Salam pembaca blog pemikirkaya…

Sebelum ini saya ada menerima banyak pertanyaan dan persoalan  seperti berikut:-

“Apa Yang Perlu Dilakukan Dengan Wang Kita Bila Ekonomi Tidak Menentu?”

Saya percaya semua orang ingin tahu apakah tindakan terbaik yang perlu mereka lakukan dengan wang mereka bilamana ekonomi berada dalam ketidaktentuan.

Semua orang ingin tahu di mana mereka boleh meletakkan wang mereka dengan lebih selamat, terjamin dan terlindung daripada sebarang masalah kerugian.


“Patutkah mereka melaburkan wang mereka ke dalam Unit Trust? kata perunding unit trust, melaburlah ketika ekonomi sedang mengalami kejatuhan sebab harganya lebih murah!”

“Tapi bagaimana pula jika harganya terus menerus jatuh?”


“Atau beli sahaja pelan perlindungan Insurans/Takaful?”

“Atau mungkin simpan sahaja dalam Simpanan Tetap (FD) yang jauh lebih selamat?”

Itulah di antara soalan yang bertali arus yang sering saya terima …

Baiklah sebelum saya menjawab soalan-soalan tersebut, biarlah saya berterus terang terlebih dahulu.

Sebenarnya saya pun tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan kerana saya hanya memberi khidmat nasihat kewangan dan bukannya Ahli Nujum Pelaburan Kewangan yang tahu bila masanya sesuai untuk melabur dan bila pula masa yang sesuai untuk menjual!

Hakikatnya tiada seorang pun yang tahu apakah perkara yang berlaku pada masa hadapan, sebaliknya ramai yang dapat berhujah dengan baik berasaskan perkara lalu.

Sebagai contoh sejarah pulangan pelaburan…

Perkara yang telah berlaku, ramai di antara kita yang boleh berikan jawapan tetapi bila melibatkan perkara masa depan …tiada siapa pun boleh berikan jawapan yang pasti!

Jadi dengan kata lain, kita tidak tahu apa yang pasaran saham akan lakukan besok. Kita tidak tahu di mana harga minyak akan pergi dan apakah harga hartanah akan naik atau turun?


Sebenarnya tidak ada satu tempat yang selamat untuk melabur wang anda. Bukan pasaran saham, bukan pasaran hartanah dan bahkan bukan juga di bank!


Sekarang kita semua sudah tahu bahawa tidak ada jaminan untuk menghasilkan wang, cuma ada satu perkara sahaja yang dapat anda lakukan dengan wang anda ketika ekonomi tidak menentu…

Apa dia?

Jawabnya adalah dengan meningkatkan kekayaan bersih anda.

Jadi kita perlu rujuk pada Penyata Nilai Bersih kita.

Secara asasnya, tingkatkan Aset dan kurangkan Liabiliti atau tanggungan hutang yang ada pada kita.

Saya kira anda sudah dapat jawapan kepada persoalan pokok kita;

“Apa Yang Perlu Dilakukan Dengan Wang Kita Bila Ekonomi Tidak Menentu?”

Jawapannya adalah membayar semula hutang anda, terutamanya pinjaman perumahan anda (jika ada).

Lihat, setiap kali anda membayar hutang anda, anda akan memperbaiki situasi kewangan anda.

Begitu juga, ketika anda membuat hutang baru. Setiap kali hutang baru dibuat, maka situasi kewangan anda akan menjadi bertambah parah selepas itu.

Nak tak nak, anda perlu berhenti buat hutang baru, dan gunakan wang yang ada pada anda kini untuk bayar hutang piutang anda!

Sementara anda mencari cara untuk meningkatkan aset anda, adalah  lebih baik menggunakan wang itu untuk mengurangkan hutang anda terlebih dahulu.


Sekiranya anda berjaya menjelaskan hutang dengan kadar faedah 10% setahun dengan lebih cepat, saya kira anda sudah pun untung 10% daripada membayar terlalu banyak faedah kepada pihak pemberi pinjaman..

Berusaha untuk mendapatkan keuntungan pelaburan sejumlah 10% bukanlah satu usaha yang mudah, sebaliknya membayar hutang untuk mengurangkan faedah yang sama adalah lebih mudah dengan wang yang ada pada anda…

Jadi untuk ingatan anda, sekali lagi saya tegaskan, setiap kali anda tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan wang anda, Bayarlah Hutang Anda Terlebih Dahulu!.

THINKERICH

p/s : Nak tahu strategi yang terbukti berkesan untuk menghapuskan hutang? Dapatkan Ebook Panduan Bebas Hutang!

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb