March 2009

Monthly Archive

HUTANG BAIK vs HUTANG TIDAK BAIK | PART 2

Posted by Thinkerich on 27 Mar 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Jika dalam post terdahulu kita berbicara tentang maksud disebalik hutang baik dan tidak baik, maka pada hari ini kita lihat pula takrifan hutang tersebut berdasarkan situasi sebenar yang mungkin pernah anda lalui dan mungkin juga pernah buatkan :) !

  • Jika anda meminjam wang untuk membeli suatu pengalaman(contohnya berhutang untuk pergi melancong) atau benda atau  barang yang sebenarnya anda tak mampu pun, dan menambah hutang dengan caj faedah tinggi, anda sebenar-benarnya telah dibebani hutang yang tidak baik!
  • Jika anda meminjam wang untuk memperolehi satu aliran pendapatan yang menyumbang kepada pembayaran balik hutang seperti pembelian apartment kos rendah untuk disewakan dan kadar sewaan tersebut lebih besar nilainya daripada ansuran bulanan anda maka anda telah menggunakan hutang secara baik!
  • Jika anda meminjam wang untuk membuat pelaburan seperti membeli saham unit amanah, atau saham spekulasi anda sebenarnya telah menggunakan hutang dengan cara tidak baik kerana meletakkan diri anda dalam risiko yang tinggi. Ini kerana anda akan terus berhutang dengan faedah yang lebih tinggi jika harga pasaran jatuh melebihi nilai pinjaman anda.
  • Jika anda meminjam wang untuk membeli rumah kediaman dan bercadang tinggal di rumah itu, setidak-tidaknya anda mungkin dapat pulangan modal atau mungkin keuntungan hasil daripada peningkatan nilai rumah tersebut pada masa depan. Ini juga dapat menyelamatkan wang anda daripada ‘hangus’ begitu sahaja membayar sewa  jika sekiranya anda tidak membeli rumah itu. Dalam kes ini anda telah berhutang secara baik!

Salam Kekayaan,

THINKERICH

HUTANG BAIK vs HUTANG TIDAK BAIK

Posted by Thinkerich on 26 Mar 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Hutang tidak semestinya tidak baik. Ini kerana hutang atau pinjaman mempunyai pelbagai ciri yang berbeza berdasarkan tujuan dan matlamat anda!

Untuk itu anda perlulah mengetahui perbezaan diantara hutang yang baik dengan yang tidak baik!

Jadi apakah itu hutang baik?

Hutang baik secara mudahnya adalah pinjaman yang membolehkan anda mendapat manfaat kewangan jangkamasa panjang seperti meminjam untuk membeli rumah, meminjam untuk tujuan membiayai pendidikan, meminjam untuk modal perniagaan dan apa sahaja bentuk pinjaman yang matlamat akhirnya memberi keuntungan dan manfaat kepada anda.

Manakala hutang tidak baik pula adalah apabila anda meminjam untuk sesuatu yang tidak mendatangkan faedah dan manfaat kewangan kepada anda sebaliknya barangan yang anda beli secara berhutang itu mempunyai jangka hayat yang jauh lebih singkat daripada tempoh masa pembayaran balik pinjaman.

Contohnya seperti membeli pakaian, perabot, handphone, makan diluar, pergi bercuti, aksesori kereta, keperluan isi rumah dan apa sahaja yang mengakibatkan anda menanggung beban hutang yang berpanjangan selepas itu.

Jadi daripada contoh di atas, anda mungkin dapat sedikit gambaran sebenar tentang hutang.

Tanggapan bahawa berhutang adalah perkara yang tidak berfaedah dan tidak baik untuk adalah tidak tepat kerana hutang juga boleh digunakan untuk membantu anda dalam memudahkan kehidupan anda dalam pengurusan kewangan dan kekayaan anda!

Salam Kekayaan,

THINKERICH

KISAH SKIM CEPAT KAYA DARI KL PART 2

Posted by Thinkerich on 23 Mar 2009 | Tagged as: Skim Cepat Kaya

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Ini kisah berikutnya kegiatan skim cepat kaya yang tak sudah-sudah dilakukan oleh masyarakat hari ini.

Kisahnya datang dari Kuala Lumpur. Mungkin kerana tuntutan kehidupan dan tekanan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai yang lebih rela terjebak dengan Skim sebegini untuk terus ‘survive’!

Dan sudah tentulah mereka yang menyertainya datangnya dari ‘spesies’ yang tidak berfikir panjang tentang pulangan tersebut sama ada halal atau haram!

Nampaknya manusia sudah mulai lupa kepada ‘nilai’ rezeki sama ada ianya halal atau haram terutamanya dalam menempuhi kehidupan di Bandar-bandar metropolitan.

Sungguh sedih dan cukup membimbangkan jika manusia sudah mulai dikuasai oleh wang dan hawa nafsu.

Berbalik kita pada kisah tersebut. Minggu lalu saya berada di KL, ketika saya menaiki tren untuk ke ibukota, saya terdengar perbualan dua orang rakan yang begitu ghairah berceritakan tentang pulangan pelaburan yang bernilai ratusan ribu RM datangya dari seorang pelabur tempatan yang mengaut keuntungan besar dari luar negara!

Wah, apabila terdengar pasal wang sudah pasti telinga saya tertarik untuk mendengarnya!

Saya tidak pasti bagaimana pelaburan itu beroperasi kerana saya hanya mencuri-curi dengan perbualan mereka berdua.

Salah seorang mungkin sebagai penaja dan seorang lagi mungkin temannya  yang berminat untuk menyertainya. Dari perawakan kedua-duanya, saya jangka mereka berdua dalam lingkungan usia awal 40-an.

“Jangan bimbang, kita serahkan kepada ‘Tuan Haji’ (mungkin pengendali skim), beliau dah lama buat pelaburan ini, lagipun dia ikhlas nak bantu kita semua!” ujar rakan penaja dengan bersungguh-sungguh.

“Lagipun ramai dah yang pakai kereta BMW dan Mercedes baru hasil daripada menyertai pelaburan ini, tanpa perlu bersusah payah macam orang lain buat bisnes!”, tambahnya lagi.

“Oh, ya ke! Aku kalau pelaburan yang dapat bagi pulangan setiap bulan memang aku suka!”, celah, kawan yang baru ingin menyertai skim tersebut dengan bersungguh-sungguh!

Lihat jelas, daripada ungkapan dan perbualan mereka berdua, semua sedia maklum yang mereka berdua menyertai skim cepat kaya kerana menggunakan perkataan seperti berikut:

“Ikhlas”- Eerks!  Biasalah dalam hal melibatkan wang dan mendapat keuntungan segera, perkataan ini menjadi modal utama untuk menarik dan menggoda peserta lain. Bagi saya kalau ikhlas nak bantu bukannya dengan suruh orang lain bagi duit kat kita dahulu sebaliknya kita bagi terus kat orang yang kita nak tolong!

‘Pakai kereta mewah’ – saya masih tidak faham kenapa masih ramai orang mengaitka kekayaan dengan kereta mewah? Kereta bukanlah ukuran sebenar kekayaan tetapi Nilai Bersih Aset anda!(nak tahu apa itu nilai bersih? Rujuk buku “7 Cara Mengatasi Masalah Kekurangan Wang” terbitan TrueWealth Sdn. Bhd.

‘Tak perlu bersusah payah buat bisnes’- Hai kawan, dalam dunia ni tiada yang mudah untuk dapatkan wang! Lihat kalau mudah dapat wang atau duit tak kan ada yang sanggup pergi merompak melanggar undang-undang Negara!

Hei, bahaya tu merompak , menggadai maruah dan keselamatan diri. Kalau nasib kurang baik tertangkap kena masuk ‘jail’ dan kalau nasib kurang baik lagi tertembak dek pengawal keselamatan dan polis! Nyawa melayang!

Yang dapat duit mudah ini orang yang telah kaya kerana mereka ada sejumlah wang yang bekerja untuk mereka tak pun mereka ada orang bijak pandai yang diupah oleh mereka  untuk menjalankan bisnes bagi pihak mereka.

‘Dapat pulangan duit setiap bulan’- hah ini satu lagi, unsur-unsur skim cepat kaya! ‘Modus operandi’ SCK mudah sahaja!

Ambil duit orang yang baru masuk dan bagi kepada orang yang terdahulu dengan menjanjikan peringkat bayaran bulanan sehingga berterusan. Lagi ramai yang anda bawa masuk duit daripada pelabur baru, maka lebih banyak wang yang anda terima!

Berhati-hatilah dan berwaspadalah sentiasa kerana kegiatan skim cepat kaya ini akan terus melalui evolusi bagi membaham mereka yang dikuasai sikap TAMAK!

HINDARI DIRI DARI TERJEBAK DALAM KEMISKINAN

Posted by Thinkerich on 21 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog pemikirkaya!

“…kefakiran itu boleh membawa seseorang kepada kekufuran…” merupakan salah satu daripada Hadis Rasulullah S.A.W yang berkaitan dengan kemiskinan.
Walaupun miskin itu lebih baik daripada fakir (fakir adalah lebih rendah kedudukannya daripada miskin), namun kebanyakan daripada mereka yang berada pada tahap miskin akhirnya lebih banyak menjadi fakir daripada berubah menjadi kaya!

Jadi, jika anda kini masih berada dalam kedudukanm senang dan sederhana amat wajarlah anda mengelakkan diri daripada tergelincir daripada menjadi golongan miskin.

Bagaimana caranya? Mungkin ada di antara anda bertanya!

Secara mudahnya tiada jalan lain kecuali berusaha dengan lebih gigih bagi membaiki kualiti hidup masing-masing kerana rezeki Allah sentiasa terbentang luas!

Ini kerana hanya dengan usaha yang gigih dapat mengubah masa depan anda!

Islam tidak meredhai penganutnya terus kekal di dalam kemiskinan dan kefakiran!

Sudah tentu anda pernah mendengar ungkapan, “Tangan Yang Memberi Itu Lebih Baik Daripada Yang Menerima”…

Jadi untuk itu jika selama ini anda terdiri daripada tangan yang menerima, berusahalah untuk menjadi tangan yang memberi pula!
Semoga dengan pemberian ikhlas anda itu dapat membantu diri anda untuk terus memberi dan terus memberi…

Dan sudah tentulah bila anda sering memberi, maka anda tidak akan merasakan anda berada dalam kemiskinan kerana anda bersyukur di atas rezeki yang anda terima walaupun kecil. Insya Allah!

Salam kekayaan,

THINKERICH

20 INDIVIDU TERKAYA DI DUNIA 2009

Posted by Thinkerich on 20 Mar 2009 | Tagged as: Terkaya

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Majalah Forbes baru-baru ini telah menyenaraikan kedudukan Billionaire bagi tahun 2009 dan jika dilihat Bill Gates nampaknya kembali merampas kedudukan individu terkaya di dunia pada tahun 2009 selepas pada tahun lalu beliau berada di tempat ketiga. Nampaknya kesan kejatuhan ekonomi dunia dan kelembapan pasaran saham dunia menyebabkan kekayaan Warren Buffet yang mengunggulinya pada tahun lalu turut jatuh. Berikut kedudukan Billionaire bagi tahun 2009 :-

1. Bill Gates (AS$40 bilion - Microsoft - Amerika Syarikat)

2. Warren Buffett (AS$37 bilion - Berkshire Hathaway - AS)

3. Carlos Slim dan keluarga (AS$35 bilion - Telecoms - Mexico)

4. Lawrence Ellison (AS$22.5 bilion - Oracle - AS)

5. Ingvar Kamprad dan keluarga (AS$22 bilion - Ikea - Sweden)

6. Karl Albrecht (AS$21.5 bilion - Aldi - Jerman)

7. Mukesh Ambani (AS$19.5 bilion - Petrokamia - India)

8. Lakshmi Mittal (AS$19.3 bilion - Besi - India)

9. Theo Albrecht (AS$18.8 bilion - Aldi - Trader Joe’s - Jerman)

10. Amancio Ortega (AS$18.3 bilion - Zara - Sepanyol)

11. Jim Walton (AS$17.8 bilion - Wal-Mart, AS)

12. Alice Walton (AS$17.6 bilion - Wal-Mart - AS)

13. Christy Walton dan keluarga (AS$17.6 bilion - Wal-Mart, AS)

14. S. Robson Walton (AS$17.6 bilion - Wal-Mart AS)

15. Bernard Arnault (AS$16.5 bilion - LVMH - Perancis)

16. Li Ka-shing (AS$16.2 bilion - Hong Kong)

17. Michael Bloomberg (AS$16 bilion - Bloomberg, AS)

18. Stefan Persson (AS$14.5 bilion - Hennes and Mauritz, Sweden)

19. Charles Koch, AS$14 bilion - Pembuatan, Tenaga - AS)

20 David Koch (AS$14 bilion) - Pembuatan, Tenaga - AS)

ANDA TIDAK PERLUKAN WANG UNTUK PROMOSI

Posted by Thinkerich on 19 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Masih ramai yang menjadikan sumber kewangan sebagai penghalang untuk berjaya dalam pemasaran produk bagi mempromosi perniagaan mereka.

Memang tidak dinafikan, wang penting untuk promosi tetapi harus diingat ada juga promosi yang menggunakan belanja wang modal yang besar kekadang tidak memberi impak yang menguntungkan kepada sesetengah perniagaan!

Ini kerana medium promosi yang digunakan tidak fokus kepada kumpulan sasar sesuatu produk yang ingin dijual!

Jika tidak ada bajet atau modal yang besar untuk promosi produk perniagaan anda, sebenarnya ada banyak lagi kaedah promosi yang boleh anda gunkan yang hanya memerlukan kos yang minima.

Jadi apakah caranya? Anda mungkin bertanya!

Modal tidak semestinya wang!

Modal yang paling penting ialah IDEA anda!

Yang dengan idea yang boleh anda fikirkan, terdapat pelbagai cara yang boleh anda praktikkan.

Apa yang penting jika anda nak jalankan bisnes tu, promosi perlulah sepadan dengan bajet anda.

Bak kata pepatah popular ” Ukur Badan Baju Sendiri”.

Janganlah pula semata-mata untuk menjayakan produk anda yang baru dilancarkan itu, anda sanggup membuat pinjaman hutang hanya untuk dijadikan modal promosi perniagaan anda! Risikonya besar jika anda tidak membuat kajian terperinci terlevih dahulu ke atas permintaan produk anda.

Medium terbaik yang memerlukan modal promosi yang minima adalah melalui internet.

Dalam pemasaran internet sebagai contohnya, kaedah pemasaran affiliate adalah di antara yang paling berkesan.

Anda juga boleh wujudkan blog perniagaan anda sendiri untuk membina kredibiliti kemudia boleh juga promosikannya secara percuma melalui blog anda.

Selain itu anda juga boleh, sediakan ebook atau panduan tentang info bisnes anda secara percuma untuk diedarkan kepada semua dan dalam ebook atau panduan tersebut anda juga boleh iklankan produk anda.

Mudah bukan, kini anda boleh pelbagaikan promosi produk anda melalui media internet dengan percuma dan kos yang paling minima.

Salam kekayaan.

THINKERICH   

PROMOSI ATAU PRODUK? MANA YANG PERLU DIUTAMAKAN | PART II

Posted by Thinkerich on 18 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Baiklah hari kita sambung lagi artikel semalam berkaitan promosi atau produk yang mana perlu diutamakan?

Seringkali kita menjadikan modal kewangan sebagai penghalang untuk menjalankan promosi dan kebanyakan daripada peniaga lebih mengutamakan produk mereka.

Tidak salah mengutamakan produk, tetapi harus diingat walau sebaik manapun produk anda jika tidak diketahui kehadirannya dalam pasaran  ianya tidak membawa sebarang makna!

Maksudnya di sini andai kata anda mempunyai produk hebat yang memang menjadi permintaan ramai, tetapi promosi anda lemah maka jualan anda tidak akan menjadi bahkan jauh sekali untuk meningkat!

Baiklah, apa yang perlu dibuat jika modal kewangan untuk promosi tidak mencukupi?

Salah satu cara mudahnya adalah dengan menyediakan bajet perniagaan anda. Ya, anda perlu sediakan bajet! Sebagaimana anda perlu menyediakan bajet perbelanjaan bulanan anda, dalam perniagaan pun sama.

Anda perlu agihkan pecahan tertentu untuk kos produk, kos pengangkutan atau penghantaran dan jangan lupa kos promosi atau pemasaran bagi produk anda!

Dengan itu, anda boleh mengimbangi kos perniagaan anda agar lebih stabil dan perniagaan anda juga boleh berjalan dengan lancar.

Salam kekayaan,

THINKERICH 

PROMOSI ATAU PRODUK ? MANA YANG PERLU DIUTAMAKAN?

Posted by Thinkerich on 17 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Dalam ruangan komen post saya yang terdahulu- Promosi Nyawa Perniagaan Anda, saya ada menerima komen dan pertanyaan daripada pembaca blog pemikirkaya.

Terima kasih kepada yang memberi komen dan bertanya. Persoalan yang ditimbulkan manakah yang perlu diberi keutamaan sama ada produk atau promosi sedangkan modal perniagaan adalah terhad!

Jadi yang mana perlu diutamakan?

Sudah tentulah jawapannya kedua-duanya sekali!

Ya, keduanya sekali! Tak boleh pilih salah satu sahaja! Kena pilih keduanya sekali! Sebab keduanya saling berkaitan dan diperlukan untuk menjayakan pernioagaan anda!

Seandainya anda hanya memberi tumpuan dan mengutamakan produk jualan anda tanpa memberi perhatian dan keutamaan pada promosi, maka produk anda tidak akan berjaya dijual dengan baik.

Tiada jualan, maka tiadalah hasil. Tiada hasil pendapatan alamatnya tiadalah perniagaan anda bertahan lama!

Jika anda utamakan promosi dan produk pula kurang, apa pula yang anda nak jual? Bagaimana pula anda nak penuhi permintaan pelanggan jika promosi anda hebat dan menarik perhatian pelanggan tetapi apabila tiba permintaan daripada pelanggan anda tidak dapat pula untuk memenuhinya…

Sudah tentulah promosi tersebut menjadi sia-sia!

Imej perniagaan anda juga jatuh dan mungkin ianya akan menyebabkan pelanggan akan hilang keyakinan dan kepercayaan kepada perniagaan anda.

Promosi dan Produk bolehlah diibaratkan seperti kedua-dua belah kaki anda. Saling diperlukan untuk anda berdiri, berjalan dan berlari!

Bayangkan jika salah satu tiada, apa akan jadi?

Ya, anda masih boleh hidup, cumanya anda tidak lagi boleh berdiri dan berjalan dengan sempurna tanpa sebarang alat sokongan lain.

Begitulah jua dengan promosi dan produk!

Tapi masalahnya bagaimana jika modal tidak mencukupi?

Mungkin ada di antara anda bertanya lagi….

Kita jumpa lagi dalam artikel seterusnya!

Salam kekayaan,

THINKERICH 

KUAT BEKERJA, ANDA AKAN BERTAMBAH SIHAT!

Posted by Thinkerich on 14 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Apa khabar? Semoga sihat dan berada dalam fizikal dan mental yang sihat.

Saya doakan anda semua ceria dalam melakukan apa sahaja aktiviti hidup anda.

Bagi yang bekerja tu, tak kiralah kerja makan gaji ke, kerja sendiri ke, bisnes ke…kerjalah bersungguh-sungguh dan rajin-rajinkanlah berusaha! Kena bekerja kuat!

Ya, kuat bekerja! Mungkin ada di antara anda yang fikir jika kita kuat bekerja, badan kita jadi lemah!

Badan kita jadi sakit-sakit dan sebagainya…Betul tak?

Tapi pernah tak anda dengar orang yang biasa buat kerja, bila dia orang berhenti atau dah tak buat kerja tersebut seperti sebelumnya mengadu sakit badan dan lenguh-lenguh?

Tentu pernah bukan? Terutama sekali pakcik makcik kat kampung yang biasa bercucuk tanam. Bila otot-otot badan mereka tak bekerja, mulalah badan terasa sakit-sakit! Jadi mereka pergi juga buat apa yang patut. Katanya nak keluarkan peluh.

Ya, memang diakui bahawasanya bila kita dah terbiasa bekerja kuat atau kuat buat kerja, bila terhenti atau berhenti daripada lakukannya badan kita jadi sakit-sakit.

Ini menunjukkan bahawasanya bila kita bekerja badan kita akan bertambah sihat dan segar.

Bila badan sihat, otak dan minda pun cerdas!

Jadi mudahlah nak berfikir dan buat keputusan dengan baik dan rasional.

Pernah tak anda dengar orang yang sakit asyik terlantar di atas tilam, mengadu penat kerana tidak buat apa-apa aktiviti? Tentu pernah bukan!

Ini menunjukkan apabila kita terlalu banyak rehat kesannya badan kita jadi lemah, minda dan otak kita pun jadi buntu!

Jadi, jika sebelum ini anda membuat alasan untuk tidak berusaha atau bekerja dengan bersungguh-sungguh hanya kerana takut penat(yang sebenarnya anda malas :) ! ) , maka hapuskan segera daripada minda dan fikiran anda.

Mulai bina jalan fikiran bahawa dengan bekerja kuat badan dan minda anda akan bertambah sihat dan cergas.

Para cendiakawan dan ahli akademik menjadi berilmu dan pintar kerana mereka kuat bekerja dan berusaha mendalami sesuatu ilmu.

Mereka membaca, mengkaji, menganalisis dan menyampaikan semula dalam bentuk penulisan, buah fikiran dan juga melalui diskusi dan forum-forum ilmu.

Cuba anda bandingkan dengan mereka yang malas mengkaji, menganalisis atau pun paling mudah malas untuk membaca hatta walaupun satu muka surat buku sekalipun, adakah mereka ini lebih sihat dan cerdas mindanya jika dibandingkan dengan mereka yang otak dan mindanya kuat bekerja?

Anda sudah tentu ada jawapannya bukan?

Jadi saranan saya untuk memastikan minda dan juga badan anda sihat maka perlulah kita bekerja kuat.

Kuat bekerja di sini bukan pula bermakna saya menidakkan keperluan untuk berehat, tetapi maksud saya di sini adalah anda jangan jadi MALAS!

Kuat bekerja juga bukan setakat kuat menggunakan tenagan fizikal tetapi kuat bekerja menggunakan minda dan jalan fikiran untuk membantu memudahkan kerja dan usaha anda!

Semoga anda kuat bekerja minda dan fizikal!

Salam kekayaan,

THINKERICH

PINJAMAN PELABURAN ASB, BAIK ATAU TIDAK?

Posted by Thinkerich on 12 Mar 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Saya rasa tertarik dan nak bagi juga pandangan tentang perkara ini yang mula dicetuskan semula oleh Sabri dan diikuti oleh Pakdi…walaupun dah banyak sangat perkara ni bincangkan dalam forum dan diperdebatkan baik dan buruknya, tak kurang pula yang sediakan formula, kiraan dan unjuran serta prestasi lalu ASB ni..

Persoalannya “Pinjaman Untuk ASB, Berbaloikah?” Tanya saudara Sabri Saifulsham

Lalu saudara Pakdi tampil dengan kiraan Pinjaman Untuk Melabur di ASB

Saya rasa semua yang mengikuti perbincangan daripada blog mereka berdua tentu dah dapat buat pertimbangan baik atau buruknya Skim Pembiayaan ASB nih…

Tapi dalam blog saya kali ini, tidaklah saya bercadang untuk ulas perkara tersebut semula.

Cumanya nak bagi pandangan tentang perkara ini dari sudut pandangan dan fikiran saya.

Bagi saya, adalah lebih baik anda simpan sendiri daripada membuat pinjaman ASB, jika sekiranya :-

Anda mempunyai AZAM yang kuat untuk melihat wang simpanan anda terus berkembang biak sehingga mencapai matlamat sasaran anda.. sebagai contoh nak target sampai had maksima RM200K kemudian lepas tu…biarkan ianya terus berkembang..

Jangan diusik walaupun satu sen pun…!

Masalahnya ramai yang tidak merancang kewangan dengan betul…akibatnya;

Apabila jumlah simpanan ASB mereka dah mula berkembang, NAFSU dan Kemahuan mereka turut berkembang untuk membelanjakannya…

Kesudahannya, matlamat tak tercapai…

Pi Mai Pi Mai Tang Tu…!

Inilah modal utama kakitangan bank gunakan untuk pengaruhi customer mereka supaya buat pinjaman pelaburan ASB dengan mereka..katanya;

“Kalau anda simpan sendiri(potongan gaji atau simpan secara berkala), nanti dah cukup banyak wang simpanan ASB, anda boleh keluarkan jumlahnya…!

Tetapi jika anda buat pinjaman, sijil pelaburan tersebut tidak boleh ditebus selagi belum tamat tempoh pembiayaannya…! Kalau simpan RM100K pinjam 10 tahun, pada tahun ke 10 anda dah ada RM100K…dividen yang diterima setiap tahun jangan diusik, ini akan membantu mengurangkan ansuran wang dari poket anda bagi bayaran berikutnya..”(erks..! ini pun sama juga, siapa boleh jamin ada tak usik bayaran dividen tersebut ;) ! )

Jika anda simpan sendiri dalam ASB, tetapkannya sebagai Tabung Pesaraan anda. Simpan dan lupakannya..kalau dah sampai masanya barulah buka buku simpanan ASB…

Itulah objektif asalnya - untuk sediakan Tabungan bagi kaum bumiputera yang ‘fail’ sikit bab tabung menabung ni…tapi bab pecah tabung ni memang cukup HEBAT! :)

Yang penting rancang dulu wang anda. Sediakan dana -dana khusus untuk menampung keperluan dan kemahuan anda secara tersusun. (Saya ada nyatakan kaedah ini dalam Buku 7 Cara Mengatasi Masalah Kekurangan Wang terbitan TrueWealth).

Jangan usik, kacau dan ganggu wang tabungan ASB anda!

INGAT! Tak boleh diusik…kalau diusik meranalah masa depan persaraan anda :(
Salam kekayaan,

THINKERICH

TINGGALKAN ZON SELESA ANDA!

Posted by Thinkerich on 11 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan, Motivasi Diri, Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Apa khabar? Baiklah hendaknya :) !

Seringkali saya mendengar orang membicarakan pasal zon selesa. Ada yang selesa dan ada yang bercita-cita untuk meninggalkannya. Tapi takut!

Eh, kalau takut nak bertindak tu maknanya masih selesa berada di zon selesalah tu!

Tak kurang pula yang, bercita-cita untuk terus berada pada zon  selesa mereka (yang sebenarnya tak selesa mana pun!)

Cuba anda lihat, nelayan!

Ya, nelayan yang kerja mereka tangkap ikan kat laut tu!

Apa yang mereka buat? Untuk mendapatkan rezeki yang lebih baik, mereka akan meninggalkan perairan biasa dan pergi meneroka ke laut dalam yang lebih mencabar untuk mendapatkan hasil yang lebih lumayan.

Begitu jua dengan diri anda, sekiranya anda bekerja makan gaji. Berusahalah dan cuba berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan jangan hanya bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja.

Ini kerana dunia perniagaan menjanjikan pulangan yang lebih lumayan dan juga seribu satu cabaran dan dugaan!(Ni yang buat orang tak beraninya!) Macam nelayan kat laut dalamlah juga! Terpaksa berhadapan dengan gelora di lautan dalam.

Bisnes adalah pelaburan yang paling menguntungkan buat sesiapa sahaja yang menceburinya.

Pendapatan sebulan yang anda terima hasil makan gaji mungkin hanya mengambil masa satu hari untuk mendapatkannya!

Ya, ini realiti! Sudah terlalu ramai yang membuktikannya!Kini tibalah pula giliran anda untuk membuktikannya.

Pada siapa? Siapa lagi kalau tak pada diri sendiri terlebih dahulu!

Lepas tu barulah pada keluarga dan kawan-kawan.

Jadi sahutlah cabaran ini!

Tinggalkan Zon Selesa Anda! Mulakan langkah baru!

Salam Kekayaan,

THINKERICH

SELALULAH BERKATA SABAR..

Posted by Thinkerich on 10 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Hari ini saya berkongsi tips dengan anda bagaimana nak kawal perasaan marah.

Caranya adalah dengan selalu berkata “sabar” kepada diri sendiri.
“Tarik nafas dalam-dalam. Beritahu diri, relaks…”
Apabila kita merasakan bahawa kesabaran kita diuji, perbanyakkan berkata bersabar di dalam hati.

Perbanyakkan bersabar dalam menghadapi ujian.

Ingatlah Allah berfirman dalam surah as-Shaf:
“Wahai Orang-orang yang beriman, mengapa kamu tidak perkatakan apa yang kamu katakan”.

Selamat beramal,

Salam Kekayaan,

THINKERICH

ELAKKAN DARIPADA BERDEBAT!

Posted by Thinkerich on 08 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Elakkan daripada berdebat pendapat atau bercanggah pendapat walaupun anda tahu pendapat yang dikemukakan itu tidak betul dan tidak sependapat dengan anda.
Dalam perkara ini, kita boleh mempraktikkan “sharing concept” bagi melancarkan perbincangan. Elakkan daripada mencelah ataupun mengkritik cadangan yang dikemukakan walaupun kita mempunyai pendapat dan cadangan yang tersendiri.

Selain itu, selalulah memantau  intonasi suara anda. Ini kerana intonasi suara amat penting bagi mengelak kita tidak bersetuju dengan apa yang klien perkatakan. Kebiasaannya itonasi suara yang tinggi mudah dikaitkan dengan sifat yang negative.

Jadi seboleh mungkin elak daripada berdebat dengan klien anda!

BERIKAN SENYUMAN YANG MENAWAN

Posted by Thinkerich on 06 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Berikan senyuman yang menawan! Itulah rahsia utama kebahagian hidup ini.

Senyuman ibarat satu pemandangan indah. Senyuman berseri mampu menarik orang lain mendekati dan merasai apa yang ada di dalam diri seseorang.

Berhadapan dengan karenah manusia, menuntut kesabaran yang kuat, oleh itu, perbanyakkan senyum dan jika perlu, berlatihlah untuk senyum. Senyuman menjadi ubat yang mujarab bagi mengubati duka dihati bukan sahaja kepada diri endiri malah juga kepada orang sekeliling.

Bapa Psikologi Amerika, William James pernah berkata;
“Tindakan yang bakal dilakukan oleh seseorang biasanya lahir daripada perasaannya terlebih dahulu”

Oleh itu, untuk mengelak diri dari diperkotakkatikkan oleh klien, kawallah perasaan kita dengan menelan secebis senyuman.

BERSANGKA BAIK

Posted by Thinkerich on 04 Mar 2009 | Tagged as: Motivasi Diri

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Dalam hidup ini kita perlu selalu bersedia dan bersangka baik terhadap semua orang.

Bagi memastikan kita sentiasa positif dan selalu bersangka baikkepada semua orang, kita hendaklah mempraktikannya selalu supaya ia sebati dengan diri kita.

Selalu berfikiran positif kepada setiap individui di sekeliling kita dan belajar menghormati mereka.

Belajarlah memahami perasaan setiap orang tanpa memandang status, pangkat dan jawatan.

Fikirkanlah! Apakah layanan kita selama ini apabila berhadapan dengan seorang tua yang berpakaian compang camping mengadap kita meminta bantuan?

Adakah sama layanan kita terhadap beliau berbanding individu yang berkedudukan seperti Datuk/Dato’?

Next Page »

Personal  Blogs - Blog Catalog Blog Directory
Free Counter perniagaan internet