasi kegagalan dan juga kerugian yang bersifat sementara.

Begitu jugalah dengan kemampuan ramai kaum lelaki yang berusaha memikat Perempuan, Gadis, Wanita dan Wang…

Mereka tidak pernah berputus asa kerana mereka tahu akan kemampuan mereka untuk memperolehinya…

Maka fahamilah bahawa, kemampuan anda adalah suatu perkara yang dapat anda miliki sepenuhnya…tiada siapa yang dapat merampasnya daripada anda!

Salam kekayaan,

THINKERICH

BERNIAGA BUKAN KERANA WANG?

Posted by Thinkerich on 26 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca PemikirKaya!

Anda pasti tertanya-tanya;

“Apakah maksud sebenar saudara Thinkerich dengan tajuk artikel kali ini, berniaga bukan kerana wang?”

Anda mungkin bertanya lagi….”Bukankah tujuan utama usaha niaga itu untuk mendapatkan keuntungan wang?”

Baiklah, para pembaca yang budiman, biarlah saya jelaskan apa maksud sebenar saya!

Tetapi sebelum itu saya ingin bertanya kepada anda, apakah Anda Suka Berniaga? Atau Suka Duit?

Ini kerana kedua-dua jawapan yang bakal anda berikan nanti akan memberikan makna yang berbeza-beza.

Jika sekiranya anda ingin berniaga, jangan letakkan wang sebagai matlamat utama…(walaupun tujuan utama berniaga adalah untuk dapatkan keuntungan wang!)

Sebaliknya, letakkannya sebagai perkara No.2…

Ini kerana jika anda jadikannya sebagai keutamaan, anda akan cepat kecewa dan putus asa apabila usaha permulaan anda tidak mendatangkan sebarang hasil…

Akibatnya anda akan ‘give up’ dan seterusnya enggan mencuba lagi kerana anda akan beranggapan ianya tidak memberikan pulangan dan hasil yang menguntungkan anda.

Apa yang patut anda lakukan pada peringkat permulaan perniagaan hanyalah sebagai asas untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam dunia perniagaan.

Anda tidak boleh menaruh harapan yang terlalu tinggi pada peringkat permulaan, walaupun pada asasnya anda perlu berpandangan jauh dengan misi dan visi untuk mencapai kejayaan.

Jika anda terlalu mengharapkan pulangan berlipat ganda dalam masa yang singkat sebaik menceburi bidang perniagaan dikhuatiri anda akan merasa hampa jika apa yang anda impikan tidak berhasil.

Oleh itu, letakkan matlamat untuk belajar dan mengetahui selok belok perniagaan untuk tiga bulan yang pertama, jika anda dapat mencatat sedikit keuntungan, itu adalah sesuatu petanda yang baik.

Namun jika anda beroleh hasil yang lumayan pada peringkat ini, seharusnya ianya meningkatkan motivasi anda dan menggunakan sebahagian daripada keuntungan tersebut untuk dilaburkan semula.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Pelajari Minda, Strategi dan Teknik Kekayaan 8 Ikon Jutawan Malaysia!
Kini, ikon usahawan Jutawan, Jurulatih Jutawan, Jutawan MLM, Jutawan Senyap, Jutawan Berani Gagal dan Jutawan Internet mendedahkan strategi SEBENAR DAN SATU-SATUNYA CARA bagaimana ANDA boleh mencapai kejayaan dalam bidang kewangan dengan cepat!

RANCANG MATLAMAT KEWANGAN!

Posted by Thinkerich on 24 Jun 2008 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca PemikirKaya!

Kebolehan mengurus wang anda dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya anda boleh berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya melebihi kemampuan.

Realitinya terlalu ramai masyarakat di dunia nyata yang gagal mengurus kewangan mereka apatah lagi untuk mencapai matlamat kewangan.

Dalam pengurusan kewangan perkara yang paling penting adalah Matlamat Kewangan!

Untuk memudahkan pemaaman anda semua, matlamat ini bolehlah di umpamakan sebagai arah tuju dan destinasi perjalanan anda.

Cuba anda bayangkan sendiri jika anda bercadang ingin keluar melancong tanpa arah tuju dan matlamat yang pasti?

Sudah tentu sukar bukan?

Jadi untuk memudahkan tugas anda maka sebelum anda memulakan perjalanan perlulah anda bersiap sedia lebih awal.

Umpamanya anda perlu merancang untuk pergi ke mana, kemudian apakah pengangkutan yang anda ingin gunakan sepanjang perjalanan ke sana,dan berpa hari yang anda perlukan.

Dalam soal pengurusan kewangan, anda juga perlu lakukan perkara yang sama seperti apakah matlamat kewangan anda(ke mana anda mahu pergi), kemudian apakah kemudahan atau alat kewangan yang anda perlukan untuk mencapai matlamat kewangan anda itu(pengangkutan) dan berapa lama tempoh masa yang anda perlukan untuk capai semua itu.

Anda kena rancang, rancang dan rancang dengan terperinci!

Jika anda telah melaksanakan perancangan tersebut, sekurang-kurangnya anda sudah ada panduan atau peta dalam perjalanan kewangan anda.

Peta sahaja tidak cukup!

Anda juga perlukan kompas!

Ya, kompas untuk membimbing anda sepanjang perjalanan tersebut agar anda tidak jauh menyimpang daripada matlamat asal kewangan anda!

Jadi siapa dan apakah yang harus anda gunakan sebagai kompas ini?

Mudah sahaja, anda boleh dapatkan nasihat perunding kewangan yang profesional. Jika anda tidak mampu, anda boleh dapatkan seorang mentor yang telah berjaya dalam bidang kewangan.

Anda juga boleh menjadikan buku-buku kewangan sebagai kompas hidup anda dan jika inginkan yang percuma anda juga boleh layari maklumat di Blog-blog kewangan yang banyak terdapat di dalam internet.

Anda harus ingat bahawa Anda perlu mengawal kewangan anda meskipun anda tidak mempunyai masalah kewangan.

Cara anda menggunakan wang anda pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara anda hidup pada masa akan datang.

Tambahan lagi, terdapat kemungkinan bagi anda untuk menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan anda seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga.

Saranan saya, rancang dahulu kewangan dan sediakan matlamat yang jelas jika anda benar-benar serius dalam pengurusan kewangan anda!

Salam kekayaan,

THINKERICH

Berapa banyak wang yang anda boleh perolehi sekiranya anda ketahui rahsia kelapan-lapan jutawan ini?
+Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, mentor kepada mentor!
+Azizi Ali, Jurulatih jutawan
+Chef Li (Dato’ Dr Rusly), Jutawan Senyap
+Dato’ Dr Azman Ching (Jutawan MLM)
+Billi Lim, Jutawan Berani Gagal
+Dato’ Hussamuddin, Pengasas Karangkraf
+Abang Abu, Usahawan/Motivator/Jutawan
+Irfan Khairi, Jutawan Internet

BERTINDAKLAH SEKARANG !

Posted by Thinkerich on 22 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog Pemikir Kaya!

Saya percaya hari ini ramai di antara anda yang sedang mengalami masalah kewangan. Apatah lagi dengan keadaan ekonomi dunia dan negara yang kurang baik kebelakangan ini.

Kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia akhir-akhir ini benar –benar memberi kesan ke atas ekonomi dunia, negara dan juga diri anda!

Situasi dan keadaan seperti itu adalah satu perkara yang berada diluar kawalan dan kemampuan kita sebagai seorang individu.

Apa yang perlu dan boleh anda lakukan sekarang adalah untuk bertindak mengatasi kesan tersebut yang kini mencengkam masalah kewangan anda.

Jika anda masih lagi berada ditakuk lama, duduk diam sekadar menjadi pemerhati kepada kesan ekonomi sekarang dan pada masa yang sama terus merungut, percayalah anda tidak akan kemana, bahkan yang paling teruk anda akan berada jauh dibelakang dengan kedudukan kewangan yang semakin merosot!

Anda perlu memanfaatkan keadaan dan situasi sekarang dengan merangsang dan mendorong diri anda untuk berubah!

Jadikannya sebagai tekanan untuk anda BERTINDAK!

Maka berubahlah kearah kedudukan kewangan yang lebih baik.

Adalah lebih baik anda bertindak dengan merungut dengan kelemahan kewangan diri anda sendiri daripada merungut dan menyalahkan orang lain pada masa ini!

Anda boleh merubah diri anda, tetapi sudah tentu untuk merubah kedudukan ekonomi dunia dan negara adalah diluar kemampuan dan kawalan anda.

Justeru itu, saya menyarankan agar anda mula bertindak memperkemaskan pengurusan kewangan diri anda untuk generasi anda akan datang.

Jangan pentingkan diri sendiri! Bertindaklah sekarang agar suatu masa nanti nama anda akan diingati dan menjadi kebanggaan anak cucu anda pada generasi yang akan datang.

Anda tentu sudah tahu kenapa anda masih hidup dalam kesempitan dan dibelenggu masalah kewangan pada masa in.

Biar saya jelaskan, ini adalah  kerana anda masih lagi mencontohi dan mewarisi pengurusan kewangan daripada keluarga anda yang terdahulu.

Dapat wang sekadar membayar bil bulanan dan cukup makan dan pakai tanpa memikirkan keperluan masa hadapan yang lebih penting.

Anda tidak seharusnya hanya berfikiran untuk hidup pada hari ini sahaja kerana ianya seolah-olah mementingkan diri anda sendiri sahaja.

Dengan berfikiran seperti itu, sudah tentu anda tidak akan membuat perancangan untuk masa hadapan apatah lagi membuat perancangan dan persediaan untuk menghadapi situasi dan ekonomi yang tidak menentu seperti hari ini.

Ianya tidak ubah seolah-olah anda menganggap rezeki yang anda terima hari ini adalah untuk diri dan keluarga anda sahaja. Walhal anda perlu sedar sebahagian yang anda perolehi itu ada hak orang lain yang perlu anda tunaikan. Maka perlulah anda sumbangkannya…

Jadi mulai sekarang bertindak mengkaji semula matlamat kewangan diri anda dan keluarga. Ini kerana bagi mereka yang berkeluarga sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar untuk pendidikan anak-anak.

Bagaimana pula dengan hidup anda?

Adakah anda bersara hanya pada tempoh perkhidmatan anda tetapi sebaliknya anda perlu terus bekerja keras selepas itu mencari pekerjaan lain untuk menampung hutang piutang anda yang tidak berkesudahan, makan minum anda dan yang paling sukar adalah berhadapan dengan ekonomi masa depan yang lebih mencabar! Renung-renungkanlah…

Bertindaklah sekarang!

Salam kekayaan,

THINKERICH

APA YANG ANDA TUNGGU…?

Posted by Thinkerich on 19 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca Blog PemikirKaya!

Terlalu ramai orang yang menghabiskan masa seluruh hidup mereka menunggu peluang datang kepada mereka.

Kesudahannya mereka tidak memperolehi apa-apa kejayaan. Akibat menunggu peluang, anda terpaksa membayar harga yang mahal pada kehidupan anda…

Jika anda masih belum merancang apa yang ingin anda capai dalam hidup ini, janganlah bertangguh walau seminitpun!

Apabila anda telah mempunyai ketetapan matlamat yang dilahirkan bersama perasaan dan emosi membara untuk mencapai matlamat anda, saya percaya anda boleh meraih kejayaan tersebut.

Apabila anda tahu apa yang anda inginkan dan bagaimana anda hendak mendapatkannya dalam hidup anda, maka ianya akan menjadi lebih mudah dalam apa bentuk usaha sekalipun.

Jadi saranan saya, jika anda ada idea “Lakukan sahaja” atau kata Nike, “Just Do It”, jangan sekali-kali menunggu peluang untuk datang menemui anda.

Ini kerana peluang tidak perlu ditunggu sebaliknya andalah yang perlu mencipta peluang dalam hidup anda!

Salam kekayaan,

THINKERICH

GAJI 2 KALI SEBULAN KAKITANGAN AWAM

Posted by Thinkerich on 18 Jun 2008 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog PemikirKaya.com,

Berita Harian hari ini melaporkan bahawa gaji 2 kali sebulan kakitangan awam belum muktamad.

Satu langkah pembetulan sedang diambil oleh pihak kerajaan dikala begitu terburu-buru mengambil keputusan itu dan ini sejak pengumuman kenaikan minyak beberapa minggu yang lalu.

Pada pandangan saya tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk membayar gaji kakitangan awam 2 kali sebulan adalah satu langkah yang bermatlamat untuk membantu kakitangan awam, cumanya cadangan tersebut tidak dilihat pada ‘realiti’ sebenar kedudukan kewangan dan ‘pengurusan’ kewangan peribadi kakitangan awam.

Mungkin cadangan itu diambil pada asalnya untuk membantu kakitangan awam dalam menguruskan aliran tunai mereka, namun begitu pihak kerajaan mungkin lupa atau terlupa bahawa kebanyakan kakitangan awam ini berpendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan.

Cakap-cakap dan bantahan jelas menyatakan rasa kurang senang daripada beberapa wakil kesatuan kerja yang bernaung di bawah CUEPACS, yang berpendapat ianya lebih banyak menimbulkan masalah dalam pengurusan kewangan mereka.

Ini disebabkan oleh komitmen mereka yang rata-rata membuat potongan ke atas perbelanjaan besar seperti pembiayaan perumahan yang mewakili 40% daripada wang gaji mereka, 30% daripada pinjaman kenderaan dan mungkin potongan lain yang pelbagai lagi.

Ini belum diambil kira dengan pinjaman peribadi yang mungkin mencecah 20% daripada pendapatan mereka dan juga hutang kad kredit yang tidak berkesudahan.

Pelaksanaan bayaran gaji 2 kali sebulan dikhuatiri bakal mengundang masalah lain yang lebih teruk iaitu keadaan dimana kakitangan awam akan bergantung kepada Kad Kredit untuk menampung membiayai kehidupan bulanan mereka.

Perkara ini tidak mustahil boleh berlaku kerana jika setiap 15 haribulan mereka hanya menerima separuh daripada wang gaji bulanan mereka, maka mereka akan menjadikan tabiat penggunaan kad kredit sebagai penyelesaiaan sementara sebelum gaji kedua dibayar pada akhir bulan.

Jika mereka mampu menjelaskannya tiada masalah, tetapi masalahnya terlalu ramai yang buat-buat lupa atau terlupa untuk membayar balik perbelanjaan kad kredit mereka secara sepenuhnya.

Ini bakal mengundang kedudukan keberhutangan kewangan yang serius kepada kakitangan awam!

Adalah jauh lebih baik pihak kerajaan menyediakan ‘OPSYEN’ kepada kakitangan awam sama ada mereka bersetuju dengan kaedah 2 kali sebulan ini atau kekal dengan kaedah sediada.

Dalam soal pengurusan wang, kita tidak boleh memaksa seseorang itu mengikuti kaedah pengurusan kewangan yang seragam kerana setiap individu mempunyai keperluan dan kemahuan serta matlamat kewangan yang berbeza-beza selaras dengan minda dan emosi mereka.

Salam kekayaan,

THINKERICH

MAKAN GAJI.. OH.. MAKAN GAJI !

Posted by Thinkerich on 16 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca PemikirKaya!

Beberapa minggu lalu, pihak CUEPACS telah meminta pihak kerajaan membenarkan kakitangan awam menjalankan kerja sambilan/kerja luar atau ‘part time’ kesan daripada peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak.

Reaksi berbeza-beza diberikan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang pada mulanya tidak bersetuju tetapi kemudian kembali merubah kenyataan beliau setelah mendengar pandangan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU), dengan syarat kakitangan awam mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam perkara ini saya berpandangan bahawa pihak kerajaan tidak sepatutnya menyekat kakitangan awam mencari rezeki atau pendapatan tambahan selagi mereka dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya sepanjang waktu bekerja disamping tidak melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebagai seorang pengkhidmat awam.

Kerajaan juga perlu sedar akan kedudukan ekonomi dan kewangan kakitangan awam yang berpendapatan tetap ini, memandangkan mereka terpaksa hidup dengan sumber kewangan yang terhad sedangkan kos sara hidup mereka terus meningkat lebih cepat daripada kenakan gaji tahunan mereka yang tidak seberapa.

Bayangkan sahaja kos untuk petrol sahaja telah meningkat lebih 40%, sedangkan gaji mereka masih ditakuk biasa. Ini belum diambil kira pengumuman kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik di Semenanjung yang pasti turut mengundang seribu satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain.

Ini berbeza dengan mereka yang menjalankan perniagaan, mereka tiada masalah dengan kenaikan kos bahan api tersebut kerana mereka boleh menyerap kos tersebut dengan menaikan harga barang dan perkhidmatan mereka. Jika sebelum ini keuntungan mereka sekitar 30%, mereka akan kekalkan margin tersebut dengan menaikan kos modal mereka.

Berbeza sekali dengan kakitangan awam yang makan gaji setiap bulan, mereka tidak dapat berbuat demikian melainkan berjimat cermat dengan mengikat perut atau pun mengorbankan keselesaan hidup mereka sebelum ini .

Pihak CUEPACS juga tidak sepatutnya hanya melihat kerja ‘part time‘ yang boleh dilakukan oleh lebih sejuta ahlinya itu dengan hanya melakukan pekerjaan kedua seperti pembantu kedai, jaga, dan pelbagai pekerjaan yang menuntut pengorbanan masa yang tinggi selepas waktu bekerja.

Namun begitu, saya tidak menyalahkan mereka kerana ‘Minda Makan Gaji’ tetap akan berpandangan ‘Makan Gaji’ semata-mata!

Jika kakitangan awam memilih ‘part time‘ seperti yang dicadangkan oleh pihak CUEPACS, saya percaya ianya akan memberikan kesan terhadap produktiviti kerja mereka kerana terpaksa bekerja sepanjang masa tanpa mendapat ruang untuk berehat dan ada kemungkinan mereka berada dalam keadaan tekanan hidup. Ini kerana mereka telah hilang masa untuk berehat dan juga mendapatkan ketenangan bersama keluarga dan masyarakat.

Kakitangan awam sepatutnya tidak menjalankan pekerjaan ‘part time’ dengan mencari pekerjaan kedua tetapi sebaliknya menjalankan perniagaan secara ‘part time’.

Menjalankan perniagaan secara ‘part time’ pada masa ini mungkin hanya cukup-cukup untuk memenuhi keperluan hidup mereka dan jika mereka kreatif mungkin dapat meluaskan perniagaan dengan mencari peluang-peluang baru.

Sebagai contoh lain, mereka juga boleh menjalankan ‘part time’ seperti menjadi agen takaful dan insuran, agen unit amanah, dan agen jualan langsung MLM (yang sah).

Ini kerana kakitangan awam mempunyai hari Sabtu dan Ahad setiap hujung minggu yang boleh dimanfaatkan untuk menjalankan aktiviti mesyuarat dan temujanji dengan prospek mereka.

Aktiviti sebegini adalah jauh lebih baik dan meningkatkan motivasi kakitangan awam, kerana kebanyakan syarikat berkenaan mempunyai latihan yang amat baik dan boleh meningkatkan tahap dan mutu motivasi serta minda mereka yang terlibat.

Selain itu ianya juga memupuk semangat berdikari dan daya tahan yang tinggi serta budaya keusahawanan dikalangan kakitangan awam.

Berbanding dengan pekerjaan kedua, mereka mungkin merasakan lebih tertekan kerana masih lagi terikat dengan masa dan juga karenah daripada majikan kedua mereka. Selain itu, rasa rendah diri dan budaya bergantung harap kepada orang lain akan terus kekal tersemat dalam minda dan jiwa mereka.

Justeru itu, saranan saya kepada mereka yang ‘makan gaji’ terutama kakitangan awam yang terpaksa hidup dalam ekonomi yang serba mencabar ini agar tidak sekadar duduk dan merungut mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.

Adalah jauh lebih baik anda jadikan keadaan dan situasi sekarang untuk melakukan sesuatu yang boleh merubah kedudukan kewangan anda dan keluarga dengan mulai mencari-cari peluang perniagaan yang jauh lebih luas rezekinya daripada dunia ‘makan gaji’.

Salam kekayaan,

THINKERICH

BERJIMAT CERMAT DARI MINDA MUFTI

Posted by Thinkerich on 14 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca PemikirKaya.com,

Selepas kerajaan memutuskan menaikkan harga minyak beberapa minggu yang lalu, pemimpin kerajaan tidak putus-putus menyarankan agar rakyat berjimat cermat dalam perbelanjaan mereka.

Ini kerana kenaikan harga minyak memberi impak yang besar ke atas harga barangan dipasaran. Maka pelbagai pandangan dan luahan dikalangan rakyat dapat didengari yang rata-rata merungut dan mengeluh dengan kesan tersebut.

Namun begitu, saya rasakan kita semua seharusnya meneliti pandangan bernas daripada Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin berkenaan isu dan perkara ini.

Semoga setiap dari kita yang menjadi pemimpin dapat menterjemahkan pandangan beliau ini sebagai satu dorongan motivasi untuk menjadi pemimpin yang lebih baik.

Maka benarlah kata-kata bijak pandai…

“Ramai orang yang menjadi pemimpin

tetapi

TIDAK semua yang boleh MEMIMPIN”

 

 

Berikut adalah artikel penulisan beliau yang dipetik daripada blog Minda Mufti :-

AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN

 

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

REBAT TUNAI DI PEJABAT POS

Posted by Thinkerich on 13 Jun 2008 | Tagged as: Kepenggunaan

Salam pembaca blog Pemikir Kaya!

Semoga berada dalam keadaan fikiran tenang, ;) walaupun dalam keadaan dan situasi yang serba naik pada masa ini. Minyak naik, harga barang naik!

Baiklah sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak kerajaan bagi menangani masalah dan seterusnya meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat, mulai esok Rebat Tunai boleh diperolehi di pejabat pos dengan hanya bawa My Kad .

Bagi kemudahan semua saya kongsikan maklumat berikut untuk kemudahan pembaca blog PemikirKaya…


JADILAH DIRI SENDIRI

Posted by Thinkerich on 13 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca PemikirKaya.com,

Apa khabar anda semua hari ini?

Semoga sihat, ceria dan bersemangat sentiasa !

Baiklah kali ini kita bersama dalam tip motivasi diri…

Soalan yang sentiasa ditanya oleh kebanyakan orang adalah..Kenapa tidak ada keyakinan diri? 

Keyakinan diri sebenarnya berkait rapat dengan cara kita berfikir dan juga berdasarkan pengalaman hidup kita yang lalu…

Cara didikan dan kata-kata orang yang hampir disekeliling kita juga adalah salah satu contoh yang paling kuat memberi kesan kepada kita.

Sebagai contoh, pernahkan anda meihat bagaimana seseorang kanak-kanak itu menjadi begitu fobia apabila berdepan dengan doktor?

Sudah tentu pernah bukan! Lihat bagaimana seseorang kanak-kanak kecil begitu mudah hilang keyakinan diri hanya apabila berhadapan dengan Doktor!

Apakah yang menyebabkan perkara sebegini terjadi?

Ini adalah kesan daripada pengaruh dan kata-kata oleh ibu bapa yang sering menakut-nakutkan anak-anak mereka dengan kata-kata yang menakutkan seperti;

“Duduk diam-diam jangan nakal! nanti Doktor cucuk dengan jarum besar!”

Wah..cukup mengerunkan bagi seorang kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa!

Bagi mereka apa yang diucapkan oleh ibu bapa mereka adalah sesuatu yang benar! Kata-kata sebegitu mudah menyerap masuk ke dalam pemikiran mereka.

Inilah akibatnya! sehinggakan kanak-kanak itu melalui proses tumbesaran, mereka masih dikuasai oleh rasa risau,takut dan bimbang jika berhadapan dengan doktor (hilang keyakinan diri).

Difikiran mereka terbayang-bayang sikap seorang doktor yang tiada kerja lain selain cucuk jarum!

Malangnya profesion kedoktoran telah dijatuhkan reputasinya oleh ibu bapa yang tersilap pendekatan mendidik anak. Nak kawal anak tetapi doktor pula yang menjadi mangsanya..inilah yang dikatakan Doktor Si Kambing Hitam

Selain daripada itu, keyakinan seseorang itu juga banyak dikaitkan dengan bagaimana seseorang itu menilai diri mereka sendiri.

Masih ramai dikalangan masyarakat hari ini sering menilai keupayaan diri sendiri dengan orang lain yang berjaya disekitarnya.

Ini mengakibatkan mereka merasakan diri mereka kurang hebat daripada sipolan dan sipolan itu.

Sekiranya anda seorang pelajar yang baru mulai belajar, apakah patut anda menilai prestasi dan keupayaan anda dengan mereka yang telah tamat belajar?

Sudah tentu tidak! Apa yang anda perlu lakukan adalah mencapai matlamat yang sama seperti mereka tersebut dan seboleh mungkin mencapai kejayaan dan keputusan yang lebih cemerlang.

Ukur kebolehan dan pencapaian anda  berdasarkan keupayaan diri sendiri dan bukannya orang lain. Apa yang penting anda boleh meniru kejayaan orang lain.

Sebagai contoh Syarikat Penerbangan Tambang Murah Malaysia Air Asia  telah menjadikan Virgin Atlantic  sebagai ‘role model’ mereka dan tidak membandingkannya dengan Virgin Atlantic.

Sebab itulah, Tony Fernades YAKIN bahawa beliau boleh berjaya menguasai pasaran penerbangan Tambang Murah di Rantau ini!

Nah! sekarang kita semua boleh lihat sendiri, daripada sebuah syarikat penerbangan yang tiada apa-apa kini Air Asia menjadi satu ‘Brand’  Malaysia yang dikenali ramai…

Oleh itu, saranan saya untuk membina keyakinan diri..Jadilah Diri Sendiri!

Salam kekayaan,

THINKERICH

ILMU & KEMAHIRAN UNTUK MENJADI KAYA

Posted by Thinkerich on 11 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog PemikirKaya,

Hari ini kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan krisis yang melanda ekonomi global mahu pun negara dan kesannya terus dapat dirasakan sendiri oleh kita semua.

Hanya mereka yang tidak ambil tahu tentang ekonomi dan masa depan kewangan sahaja yang endah tak endah tentang perkara ini. Bagi mereka itu semua tidak penting, kerana itu semua adalah tanggungjawab pihak kerajaan untuk membantu rakyat dalam menentukan kedudukan ekonomi negara terus berada dalam keadaan baik dan stabil. Apa yang utama dalam fikiran mereka adalah untuk terus hidup dan berada di zon selesa.

Berapa ramai dikalangan kita pada hari ini mencari ilmu untuk menjadikan dirinya kaya dan seterusnya dapat membantu diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara?

Rata-rata mereka semuanya bergantung harap pada pihak lain dan tanggungjawab ekonomi dan sosial secara ‘total’ diserahkan kepada pihak kerajaan semata-mata untuk menangani semua permasalahan yang timbul dalam hidup mereka.

Sikap sebegini tidak ubah seperti anak kecil yang sentiasa mengharapkan ibu bapanya terus menyuap ke mulut mereka walhal mereka sebenarnya boleh berdikari!

Memang tidak dinafikan ramai dikalangan masyarakat hari ini berlumba-lumba mencari ilmu dan kemahiran baik diperingkat sijil, diploma, sarjana, ijazah, master mahu pun Phd.

Namun ilmu yang mereka miliki hampir kesemuanya adalah untuk diri sendiri dan tidak kurang pula yang menjadikannya sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Di dalam perkhidmatan awam umpamanya, ramai kakitangan yang berlumba-lumba dan berusaha menyambung pelajaran di peringkat luar kampus dan terpaksa membahagikan masa untuk kerja, masa belajar dan juga keluarga.

Apabila di tanya kenapa mereka memilih untuk melakukan itu semua, kebanyakan daripada mereka akan menjawab untuk peningkatan peluang kerjaya mereka semata-mata.

Tidak dinafikan sememangnya proses pembelajaran itu sesuatu yang baik dan teramat baik bagi seseorang untuk meningkatkan kemampuan, keupayaan dan cara berfikir tetapi jika hanya untuk mendapatkan segulung pengiktirafan bagi dijadikan tiket untuk kerjaya semata-mata, ianya tidak akan membantu anda untuk menjadi kaya.

Tambahan lagi untuk belajar dan bekerja dengan keadaan ekonomi semasa menuntut pengorbanan masa, keluarga dan yang paling penting jumlah wang yang tinggi.

Kebanyakan daripada kita yang belajar program jarak jauh atau pun ‘out campus’ pada asasnya pasti akan membuat pinjaman untuk membiayai pengajian mereka tersebut. Dan ini secara tidak langsung menambah beban kewangan yang terpaksa ditanggung.

Walaupun ianya boleh dianggap sebagai satu bentuk pelaburan, tetapi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Cara bagaimana diri mereka boleh menggunakan ilmu tersebut untuk membantu kedudukan kewangan mereka.

Tetapi malangnya jika kita lihat pada persekitaran yang ada, kebanyakan mereka yang berjaya dalam pencapaian akademik dan berjaya pula mendapatkan kerjaya yang lebih baik akhirnya tewas dengan emosi dan gaya hidup mereka sendiri.

Mereka meningkatkan tahap akademik mereka, pada masa yang sama mereka turut meningkatkan kedudukan kerjaya dan dalam masa yang sama juga mereka meningkatkan taraf hidup mereka.

Meningkatkan taraf hidup bermakna meningkatkan perbelanjaan hidup mereka dan yang paling parah mereka turut meningkatkan HUTANG mereka!

Saya ingin memetik kata - kata berikut daripada mantan Perdana Menteri, katanya ;

…. saya menasihatkan orang Melayu supaya menimba ilmu dan kemahiran supaya boleh digunakan untuk mencari kekayaan bagi diri mereka kerana cuma dengan cara demikian sahaja mereka akan dianggap “Tuan” oleh orang suruhan dan pekerja mereka…

- Tun Mahathir Mohamad

Jelaslah di sini mencari ilmu itu bukan semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan atau sebagai tiket untuk digunakan bagi meningkatkan taraf hidup tetapi apa yang paling penting ianya boleh digunakan untuk mencari kekayaan…

Salam kekayaan,

THINKERICH

p/s : Malangnya pada masa kini kita terlalu ramai yang terpengaruh dengan konsep realiti TV ‘kunun’nya untuk kebajikan realiti TV . Maka berlumba2lah masyarakat kita mengetik SMS untuk masa depan org lain. Orang lain menjadi kaya, kita menjadi sengsara…

BERJIMAT ATAU TINGKATKAN PENDAPATAN?

Posted by Thinkerich on 07 Jun 2008 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog,

Nampaknya kesan daripada kenaikan minyak yang mendadak, pelbagai kisah tentang Minyak Naik Harga… dibicarakan dan menjadi buah mulut semua lapisan masyarakat.

Ada pelbagai pandangan, luahan dan kritikan diutarakan berdasarkan perspektif masing-masing. Ada yang mengambil perkara tersebut secara positif dan tidak kurang pula sebaliknya.

Walau apa pun pandangan anda, adalah tidak bijak jika kita terus bersikap menyalahkan keadaan tanpa bertindak untuk memperbaiki diri terutama kedudukan kewangan sedia ada.

Persoalan yang timbul kini adalah Harga Minyak Naik 40%, Gaji Naik 40% Tak?

Gaji di sini bermaksud pendapatan anda, tidak kira lah anda kerja sendiri, makan gaji, usahawan/ahli perniagaan, atau seorang ahli peleburan pelaburan.

Pihak kerajaan pula secara terus menerus menyarankan rakyat mengamalkan amalan perbelanjaan berjimat cermat setelah mengumumkan kenaikan minyak beberapa hari lalu.

Dalam masa yang sama beberapa barang keperluan terus meningkat harganya di pasaran seperti beras, gula dan keperluan lainnya.

Kerajaan juga terus mengumumkan kenaikan tarif elektrik yang baru. Pendek kata, sepanjang minggu ini kerajaan hanya mengumumkan ‘kenaikan’ bahan keperluan rakyat sahaja tetapi tidak sama sekali menyentuh soal pendapatan rakyat!

Kerajaan lebih cenderung untuk memikirkan pendapatan negara dan pada masa yang sama menjimatkan perbelanjaan negara yang selama ini dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Apabila kerajaan tidak lagi memberi subsidi secara terus kepada kita semua, sebaliknya meminta rakyat terus berjimat dan berjimat (perkataan keramat sejak kenaikan harga minyak), maka ianya sepatutnya mula menyedarkan kita bahawa berada di ‘zon selesa’ bukan lagi sesuatu yang selamat!

Jika anda sekadar menerima saranan kerajaan untuk terus berjimat, adalah sesuatu yang kurang tepat. Ini kerana pada masa yang sama kerajaan terus mengumumkan kenaikan yang lain. Adalah kurang bijak jika kita semua hanya mengambil tindakan sedemikian.

Ini tidak bermakna saya menentang amalan berjimat-cermat yang disarankan oleh semua pihak, tetapi maksud saya di sini adalah dengan hanya berjimat anda akan lebih sengsara untuk meneruskan hidup dalam ekonomi yang terus mencabar pada hari ini dan masa depan.
Ini kerana amalan berjimat semata-mata adalah penyelesaian sementara sahaja memandangkan kita semua tidak dapat tidak akan terus menerima kesan kenaikan harga pada masa akan datang.

Hal yang sama berlaku apabila ramai yang berpusu-pusu untuk mengisi minyak kenderaan mereka pada harga RM1.92 seliter pada 4 Jun yang lalu, tetapi selepas itu mereka perlu membayar RM2.70 seliter juga akhirnya!

Lihat dan bandingkan 10 tahun lalu dengan hari ini dan 10 tahun akan datang, apakah tiada perbezaan ke atas kos sara hidup anda?

Saya tidak perlu memberikan jawapannya di sini, anda boleh fikir dan buat kiraan sendiri!

“Jadi apakah yang perlu saya lakukan sekarang? ”

Anda mungkin bertanya kepada saya!

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Langkah pertama yang perlu anda lakukan sekarang adalah BERJIMAT!

Ya, saya ulangi sekali lagi BERJIMAT!

Berjimat di sini bukan bermaksud anda kurangkan makan, kurangkan minum dan kurangkan perbelanjaan anda terhadap minyak kereta anda sehingga menjualnya dan menaiki motosikal, tetapi anda perlu berjimat dalam perancangan dan pengurusan kewangan peribadi anda!

Berjimat di sini adalah dengan membuat SIMPANAN ke atas pendapatan anda. Mulai menyimpan sekurang-kurang 10% untuk diri anda dan seterusnya lupakan sahaja.(Tak habis-habis dengan pesanan keramat ini) ;)

Walaupun anda akan melihatnya sebagai sesuatu yang akan mengurangkan perbelanjaan anda, namun begitu ianya satu langkah meningkatkan aset tunai dalam akaun dan penyata kewangan peribadi anda.

Apabila anda telah menjimatkan 10% daripada perbelanjaan anda, sudah pasti secara wajarnya dengan kenaikan harga minyak dan harga barangan keperluan lain akan mengakibatkan anda berada dalam kedudukan yang terdesak di mana wang untuk perbelanjaan semakin sedikit dan berkurang.

Tidak mengapa ianya sesuatu yang baik untuk diri anda!

Ini kerana apabila anda mula melatih diri anda dalam keadaan sedemikian secara tidak langsung, minda separa sedar anda akan terangsang dan menjadi aktif untuk mencari jalan penyelesaiannya untuk mencari pendapatan tambahan.

Anda akan mula bergerak mencari-cari peluang untuk tingkatkan pendapatan anda. Otak anda mula menggunakan akal fikiran yang dianugerahkan oleh illahi semaksima mungkin memikirkan idea dan usaha untuk menyelesaikan masalah kekurangan wang anda sekarang. Ini kerana walau apa pun yang berlaku hari ini, anda perlu terus hidup untuk menyara diri dan keluarga.

Lihat sahaja contoh bagaimana, pendatang dari seberang yang datang ke negara kita mengadai nyawa untuk mencari rezeki apabila mereka berada dalam tekanan di negara sendiri.

Mereka datang ke negara kita dalam keadaan motivasi yang tinggi untuk memperbaiki diri dan keluarga mereka. Tidak hairanlah jika hari ini, kita lihat ada di kalangan mereka berjaya menjalankan perusahaan perniagaan mereka dengan jayanya walau pun tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Jadi saranan saya, untuk mengatasi masalah dan situasi pada masa sekarang anda tiada pilihan lain!

Berjimat dan Tingkatkan Pendapatan Anda!”

Salam kekayaan,

THINKERICH

HARGA MINYAK NAIK !

Posted by Thinkerich on 05 Jun 2008 | Tagged as: Kepenggunaan

Salam pembaca blog…

Harga Minyak Naik ! Harga Petrol Naik kepada RM2.70 dan Harga Diesel Naik kepada RM2.58 mulai 5 Jun 2008…maka mulai daripada jam 7 petang tanggal 4 Jun 2008 semalam, fenomena luar biasa kelihatan di semua stesen minyak di seluruh negara.

Fenomena ini hanya dapat dilihat dan muncul setiap kali berlaku kenaikan harga minyak petrol dan diesel. Jika dalam dekad yang lalu fenomena ini agak sukar untuk dilihat, namun sejak beberapa tahun ini (5 tahun kebelakangan ini) fenomena ini sudah menjadi lumrah kerana hampir setiap tahun, pasti akan ada kenaikan harga bagi komoditi ini .

Kenderaan tersusun mencecah hampir berkilo-kilometer jaraknya daripada stesen minyak. Polis Trafik terpaksa bekerja keras pada malam 4 Jun 2008, gara-gara pengumuman Kenaikan Harga Hampir 40 peratus pada malam tadi.

Khabar angin yang bertiup kencang sepanjang hari kelmarin yang menyatakan Petrol Naik 89 sen akhirnya menjadi realiti dan trauma kepada semua rakyat Malaysia biarpun harga yang diumumkan sebenarnya hanya 78 sen seliter bagi petrol.

Kelihatan berpuluh buah kenderaan berderet-deret menanti giliran untuk memenuhkan tangki dengan kadar harga terakhir RM1.92 seliter…sebelum jam 12 tengah malam tadi.

Kelihatan juga sebilangan besar rakyat ‘kepimpinan Pak Lah’, yang membawa tong-tong kosong dengan harapan pembelian sebelum jam 12 tengah malam tadi akan dapat membantu menjimatkan kos petrol mereka sehingga minggu depan sebelum mereka mula membayar kenaikan harga minyak tertinggi dalam sejarah Malaysia hari ini. Harga Petrol Naik 78 sen manakala Diesel Naik RM1 bagi setiap liter…

Jadi dalam situasi sebegini, golongan manakah yang bakal merasai kesan atau beban yang paling teruk? adakah golongan miskin? sederhana? atau Kaya?

Golongan miskin sudah pasti tetapi tidaklah seteruk golongan sederhana, jauh sekali mereka yang kaya. Kenapa begitu?

Pertama, daripada kesan tidak langsung yang bakal dirasai oleh golongan miskin adalah kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ekoran kenaikan ini. Namun begitu, mereka tidak pula menyumbang kepada pengguna yang terbesar dalam penggunaan petrol dan diesel.

Ini kerana mereka mungkin tidak mempunyai kenderaan, jika ada pun mungkin sebuah motosikal. Dan bagi tahap miskin yang lebih baik, mungkin mereka memiliki kenderaan yang rendah keupayaan enjinnya. Jelas sekali mereka bukanlah golongan yang paling aktif menggunakan petrol.

Bagi yang kaya pula, mereka tidak mungkin terganggu bahkan terancam dengan perkara ini kerana mereka memiliki kebijaksanaan dalam pengurusan kewangan mereka (sebab itulah mereka menjadi kaya)..

Bagi mereka yang berada di kelas pertengahan atau golongan sederhana, mereka adalah golongan yang paling terbeban dengan kenaikan minyak ini. Ini kerana mereka adalah antara golongan yang paling ramai menggunakan kenderaan yang juga kebanyakan berkuasa enjin sederhana.

Golongan ini jugalah yang paling aktif bergerak menggunakan bahan api sama ada petrol mahu pun diesel. Ini kerana kebanyakan daripada mereka adalah yang berkerjaya dan memerlukan kenderaan untuk memudahkan urusan mereka seharian.

Siapakah yang tergolong dalam kelas ini?

Mereka adalah terdiri daripada kebanyakan rakyat yang bekerja ‘makan gaji’ tidak kira sektor awam mahu pun swasta.

Ini disebabkan oleh keupayaan mereka untuk memiliki kenderaan dan golongan inilah yang paling mudah mendapat pembiayaan untuk pembeliaan kenderaan.

Sudah tentulah apabila mereka ada kenderaan, pasti mereka perlukan minyak sebagai bahan api bagi memandu kenderaan mereka.

Golongan ini jugalah yang sentiasa rancak menjalankan kegiatan ‘trade in’ kenderaan mereka, yang amat membantu industri automobil dan industri perbankan dan kewangan negara.

Setiap kali sesebuah pengeluar kenderaan melancarkan model baru, maka bersesak-sesaklah golongan ini di ruang pameran kenderaan kemudian kelihatan pula mereka berada di syarikat kewangan mahu pun bank untuk memohon pinjaman.

Maka berkuatkuasa hari ini 5 Jun 2008, adakah kadar Inflasi Naik Mendadak?

Jika anda tidak jelas, biar saya berikan contoh dan gambaran buat anda semua!

Jika semalam(kelmarin) iaitu sebelum 5 Jun 2008, anda mengisi tangki minyak kenderaan dengan isian penuh sebanyak RM100.00 tetapi mulai hari ini dengan kenaikan hampir 40% daripada harga sebelumnya, sama ada anda sedar atau tidak, anda perlukan RM140.00 untuk isian penuh tangki kenderaan anda.

Tambahan sebanyak RM40.00…!!! Hampir separuh anda perlukan wang tambahan untuk hidup seperti hari-hari sebelumnya…

Faktanya, nilai wang yang ada pada anda sudah jatuh! Berkuatkuasa hari ini, RM100.00 yang anda ada tidak lagi boleh membeli setangki penuh minyak kenderaan untuk anda kerana ianya memerlukan RM140.00..!

Dengan kata lain, RM100.00 yang anda miliki sebelum 5 Jun 2008, adalah lebih tinggi nilainya…kerana anda mampu membeli setangki minyak penuh..

Tetapi hari ini anda perlukan RM140.00 untuk mendapatkan keperluan yang sama..inilah antara pendorong inflasi !

Salam kekayaan dan kepenggunaan,

THINKERICH

LUKA DI HATI…

Posted by Thinkerich on 04 Jun 2008 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca blog,

Kali ini saya ingin membawakan anda suatu cerita motivasi yang menarik untuk renungan kita bersama. Begini al - kisahnya….

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku.

“Untuk apakah paku-paku ini ayah?” tanya pemuda tersebut.

“Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu” jawab ayahnya.

Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku
sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan.

Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, dimana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata “Kau telah melakukannya dengan baik, anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.

Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kesah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatan mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal.

“Sahabat adalah permata yang sukar dicari. Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.”

Maafkan saya sekiranya saya pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda….

Itʼs better to be silent & be thought a fool, than to speak & remove all doubt.. -Abraham Lincoln-

Orang akan melupakan apa yang kamu katakan….. .
Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan….. ..
Tetapi, orang TIDAK akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka begitu bererti dan bernilai!

Salam kekayaan,

THINKERICH

Next Page »

Personal  Blogs - Blog Catalog Blog Directory
Free Counter perniagaan internet