October 2009

Monthly Archive

DIDIK MINDA DAN MINAT BISNES SEJAK DARI KECIL

Posted by Thinkerich on 26 Oct 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Malam tadi sempat menonton saluran ASTRO TV IQ bersama anak-anak dalam rancangan pendidikan kanak-kanak KA CHING, sebuah rancangan realiti untuk kanak-kanak sekolah dari Singapura yang berkonsepkan pertandingan bisnes antara team sekolah-sekolah rendah di Republik Singapura.

Apa yang menarik rancangan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang  amat menarik untuk ditonton oleh kanak-kanak, remaja mahu pun golongan dewasa bagi memupuk dan membangunkan minda dan minat keusahawanan dalam perniagaan.

Dalam pertandingan yang dibahagikan kepada dua pasukan itu, mereka diberikan cabaran tertentu untuk menjalankan aktiviti perniagaan tersebut berdasarkan kreativiti pemasaran dan bakat semulajadi masing-masing untuk membuat jualan sebanyak mungkin bagi membolehkan mereka memungut mata yang disediakan.

Pada akhir rancangan mana-mana pasukan yang berjaya membuat jualan tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang akan layak ke peringkat dan pusingan seterusnya hinggalah ke peringkat akhir.

Lihat bagaimana pendidikan dan hiburan diadun dengan begitu baik oleh negara jiran kita dalam membudayakan kemahiran matematik, keusahawanan dan perniagaan sejak dari bangku sekolah lagi.

Maka tak hairanlah ekonomi dan KDNK Republik Singapura lebih tinggi daripada negara kita. Ini kerana mereka tahu bagaimana untuk membangunkan generasi bijak pandai dalam pengurusan kewangan, keusahawan dan perniagaan.

Semoga suatu hari nanti akan ada pihak terbabit di negara kita seperti agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, NGO, syarikat korporat dan pihak penerbit di Malaysia juga boleh mulai mencontohi Republik Singapura dalam membudayakan keusahawanan dan minda niaga untuk kanak-kanak melalui rancangan realiti pendidikan yang membina dan bukan sekadar melambakkan saluran TV di Malaysia dengan rancangan realiti hiburan yang  tidak membawa faedah dan melalaikan minda kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa.

Kata pepatah, ” Meletur Buluh Biarlah Dari Rebungnya..”

Salam Kekayaan,

THINKERICH

ADAKAH ANDA LAYAK JADI PENJAMIN?

Posted by Thinkerich on 25 Oct 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi, Kepenggunaan

Salam pembaca blog pemikirkaya…

Ramai di antara kita hari ini tidak faham dan mungkin tidak tahu yang mana harus diutamakan..

Diri sendiri atau orang lain…

Mungkin juga kerana ingin menjaga hati  atau takut dikatakan sebagai seorang yang tidak boleh tolong menolong..

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sekiranya ada di antara kita hari ini didatangi oleh adik beradik, saudara-mara, ipar -duai, kaum kerabat, sahabat -handai dan lain-lain lagi ingin meminta tuan-puan menjadi penjamin  kepada mereka cuba pertimbangan perkara berikut;-

Adakah tuan-puan mempunyai lebihan wang atau pun harta yang boleh membantu mereka melunaskan hutang pinjaman tersebut seandainya mereka mengalami kegagalan untuk menjelaskan hutang tersebut?

Jika jawapan anda tidak!

Berterus- teranglah kepada mereka dan maklumkan bahawa anda juga seperti mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membantu menjelaskan hutang pinjaman tersebut jika perkara byang tidak diingini berlaku.

Berterus terang pada hari ini adalah lebih baik daripada menyimpannya hanya semata-mata untuk menjaga hati dan air muka orang lain…

Manusia sewaktu meminta pertolongan sanggup berjanji apa sahaja, tetapi pada kebiasaannya apabila tidak mampu menunaikan kewajipan mereka akan lebih mudah lari daripada tanggungjawab..

Fikir-fikirkanlah..

THINKERICH

BILAKAH WAKTU SESUAI UNTUK MELABUR?

Posted by Thinkerich on 24 Oct 2009 | Tagged as: Pelaburan

Salam pembaca blog pemikir kaya.

Bilakah waktu paling sesuai untuk melabur?

Soal seorang teman pada saya.

“Sepanjang masa”, saya menjawab dengan ringkas.

“Apa maksudnya sepanjang masa?”, soalnya kembali.

“Pelaburan itu adalah suatu ‘Perancangan’ untuk mendapat keuntungan hasil daripada modal yang kita keluarkan, oleh itu, kita perlu merancang untuk melabur sepanjang masa” jelas saya!

“Bila merancang untuk pelaburan, kita perlu tahu pelaburan yang kita buat itu untuk jangka masa pendek, sederhana atau panjang..”

“Pelaburan bukan sekadar memilih bentuk, jenis dan produk pelaburan tertentu tetapi kita mesti dan perlu faham kenapa dan mengapa kita membuat sesuatu pelaburan. ..”

“Sebab itulah kita perlu merancang…” jelas saya dengan panjang lebar.

“Tetapi apakah bentuk pelaburan yang sesuai untuk dilakukan sepanjang masa?” soalnya lagi minta penjelasan.

“Sudah tentulah pelaburan dalam diri sendiri dengan menambah ilmu pengetahuan..”

“Keduanya menjalankan perniagaan..bukannya melabur dalam perniagaan orang lain..”

“Sekiranya kita melabur dalam perniagaan  kita sendiri, kita mempunyai kawalan sepenuhnya, berbanding jika kita mengeluarkan modal melabur dalam perniagaan orang lain…”

“Dengan melabur dalam perniagaaan sendiri, kita boleh memilih bentuk operasi perniagaan kita sama ada untuk meminimakan kos operasi dan kerugian atau memaksimakan keuntungan. ”

“Apa yang penting perancangan pelaburan dalam perniagaan yang kita lakukan semuanya ditentukan oleh diri kita sendiri.”

“Jadi jika kita ingin memilih waktu pelaburan yang sesuai  pilihlah perniagaan!” ujar saya mengakhiri perbualan.

Kesimpulannya di sini,

Pelaburan bukan sekadar tertumpu kepada sesuatu produk atau instrument pelaburan tetapi apa yang lebih penting adalah ‘Perancangan’…

Jadi waktu paling sesuai untuk melabur adalah ’sepanjang masa’…

Sebabnya kita perlu sentiasa merancang tidak kira sama ada ekonomi sedang baik atau buruk..

Ketika ekonomi baik ..kita merancang untuk memaksimakan keuntungan dan melindungi nilai aset kita ketika ekonomi turun kelak..(Hukum Pelaburan ada turun naik, ada untung dan rugi)

Manakala ketika ekonomi buruk ..kita merancang untuk mendapatkan keuntungan daripada nilai pasaran yang sedang jatuh..

Salam kekayaan,

THINKERICH

HIJRAH MINDA DARI MAKAN GAJI KE PERNIAGAAN

Posted by Thinkerich on 21 Oct 2009 | Tagged as: Motivasi Perniagaan, Motivasi Diri

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Agak lama saya tak dapat kemaskini kandungan blog ini. Bukannya apa agak sibuk dengan projek terbaru yang bakal dilancarkan tidak berapa lama lagi.

Hmm..tambahan lagi selepas hari raya, badan terasa kurang sihat diserang batuk dan selesema berpanjangan.

Namun alhamdullilah masih dapat bertahan dan sempat mengagahkan diri kali ini untuk menulis tip pada hari ini.

Sebenarnya terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk mengubah mindset kita dari makan gaji ke perniagaan.

Antaranya adalah dengan meletakkan matlamat untuk meninggalkan pekerjaan makan gaji dan memulakan perniagaan pada masa depan.

Dengan meletakkan matlamat, minda kita akan sentiasa berfikir dan terfikirkan matlamat tersebut.

Seharusnya matlamat yang dibuat bukanlah matlamat yang kosong tetapi ianya diikuti dengan gambaran imaginasi dan emosi yang kuat, seolah-olah kita tiada pilihan lain lagi selain daripada menjalankan perniagaan.

Seterusnya apabila matlamat dan keinginan kita telah terarah ke arah tersebut, sudah tentu ianya akan mendorong kita untuk mencari bahan bacaan berkaitan dengan perniagaan dan keusahawanan yang ingin kita ceburi.

Ringkasnya di sini, untuk menukar mindset makan gaji kepada perniagaan, kita perlu banyak membaca.

Ini kerana apa yang kita baca itulah dunia pemikiran kita.

Apabila ianya telah sebati dan menguasai cara berfikir kita, sedikit demi sedikit ianya akan mempengaruhi tindakan dan matlamat kehidupan kita.

Kemudian langkah yang lebih efisien untuk merubah mindset atau cara berfikir dari makan gaji kepada perniagaan atau keusahawanan adalah dengan mendekati dan bergaul dengan mereka yang terlibat dalam perniagaan itu sendiri.

Pepatah ada mengatakan, jika ingin merasakan panasnya bahang api berkawanlah dengan mereka yang membuat besi dan jika ingin menikmati harumnya wangian minyak wangi berkawanlah dengan penjual minyak wangi.

Persekitaran pergaulan kita sebenarnya memberikan pengaruh terkuat dan terbesar dalam pembentukan sikap, sahsiah dan mindset kita.

Sudah tentulah dapatkan kawan atau rakan yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing, tidak kiralah sama ada kecil atau besar kerana kita boleh belajar dua perkara sekaligus daripada mereka yang berjaya ini.

Pertama kisah kejayaan yang memotivasikan kita.

Kedua kisah kegagalan yang dapat memberikan pengajaran buat diri kita.

Dengan mengikuti beberapa tips di atas, insyaAllah kita dapat berhijrah dari minda Makan Gaji kepada Minda Keusahawanan.

Salam kekayaan,

THINKERICH

LANGKAH PERTAMA UNTUK MENCAPAI KEKAYAAN

Posted by Thinkerich on 10 Oct 2009 | Tagged as: Motivasi Kekayaan

Salam Pembaca Blog Pemikir Kaya!

Saya pasti jika ditanya kepada setiap orang, “Adakah Mereka Ingin Menjadi Kaya?”

Tentu ramai yang akan menjawab, “Ya!”

Namun begitu, tahukah tuan-tuan dan puan-puan bahawa kebanyakan daripada mereka ini sebenarnya bukan sahaja tidak mampu mencapainya impian tersebut bahkan tidak mampu untuk melakukan langkah pertama untuk mencipta kekayaan.

Brian Koslow, founder dan President/CEO Breakthrough Coaching, Inc. syarikat yang menyediakan latihan perniagaan profesional (beliau menjadi jutawan ketika usianya 31 tahun), pernah berkata;

“Langkah pertama untuk mencapai kekayaan ialah denganberbelanja kurang daripada apa yang anda dapat”

 Memang tidak dapat disangkalkan lagi kenyataan beliau itu dan sudah tentu saya bersependapat dengannya.

Ini kerana jika hari ini anda memperolehi pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan bahkan mungkin mencecah RM10,000 sebulan sekalipun ianya tidak akan memberi sebarang makna jika anda berbelanja melebihi daripada apa yang anda perolehi!

Bahkan anda mungkin akan berada dalam keadaan masalah keberhutangan dan jika berterusan anda bukan sahaja tak dapat menjadi kaya bahkan ada kemungkinan untuk anda jatuh Bankrap atau Muflis!

Jadi saranan saya jika anda ingin mencapai kekayaan, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan mengawal semula perbelanjaan dengan memastikan ianya tidak melebihi daripada apa yang anda perolehi!

Ini bermakna anda perlu memastikan sebahagian daripada pendapatan anda itu disimpan dan dilaburkan untuk menjana kekayaan buat anda!

Kaedah terbaik adalah dengan Simpan dahulu sebelum Belanja dan bukannya Belanja dahulu kemudian baru ingin membuat simpanan!

Jika anda ingin mengetahui cara sebenar membuat simpanan dan seterusnya menguruskan pendapatan anda dengan cara yang betul anda boleh dapatkan E book Panduan Wang Gaji yang saya kira telah banyak membantu membuka minda para pembacanya untuk memulakan pengurusan  kewangan yang lebih baik!

 

Salam kekayaan,

THINKERICH

 

APA ITU PENDAHULUAN TUNAI?

Posted by Thinkerich on 07 Oct 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi, Kepenggunaan

Salam pembaca blog pemikir kaya!

Ramai yang tidak menyedari bahawa minda dan pemikiran kita amat mudah dipengaruhi dan dimanipulasikan oleh sesuatu perkataan dan bahasa.

Sebagai contoh, pengeluar kad kredit menggunakan istilah bahasa ‘Cash Advance’ atau Pendahuluan Tunai untuk ‘Credit Advance’ atau Pendahuluan Kredit.

Jadi apabila kita mendengar dan memahami ‘Cash Advance’ atau Pendahuluan Tunai, minda kita tidak menafsirkannya sebagai sesuatu yang perlu dibayar semula atau pun pinjaman yang perlu dibayar balik.

Ini berbeza dengan istilah ‘Credit Advance’ atau Pendahuluan Kredit yang secara tidak langsung membuatkan kita berfikir dua kali untuk menggunakan kemudahan ini.

Ini kerana kita semua sedia maklum, apabila ada ‘kredit’ sudah tentu ada bayaran tambahan atau faedah yang perlu dijelaskan bersama.

Tahukah anda? bahawa setiap pengeluaran Pendahuluan Tunai yang dibuat melalui Kad Kredit anda ianya akan dikenakan caj sekitar 5% dari jumlah yang didahulukan. Tertakluk pada jumlah minimum.

Ini bermakna jika seseorang itu mengeluarkan RM1,000 menggunakan kad kreditnya di mesin ATM maka beliau dikenakan caj pendahuluan sebanyak RM50!

Jadi sebaik sahaja RM1,000.00 diterima di tangan anda, maka jumlah yang perlu anda bayar kini menjadi RM1,050 hanya dalam beberapa saat tranksaksi dilakukan, kini anda perlu bayar tambahan RM50!

Bukankah ianya suatu harga yang MAHAL?

Jadi kepada anda yang memilki kad kredit, pesan saya janganlah sekali-kali menyalahgunakan pendahuluan tunai yang diberikan kerana ia sebenarnya adalah Pendahuluan Kredit yang ditukar istilahnya untuk memanipulasikan minda dan emosi pengguna.

APA ITU KAD CAJ, KAD DEBIT DAN KAD KREDIT?

Posted by Thinkerich on 05 Oct 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi, Kepenggunaan

Salam pembaca blog pemikir kaya!

Baiklah sebagaimana yang telah saya janjikan sebelum ini, kali ini kita akan mengetahui perbezaan di antara ketiga-tiga ‘alat’ pembayaran ini sebagai salah satu bentuk kemudahan bayaran yang ada dalam dunia kewangan pada masa kini.

KAD KREDIT

Kad kredit adalah sejenis kad yang membenarkan anda untuk berbelanja terlebih dahulu sejumlah amaun kredit yang telah ditetapkan untuk setiap kad yang dikenali sebagai had kredit.

Terdapat dua jenis kad kredit yang digunakan meluas iaitu MASTERCARD dan VISA.

Sebagai contoh sekeping kad kredit mempunyai had kredit berjumlah RM3,000 maka pemegangnya boleh menggunakan sehingga jumlah tersebut untuk membuat bayaran.

Ingat membuat bayaran bukannya untuk berhutang :) !

Dan setiap bulan pemegang kad kredit akan menerima bil urusniaga yang dibuat serta arahan untuk menjelaskan bayaran pada tempoh masa yang telah ditetapkan.

Biasanya pihak pengeluar kad kredit (biasanya bank dan syarikat kewangan) memberikan kebenaran dan pilihan untuk menjelaskan keseluruhan baki atau sekadar bayaran minima 5% daripada baki tertunggak yang perlu dibayar.

Awas! Jika anda hanya membayar 5% daripada baki tertunggak, maka anda terpaksa membayar ‘interest’ atau faedah tambahan sekitar 1.5% hingga 1.75%  sebulan ke atas baki tertunggak!

Jadi untuk mengelakkannya, jelaskan keseluruhan urusniaga bil  kad kredit anda sebelum tempoh masa yang telah ditetapkan.

Selain itu kad kredit juga menawarkan kemudahan ‘Cash Advance’ atau dalam bahasa melayunya Pendahuluan Tunai.

Apa itu Pendahuluan Tunai?

Saya akan jelaskan dalam artikel seterusnya…

KAD DEBIT

Kad debit pula adalah sejenis kad pembayaran di mana baki di dalam akaun tabungan atau semasa anda akan dikurangkan dengan serta-merta mengikut jumlah urus niaga yang dibuat.

Ini bermakna untuk menggunakan kad debit kita perlu memastikan yang akaun kita memilki jumlah simpanan atau wang yang mencukupi sebelum kita boleh membuat sesuatu bayaran.

Biasanya terdapat syarat khusus yang perlu dipatuhi dalam penggunaan kad debit ini iaitu dengan memastikan terdapat baki minima yang perlu ditinggalkan pada baki akaun kad debit kita.

Sebagai contoh kita telah memasukkan sejumlah RM1,000 ke dalam akaun kad debit kita dan kita tidak boleh membelanjakannya kesemuanya sekali, baki minima sekurang-kurangnya RM25 (bergantung kepada pengeluar kad debit) perlu ditinggalkan.

Terdapat beberapa jenis kad debit di Malaysia. Contohnya Bankcard yang merupakan kad ATM keluaran bank perdagangan tempatan.(Yang ini biasanya baki minima RM10 tetapi ada juga RM1)

Terdapat juga kad debit antarabangsa seperti VISA Electron dan MasterCard Electronic yang boleh digunakan di kedai saudagar yang mempamerkan logo yang berkaitan.

KAD CAJ

Kegunaan kad caj adalah sama dengan kad kredit, kecuali anda harus menjelaskan keseluruhan baki belum jelas yang tercatat dalam penyata bulanan anda sebelum tarikh tamat tempoh.

American Express dan Diners Club adalah dua daripada jenama kad caj yang terkemuka di Malaysia.

KAD KREDIT SEBAGAI ALAT PEMBAYARAN BUKAN UNTUK MEMBUAT HUTANG!

Posted by Thinkerich on 02 Oct 2009 | Tagged as: Kewangan Peribadi

Salam pembaca blog pemikir kaya!

Saya rasa ramai yang masih keliru a.k.a tak faham fungsi sebenar kad kredit.

Ramai di antara kita hari ini telah menyalahgunakan kemudahan kad kredit yang sepatutnya digunakan sebagai alat pembayaran kepada alat untuk berhutang.

Tahukah anda sejarah kad kredit?

Kad kredit sebenarnya diilhamkan berasaskan konsep ‘charge card’ atau kad caj Diners Club (merupakan kad caj pertama di dunia pada tahun 1950)  yang digunakan untuk makan di restoran atau hotel tanpa membayar tunai serta merta!

Hal ini kerana, pada pandangan masyarakat barat, adalah menjadi sesuatu yang kurang sopan jika mengira wang di meja makan.

Dan pada tahun 1958, kad caj American Express diperkenalkan kepada dunia!

Lihat asal usul kad kredit dicipta sebagai alat untuk kemudahan bayaran dan bukannya untuk berhutang.

Jika ada ingin tahu lebih lanjut tentang asal-usul kad kredit, anda boleh dapatkan keterangannya daripada buku Bajet Wang - 7 Cara Untuk Mengatasi Masalah Kekurangan Wang.

Hmmm..kini mungkin ada di antara anda yang mulai keliru, apakah perbezaan di antara Kad kredit, Kad Caj dengan Kad Debit?

Anda ingin tahu?

Saya akan jelaskan pada ‘post’ seterusnya…

Jadi teruskanlah bersama dengan blog pemikir kaya!

Salam kekayaan,

THINKERICH

ASTRO SI KAYA & ASTRO SI MISKIN

Posted by Thinkerich on 01 Oct 2009 | Tagged as: Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Apa khabar? Semoga sihat dan berada dalam keadaan ceria dan gembira selalu.

Hmm..pada rakan-rakan yang sambut Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang sebelum ini mungkin dah mula bekerja dan meneruskan rutin harian seperti biasa.

Baiklah kali ini saya nak berkongsi sedikit pengalaman saya dengan pembaca blog pemikirkaya semua.

Baru-baru ini saya baru sahaja berpindah ke rumah baru saya dan antara benda yang perlu dipindahkan sudah tentulah pemasangan semula set Astro saya.

Almaklumlah di Pulau Labuan ni, melanggan TV satelit berbayar seperti Astro telah menjadi satu keperluan bagi mereka yang ingin mendapatkan siaran TV.

Ini kerana tanpanya, tiada langsung siaran TV yang boleh ditonton, kecuali TV saluran negara Brunei Darussalam sahaja yang dapat ditonton dengan jelas.Hatta, rumah yang begitu daif sekalipun masih kelihatan satelit Astro berdiri megah dibumbung rumah tersebut! Bukan satu bahkan ada yang lebih dari satu!

Bercerita tentang pemasangan set Astro ini, installer Astro yang datang memindahkan dan memasangnya semula di rumah baru saya, berkongsi cerita pengalaman dan ragam para pelanggannya.

Katanya, kebanyakan orang di Labuan memasang lebih daripada satu set Astro di rumah mereka terutamanya bagi mereka yang mempunyai keluarga yang besar yang rata-ratanya penduduk kampung yang hidup sederhana.

Tetapi apa yang menghairankannya, pelanggannya yang kaya raya dan tinggal di banglo besar serta mewah  hanya memiliki satu set Astro sahaja tetapi dikongsikan sehingga 10 set TV di rumah mereka!

Lalu saya katakan kepadanya, itu tandanya mereka bijak menguruskan kewangan dan keperluan hidup mereka.

Nampak seolah-olah mereka kedekut dan berjimat tetapi sebenarnya mereka berhemah!

Berjimat maksudnya berbelanja kurang daripada apa yang kita perlukan tetapi berhemah pula bermakna kita membelanjakan wang dengan bijaksana.

Orang kaya tiada masa untuk menghadap TV sepanjang masa, mereka lebih sibuk dengan aktiviti menjanakan kekayaan untuk mereka.

Manakala orang sederhana dan miskin lebih banyak menghabiskan masa lapang mereka dengan menonton TV, dan sebab itulah mereka tidak kaya-kaya!

Dan yang lebih parah lagi mereka lebih rela mengeluarkan belanja yang besar hanya semata-mata untuk mendapatkan kepuasan berhibur dengan menonton saluran-saluran hiburan TV berbayar yang sebenarnya langsung tidak memberikan faedah.

Jadi, jika kita ingin menjadi kaya, kurangkanlah masa berhibur dan menonton rancangan TV berjam-jam. Sebaliknya tonton TV hanya untuk rancangan yang bermanfaat seperti program ilmu yang lebih banyak memberikan kita manfaat.

Pilihlah saluran TV yang ada faedah dan manfaat untuk kehidupan kita bukannya yang melalaikan kita. Saluran seperti Discovery Channel, Awani, dan Oasis banyak mempersembahkan program yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Personal  Blogs - Blog Catalog Blog Directory
Free Counter perniagaan internet