Motivasi Iman

Archived Posts from this Category

KEMATIAN MOTIVASI HIDUP TERBESAR

Posted by Thinkerich on 13 Jan 2010 | Tagged as: Motivasi Iman

Salam pembaca blog pemikirkaya.

Apa khabar? Semoga sihat sejahtera hendaknya :)

Baiklah kali ini kita akan berbicara tentang satu topik yang saya kira tidak ramai yang sukakannya.

Apa tidaknya bila disebutkan soal mati,  ramai yang mula kecut perut, pelbagai alasan diberikan seperti “masih belum banyak amalan”, “belum bertaubat lagi”, “masih muda dan sihat” dan pelbagai lagi.

Walau apa pun alasan yang diberi,  soal hayat nyawa ini berada di luar kawalan kita, ia hanya menjadi rahsia Allah S.W.T.

Tiada siapa yang tahu bila tarikh akhir kehidupan mereka…

Oleh kerana itu, saya kira soal kematian ini patut dijadikan sebagai pendorong atau motivasi hidup kita yang terbesar.

Janganlah pula apabila saya katakan ianya sebagai pendorong, maka ada di antara kita selepas membaca artikel ini, akan terus meninggalkan pekerjaan duniawi dan terus menerus beribadat dengan mengerjakan solat dan zikir sepanjang hari, berada di masjid dan surau sepanjang masa dan meninggalkan semua tanggungjawab hidup di dunia.

Harus diingat, beribadat bukan sekadar bersolat dan berzikir bahkan skopnya cukup luas!

Bekerja juga suatu ibadat.

Belajar juga suatu ibadat.

Berzakat dan bersedekah juga suatu ibadah.

Membantu dan menolong orang, haiwan, tumbuhan juga merupakan suatu ibadat.

Hubungan suami isteri juga satu ibadah.

Bersukan dan berekreasi juga satu ibadah.

Pendek kata apa jua yang kita lakukan di dunia ini dengan niat kerana Allah S.W.T adalah merupakan suatu ibadah yang sangat dituntut.

Sebab itu, saya katakan untuk berjaya hidup di dunia dan di akhirat, soal mati ini boleh menjadi pendorong motivasi yang besar kerana kita harus tahu bahawa kehidupan di dunia ini adalah platform utama untuk bekalan hidup kita yang abadi di akhirat kelak.

Jika kita ingin berjaya di akhirat, sudah tentu kita perlu berjaya mengerjakan kewajipan kita di dunia terlebih dahulu.

Apabila kita ingin berjaya mengerjakan kewajipan dan ibadah kita di dunia, kematian sesuatu yang sering kita perlu ingati dalam fikiran kita.

Ini kerana saya percaya jika kita semua mengingati soal kematian, kita tidak akan sesekali meninggalkan tanggungjawab dan kewajiban kita sebagai seorang muslim.

Kita juga takut untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam dan perkara-perkara keji yang dilarang Allah S.W.T.

Kita akan lebih gemar dan suka serta redha untuk melaburkan hasil penat lelah kita untuk pelaburan di akhirat disamping mendapat sedikit manfaat di dunia.

Kita akan lebih banyak mengeluarkan zakat, bersedekah  dan infaq ke jalan Allah S.W.T. berbanding mengejar kesenangan dan kemewahan dunia semata-mata sehingga sanggup meleburkannya dalam pelbagai Skim Cepat Kaya.

Jadi rumusannya, kematian adalah sesuatu yang perlu sentiasa diingati dan bukannya ditakuti.

Ini kerana orang yang ingat mati akan menyegerakan taubat, meningkatkan ibadah dan tenang dalam hidup. Itu maksud hadis. Sama ada ibadah asas, sunat dan umumnya.

Tapi orang yang takut mati, akan hilang semangat untuk hidup. Takut mati menyebabkan mereka juga takut hidup. Hilang daya dan tenaga untuk berusaha.

Begitu juga soalnya dalam pengurusan kewangan, ramai di antara kita hari ini masih lagi hidup dibebani hutang piutang keliling pinggang. Sepanjang hidup hanya tahu untuk membuat hutang, jauh sekali berusaha untuk melangsaikannya.

Harus diingat bahawa mereka yang berhutang wajib melunaskan hutang mereka biarpun telah meninggal dunia.

Said ibn al-Athwa mengisahkan: “Ayah kami meninggal dunia dengan meninggalkan 300 dirham, juga keluarga dan hutang. Aku ingin memberikan nafkah kepada keluarganya”, lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ayahmu tertahan oleh hutangnya (rohnya tertahan). Oleh kerena itu bayarlah hutangnya itu”. (riwayat Ahmad)

Hadis di atas pula jelas menyatakan kepentingan menjelaskan hutang dalam pengurusan kewangan dan hidup kita. Untuk itu kita perlu belajar (suatu ibadah) kaedah dan langkah untuk menghapuskan hutang. Sertai seminar, bengkel atau dapatkan khidmat nasihat Perancang Kewangan Bertauliah atau dapatkan buku-buku berkaitan dengannya atau pelajarinya dengan lebih mudah dan menjimatkan melalui ebook Panduan Bebas Hutang di sini! 

Walau apapun yang kita lakukan hari ini, sentiasalah ingatkan kematian kerana ianya adalah sesuatu yang pasti yang dirasai oleh setiap makhluk Allah S.W.T yang bernyawa.

Semoga apa yang saya kongsikan kali ini dapat memberikan manfaat kepada saya dan juga para pembaca sekalian, jadikanlah kematian sebagai motivasi terbesar untuk kita hidup di dunia dan di akhirat.

Waallahualam.

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

SEDEKAH JARIAH PELABURAN TERBAIK

Posted by Thinkerich on 03 Sep 2009 | Tagged as: Motivasi Iman, Kewangan Peribadi, Motivasi Kekayaan

Salam pembaca pemikirkaya.

Sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, ada baiknya jika kita dapat meningkatkan lagi amalan memberi dan ibadah sedekah jariah.

Saya percaya ramai di antara kita hari ini begitu teruja dengan pelbagai bentuk produk dan alat pelaburan yang berupaya memberikan pulangan yang menguntungkan sehinggakan ada yang begitu taksub menyertai pelbagai skim cepat kaya!

Tetapi pernahkan kita semua terfikir?

Kesemua keuntungan dan hasil yang kita perolehi itu tidak akan ke mana jika kita tidak tahu merancang dan menguruskannya.

Maksud saya di sini, jika kita gagal merancang pelaburan kita, hasil yang diperolehi tidak akan dapat dikembangkan lagi.

Sudah tentulah lebih ramai di antara kita hari ini yang cenderung untuk ‘reinvest’ atau melabur semula hasil keuntungan mereka bagi mendapatkan pulangan yang lebih baik.

Persoalan saya disini, sudahkan tuan-puan ‘reinvest’ sebahagian daripada pendapatan pelaburan tersebut untuk mendapatkan pulangan terbaik?

Pulangan yang bukan sahaja diperolehi di dunia, bahkan diakhirat juga!

Apabila disebut akhirat, sudah pasti pulangan yang diterima berterusan dan berpanjangan.

Umum mengetahui bahawa bilamana meninggal seorang anak adam itu, maka terputuslah segala-galanya kecuali tiga perkara :

* Doa anak yang soleh
* Amal jariah
* Ilmu yang boleh dimanfaatkan orang lain

Sudahkah kita membuat perancangan dan menyediakan bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti?

Firman Allah SWT :

Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak. ( Al-Hadid:18)

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh biji, pada tiap-tiap biji itu pula ditumbuhkan lagi dengan seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah: 261)

Persoalannya adakah kita yakin dengan pulangan yang dijanjikan Allah SWT (sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar).

Adakah kita bersedekah secara terancang atau bila hanya terlintas atau tergerak hati sahaja?

Berapakah peratus pulangan yang dijanjikan Allah SWT?

Jawapannya ialah 70,000 %

MasyaAllah, begitu besar pulangan pelaburan yang dijanjikan jika kita melabur ke jalan Allah, tetapi berapa ramaikah di antara tuan-puan yang telah melaburkan harta untuk tujuan ini?

Justeru itu, saya amat menyarankan agar dapat kita membuat perancangan pelaburan kita bukan sekadar untuk keuntungan dunia tetapi biarlah kedua-duanya sekali iaitu di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya pulangan pelaburan akhirat adalah lebih besar dan berkekalan.

Wallahu’alam.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

SELAMAT BERPUASA & BERBELANJA DENGAN BIJAKSANA

Posted by Thinkerich on 22 Aug 2009 | Tagged as: Motivasi Iman, Kepenggunaan

Salam pembaca blog pemikir kaya.

Hari ini seluruh umat Islam di negara kita memulakan ibadah puasa.

Saya sekeluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan

Selamat Berpuasa  dan selamat menyambut Ramadhan kepada semua

para pengunjung blog pemikir kaya yang beragama Islam.

Semoga segala usaha dan amal kita sepanjang bulan yang mulia ini diberkati

oleh Allah s.w.t.

Apabila bulan puasa tiba, maka seperti biasa bazar-bazar ramadhan yang

menjual pelbagai juadah berbuka puasa pun dilihat meriah di sana -sini.

Sudah tentulah apabila mengunjungi bazar ramadhan dalam ketika perut kosong

benar-benar menguji nafsu dan tabiat berbelanja kita.

Menurut kajian, ketika keadaan perut kosong seseorang itu lebih mudah berbelanja

dengan berlebihan berbanding dalam keadaan perut yang kenyang.

Oleh itu, adalah lebih baik kita senaraikan dulu apa sahaja keperluan perbelanjaan untuk

berbuka puasa lebih awal iaitu ketika perut kita baru sahaja diisi dengan makanan.

Contohnya, senarai keperluan untuk berbuka puasa telah disediakan lebih awal iaitu pada malamnya atau pun selepas selesai bersahur.

Dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyenaraikan keperluan dengan lebih rasional berbanding ketika perut kosong di siang hari yang lebih banyak menyenaraikan kemahuan menurut nafsu dan bukannya keperluan sebenar kita.

Jadi itu salah satu tip berbelanja sepanjang bulan ramadhan ini.

InsyaAllah, saya akan berkongsi dengan pembaca sekalian pelbagai lagi tip lagi pada masa akan datang sepanjang bulan ramadhan ini untuk kebaikan kita bersama.

Selamat berpuasa!

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

USTAZ ASRI RABBANI | PERGI TAK KEMBALI

Posted by Thinkerich on 13 Aug 2009 | Tagged as: Motivasi Iman

Hayati lirik nasyid yang pernah dialunkan oleh Allahyarham Ustaz Asri dan Rabbani ..

Semoga kita semua dapat bermuhasabah diri…

**************************************************

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada…lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang…ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

************************************************

Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Ustaz Asri Rabbani, semoga rohnya dicucuri rahmat…Al-Fatihah..

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

AMALAN JIWA UNTUK MURAH REZEKI

Posted by Thinkerich on 18 Jul 2009 | Tagged as: Motivasi Iman

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Hari ini ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan dan merasakan rezeki mereka terlalu sempit.

Maka kali ini saya ingin berkongsikan dengan anda semua satu amalan kejiwaan dan kerohanian yang boleh dilaksanakan untuk melapangkan dan memudahkan rezeki anda semua! InsyaAllah…

Tetapi suatu perkara yang harus diingat, ianya juga haruslah disusuli dengan ikhtiar dan usaha..

Jadi apakah amalan tersebut?

Amalan tersebut adalah Solat dhuha..

SEBAGAI umat Islam, kita wajib yakin bahawa segala sesuatu adalah milik mutlak Allah SWT. Seiring hakikat itu dan ketika ekonomi negara yang gawat ini, eloklah untuk kita semua bermuhasabah dan kembali mendekati Allah SWT.

Mengapa tidak segala keluhan seperti bajet lari, hutang bertimbun dan pelbagai kesusahan lain diadukan kepada Allah SWT? Dia bersifat Ar-Razzak iaitu Yang Maha Memberi Rezeki.

Satu kaedah mudah untuk mendekati Allah SWT ialah dengan mengerjakan solat sunat dhuha. Hanya dengan dua rakaat setelah matahari naik kadar tinggi “segalah” - kira-kira 30 minit setelah terbit matahari - kita boleh mengadu untung nasib kepada-Nya.

Bermula dengan niat solat sunat itu, iringi bacaan al-Fatihah dengan surah al-Kafirun, al-Ikhlas atau al-Syams pada rakaat pertama serta Surah al-Dhuha pada rakaat kedua. Lakukan solat ini dengan keyakinan ia mampu memberi ketenangan dan kemurahan rezeki.

Setelah selesai solat disunatkan pula berdoa dengan doa memohon kurniaan rezeki: “Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha ini adalah waktu dhuha-Mu, keindahan dan kecantikan ini adalah keindahan dan kecantikan-Mu, kekuatan dan kekuasaan ini adalah kekuatan dan kekuasaan-Mu, pemeliharaan ini adalah pemeliharaan-Mu.

“Ya Allah, jika rezekiku di langit turunkanlah ia, jika rezekiku di bumi keluarkan ia, jika di laut maka timbulkan ia, jika sukar maka permudahkanlah, jika sedikit perbanyakkanlah, jika banyak maka berkatilah, jika haram maka sucikanlah, dengan berkat waktu dhuha-Mu, keindahan, kecantikan, kekuatan, kekuasaan dan pemeliharaan-Mu. Kurniakanlah daku apa yang Engkau anugerahkan kepada hamba-Mu yang salih dan beriman.”

Ingatlah bagaimana kuatpun seseorang bekerja mencari wang, rezeki tetap di tangan-Nya. Justeru umat Islam disaran berjinak-jinak dengan amalan mudah ini kerana selain rezeki bertambah, banyak kelebihan disediakan oleh Allah SWT.

Antaranya keampunan dosa seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang sentiasa melaksanakan dua rakaat dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan”.

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Atas tiap segala sendi daripada seseorang kamu berkehendak sedekah. Maka tiap-tiap tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Begitu juga menyeru kepada yang makruf adalah sedekah. Mencegah mungkar adalah sedekah. Dan memadai daripada yang demikian itu dua rakaat solat sunat dhuha”.

Begitulah hebatnya solat ini. Bagaimanapun bukan semua orang mahu berkorban masa untuk melaksanakannya. Ramai yang rela memperuntukkan waktu bersembang sambil menghirup kopi di warung daripada mengerjakan solat sunat yang tidak lebih 10 minit ini.

Memang solat sahaja tidak mendatangkan rezeki. Tetapi sekurang-kurangnya dengan usaha dan diiringi doa, kita akan lebih berjaya. Selain itu, amalan yang dilaksanakan menerusi solat merupakan bukti betapa setiap individu Muslim diperintah untuk selalu bersyukur.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim Ayat 7)

Dipetik dan diolah semula hasil tulisan saudara MOHD. ALI MUHAMAD DON, PensyarahPusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

SALAH PANDANGAN TENTANG KEKAYAAN

Posted by Thinkerich on 22 Jun 2009 | Tagged as: Motivasi Iman, Kewangan Peribadi, Motivasi Kekayaan

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Apa khabar? Semoga dilindungi Allah s.w.t hendaknya..

Apa cerita hari ini? Hmm..saya rasa ada baiknya saya kongsikan dengan anda tentang kekayaan..

Ya, tentang kekayaan..

Ramai yang masih fobia, takut, segan, malu dan macam - macam perasaan dan tanggapan lagi muncul sebaik disebut pasal kekayaan..

Saya masih ingat, suatu masa dahulu seorang teman saya pernah menegur tingkahlaku saya yang ‘obses’ dalam mencari wang dan pendapatan tambahan melalui perniagaan, pelaburan untuk mencapai kekayaan!

Katanya, “Sudah-sudahlah tu cari wang…tak kan pangkat dan gaji dah besar pun tak cukup lagi? Dengan bisnes lagi, pelaburan lagi berapa banyak wang yang kau nak ni??? Nanti harta kekayaan banyak-banyak pun bukan boleh bawa ke kubur!!”, katanya cuba mematikan impian dan semangat keusahawanan saya…

“Maafkan saya kawan…, bukan begitu maksud saya.. apa yang saya usahakan hari ini bukan untuk bekal duniawi sahaja tetapi ukhrawi..” jelas saya cuba menjelaskan maksud dan tujuan saya yang sebenar kepadanya.

Tuan-puan yang dirahmati Allah s.w.t,

Mencari kekayaan itu adalah harus bahkan amatlah dituntut dalam agama…bahkan kemiskinan itu sendiri perlu dihindari seboleh mungkin…(kerana ditakuti kemiskinan itu sendiri boleh membawa kepada kekufuran…!)

Ini kerana dengan harta kekayaan yang ada pada kita hari ini, dan juga pada masa depan boleh dijadikan bekal untuk perjalanan hidup kita yang kekal abadi di akhirat kelak…

Ya, memang betul harta kekayaan tidak boleh dibawa ke kubur, tetapi dengan adanya harta tersebut, dengan melakukan perancangan wasiat dan pusaka yang BETUL!, maka kita boleh agihkan sebahagiannya untuk pewaris kita, dan sebahagian lagi untuk masyarakat..

Ya, untuk masyarakat bagi kebajikan agama, bangsa dan negara…

Biarpun jasad kita sudah hancur ditelan tanah, namun pelaburan atau syer ‘wakaf’ yang kita wasiatkan untuk kegunaan masyarakat faedahnya jauh lebih besar dan berganda pulangannya…ianya tidak ternilai dan terhitung oleh manusia, hanya Allah s.w.t sahaja yang akan membalasnya…

Oleh itu, jangan sekali-kali kita mematahkan atau mematikan niat, dan daya usaha yang dilakukan oleh saudara kita untuk mencapai kekayaan, bahkan doakanlah mereka semoga dengan harta kekayaan yang bakal mereka perolehi tersebut dapat membuka hati mereka untuk berbelanja ke jalan yang diredhai Allah..

Sebaliknya jika kita dapat tahu ada di antara rakan kita yang mencari kekayaan dengan jalan yang salah dan menyimpang seperti rasuah, judi, penyelewangan, penipuan , penganiayaan, skim cepat kaya dan pelbagai lagi bentuk kekayaan yang disertai oleh rakan kongsi yang bernama IBLIS, maka nasihatilah mereka dan doakan untuk mereka agar Allah s.w.t membuka hati mereka dan menunjukkan jalan yang lurus…IsyaAllah dengan doa ikhlas daripada saudara-saudari semua dapat membantu mereka pulang ke pangkal jalan..

Setakat ini dahulu bicara kita tentang kekayaan, insyaAllah jika diberi izinNya nanti, kita akan berbicara lagi melalui blog ini bagi mencapai kekayaan sebenar yang diidam-idamkan! Bukannya kekayaan material semata bahkan kekayaan minda & JIWA!

Semoga tuan-puan pembaca semua dapat manfaat daripada perkongsian ini dan seterusnya dapat memperbetulkan semula tanggapan kekayaan yang dicari di dunia yang sementara ini…

Yang baik datangnya daripada Allah, dan semua kekurangan itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri - seorang hamba yang lemah di sisiNya…

Wassalam

THINKERICH

p.s : Jika anda berhasrat untuk mencapai kekayaan, langkah pertama yang perlu anda kuasai adalah melalui pengurusan kewangan peribadi anda. Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan panduan khusus untuk menguruskan wang anda, maka anda boleh dapatkannya di sini!

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

PERMAINAN JUDI INTERNET

Posted by Thinkerich on 20 May 2009 | Tagged as: Motivasi Iman, Skim Cepat Kaya

Salam pembaca blog pemikirkaya!

Jika tahun 2007 heboh pasal pelaburan internet, kini muncul pula trend terbaru orang yang sedang mabuk mencari wang dan duit segera dengan menyertai perjudian internet pula.

“Bro, aku baru menang RM42,820.00!”, jerit seorang kenalan kepada saya!

“Main benda nih, prinsipnya mudah jangan tamak! Tapi duit yang aku dapat, aku tak buat belanja, buat bayar hutang je!”ujarnya lagi dengan penuh bangga!

“Ramai yang main benda nih, aku dah 3 tahun main benda nih. Setakat nak dapat RM200 sehari tu mudah aje. Minggu lepas, Zul menang RM167,000.00 kemudian Mamat menang RM250,00.00,”katanya lagi seolah-olah cuba mempengaruhi saya untuk turut serta!

“Maaf saudaraku, anda perlu sedar yang HARAM tetap HARAM, jangan pandai-pandai meminda HUKUM ALLAH, kelak besar azabnya nanti!” jelas saya dengan nada yang agak kecewa.

Saya cuba menyedarkan kenalan lama saya yang nampaknya telah jauh terpesong!

Dia terus diam membisu, wajah ceria dan ghairahnya tadi mula bertukar..agaknya baru tersedar, antara yang Halal dan Haram!

Alhamdullilah, setelah saya menasihatinya, nampaknya beliau mulai sedar akan kesilapannya itu.

Saya minta beliau segera bertaubat!

Tuan-tuan dan puan-puan para pembaca yang saya hormati sekalian!

Lihatlah betapa hari ini, ramai yang mulai lupa dan tidak tahu membezakan di antara yang halal dan haram hanya kerana dikuasai oleh wang dan hutang!

Benar, hasil perjudian yang haram itu tidak digunakan untuk makan minum tetapi harus diingat, jika digunakan membayar hutang sekalipun ianya tetap tidak boleh!

Ini kerana wang tersebut digunakan untuk membayar balik perbelanjaan dan keperluan keluarga yang telah digunapakai sebelum itu. Menggunakannya samalah seolah-olah menanggung keperluan keluarga dengan hasil judi yang haram!

Bayangkan jika hasil daripada wang haram perjudian tersebut digunakan untuk membayar hutang pinjaman pembiayaan kereta, maka secara tidak langsung kereta yang digunakan tersebut telah bercampur dengan wang haram!

Bayangkan kereta yang dipandu yang digunakan untuk mencari rezeki  saban hari adalah hasil judi, maka sudah tentulah rezeki halal yang dibawa balik untuk keluarga juga sudah tidak menjadi bersih lagi, apatah lagi untuk disuap kemulut ahli keluarga.

Begitu juga dengan harta haram dan perjudian ini, pada kebiasaanya kedudukannya tidak akan kekal lama.

Pasti akan ada sahaja musibah yang melanda ke atas harta daripada punca haram ini.

Saya pernah beberapa kali mendengar cerita tentang wang hasil perjudian ini yang digunakan untuk membeli harta.

Salah satu kisah yang masih segar diingatan saya berkenaan seorang pemuda yang memenangi  hadiah ratusan ribu ringgit daripada perjudian yang dilakukannya. Jumlah wang yang besar tersebut digunakan untuk membina sebuah banglo di kampung halamannya.

Namun begitu tidak sampai beberapa bulan mendiami rumah berkenaan, rumah tersebut hancur lebur terbakar akibat dipanah petir. Mujurlah pemuda dan keluarganya dapat menyelamatkan diri.

Itulah salah satu tanda kemurkaan Allah s.w.t kepada hambanya yang melakukan perbuatan mungkar.

Jadi saranan saya, jika mahu cari wang dan rezeki itu, biarlah yang halal. Sebenarnya banyak lagi usaha dan kerja yang boleh dilakukan untuk menambahkan pendapatan daripada sumber yang halal.

Jangan terikut-ikut dengan ajakkan teman.

Ingat teman yang baik sentiasa mengajak kepada kebaikan, manakala kawan yang “tunggang terbalik” membawa ke jalan kemungkaran!

Wassalam…

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

MOTIVASI IMAN & ISLAM

Posted by Thinkerich on 13 May 2009 | Tagged as: Motivasi Iman

Salam pembaca blog pemikirkaya! 

Apa khabar semoga sihat ceria dan dilindungi dan dirahmati Allah s.w.t hendaknya.

Dalam banyak-banyak motivasi, apakah motvasi yang terbaik dan perlu diutamakan dalam hidup ini?

Sudah tentulah motivasi yang melibatkan kerohanian!

Sehubungan itu, mulai hari ini, blog PemikirKaya akan memuatkan artikel baru dan yang dikenali sebagai Motivasi Iman dan Islam.

Motivasi Iman dan Islam akan memuatkan artikel-artikel tazkirah yang menarik yang dipetik daripada pelbagai sumber agar para pembaca blog pemikirkaya dapat bermuhasabah diri dan seterusnya mencapai kekayaan jiwa yang sepatutnya dicari-cari selama ini.

Selain itu, ianya juga akan menjadi satu saluran dakwah untuk kita saling ingat mengingati di antara satu sama lain!

Ini kerana dalam era globalisasi, pendekatan dakwah Islam juga perlulah seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan peredaran zaman.

Semoga para pembaca mendapat manfaat dan dirahmati Allah s.w.t.

Solat selongkar rahsia kejayaan, keselamatan ummah

ALLAH mewajibkan solat fardu lima kali sehari semalam sebagai jadual untuk memberi peluang kepada manusia mengingati dan tidak melupai-Nya.

Apabila ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat-Nya.

Kekuatan solat menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur kepatuhan syariat Islam.

Kelemahan menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi. Solat ialah penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal mulia.

Tegak solat bermaksud tegaklah agama dan terabainya solat adalah meruntuhkan agama.

Dengan demikian, kekuatan akar umbi ialah kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah.

Umat Islam digalak memulakan amalan solat ketika berumur tujuh tahun. Apabila 10 tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat.

Jika ingkar, diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.Firman Allah bermaksud: “Dan perintahkan keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.

Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa.” (Surah Thahaa, ayat 132) 

Demikianlah tingginya kewajipan seorang Muslim terhadap ibadah solat yang menjadi amanah Allah.

Jika kita memelihara solat, nescaya sentiasa dipelihara Allah, manakala jika mengabaikannya kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat?

Antara faedahnya untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia sendiri. Solat ialah benteng daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.

Ini bermakna, Muslim yang istiqamah solatnya menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal salih, bersifat amanah, berintegriti tinggi dan berjiwa tawaduk.

Mereka yang mengabai dan meringankan solat dilihat cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan diri serta masyarakat. 

Imam Ahmad meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya pada hari kiamat.

Sementara mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela dan penyelamat.

Bahkan mereka diletakkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubay Khalaf.” Orang meninggalkan solat disebabkan harta dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Firaun, jika disebabkan jawatan dihimpun bersama Haman dan jika disebabkan dunia korporat pula dihimpun bersama Ubay, seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. 

Semua watak itu boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, perceraian yang semakin meningkat, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.

Melakukan dosa besar bukan saja kerana berzina, mencuri, minum arak, menderhaka ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah serta azabnya dahsyat di dunia dan akhirat.

Ini dijelaskan Nabi SAW dalam salah satu gambaran azab ketika peristiwa Israk dan Mikraj, orang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang kali. Selain itu, Allah mencampakkan golongan itu ke dalam neraka Saqar. 

Firman Allah bermaksud: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.” (Surah al-Muddaththir, ayat 43) 

Lupakah kita mengenai ingatan Rasulullah SAW supaya tidak mengabaikan solat pada saat akhir hayat Baginda? Begitu juga kisah Saidina Umar al-Khattab, walaupun tidak sihat akibat ditikam Abu Lu’lu’ah al-Majusi, apabila mendengar seruan solat, beliau segera bangun mendirikannya. 

Sempena kempen bulan dakwah di seluruh negara, apakah peranan umat Islam sekalian dalam usaha menjadikan kekuatan solat sebagai penanda aras kekuatan kualiti beragama? Justeru, setiap kita perlu saling ingat mengingatkan supaya sentiasa menunaikan solat. 

Jangan bersifat lepas tangan. Sumbangan kita menggalakkan solat atau menyediakan kemudahan tempat solat yang selesa dianggap sebagai langkah mendekati Allah. 

Firman Allah bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, melarang berbuat kejahatan; mereka mendirikan solat dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mereka diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71) 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Harian, Selasa 12 Mei 2009. 

Wassalam

THINKERICH 

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb

Personal  Blogs - Blog Catalog Blog Directory
Free Counter perniagaan internet