Salam pembaca Blog Pemikir Kaya!

Laporan akhbar beberapa hari yang lalu ada melaporkan negara kini telah mencatatkan kadar inflasi tertinggi pada Julai 2008 dengan kadar 8.5%  iaitu keadaan paling teruk dalam sejarah ekonomi negara sejak 27 tahun yang lalu.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, inflasi yang dihadapi negara sekarang adalah merupakan inflasi dorongan kos disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan komoditi di seluruh negara.

Cuba anda bayangkan dengan kadar inflasi sebegitu tinggi, melebihi pulangan KWSP tahun lalu (5.8 %) dan ASB (8%), sudah tentu memberi kesan kepada wang yang anda miliki pada hari ini.

Kesannya anda boleh lihat sendiri kepada harga barangan keperluan pengguna hari ini yang meningkat naik dengan pantas tanpa anda sendiri sedari. Dengan trend kenaikan inflasi yang terus menerus meningkat, apakah hasil pendapatan anda turut meningkat sama?

Jika jawapannya tidak, anda akan berada dalam keadaan yang semakin tertekan. Ini kerana keperluan anda akan tetap sama dan mungkin akan bertambah tetapi wang anda tidak bertambah sebaliknya nilainya semakin mengucup.

Sebagai contohnya, jika dahulu dengan wang pendapatan sedia ada, anda mampu membeli 10 jenis barangan keperluan anda, kini mungkin anda hanya mampu membeli 8 jenis barangan sahaja!

Tidakkah itu memberi kesan kepada kewangan anda? Sudah tentu, bukan?

Jadi apa yang perlu anda lakukan kini adalah untuk bertindakbalas untuk menentang kesan daripada kos inflasi iaitu dengan bertindak dan bukannya duduk diam terus merungut dan menyalahkan pihak lain. Ini kerana orang lain tidak akan dapat membantu anda, hanya diri anda sendiri yang bertanggungjawab untuk mengatasinya.

Pihak kerajaan mungkin boleh mengambil tindakan berikut untuk mengatasi masalah ini iaitu dengan :-

1. Mengawal Permintaan
Jumlah permintaan melebihi jumlah penawaran di pasaran menyebabkan harga meningkat. Oleh itu adalah perlu untuk mengekalkan jumlah permintaan pada tahap yang munasabah.

2. Mengawal Bekalan
Dilakukan dengan cara meningkatkan bekalan melalui peningkatan produktiviti, memperbaiki jaringan pengedaran, mengimport bahan mentah yang lebih murah dan mengurangkan pembaziran merupakan langkah berkesan untuk mengurangkan tekanan inflasi.

3. Polisi Ekonomi Makro
Tindakan Kerajaan melalui pengurusan cukai, kewangan dan pentadbiran untuk menentukan halacara pembangunan negara.

Manakala tugas anda sebagai pengguna pula untuk menghadapi inflasi adalah dengan mengambil langkah-langkah seperti berikut :-

  • Elakkan pembaziran, berjimat dan membeli apabila perlu sahaja dan mengikut rancangan perbelanjaan dan kemampuan anda.
  • Cari kedai yang menawarkan harga yang berpatutan serta yang meletakkan tanda harga.
  • Dapatkan harga terbaik juga dengan cara tawar-menawar jika dapat dilakukan.
  • Memperbaiki yang lama lebih baik daripada membeli baru, jika ekonomik.

Selain daripada itu, kaedah terbaik untuk menetang inflasi disamping melindungi nilai wang anda dalam jangkamasa yang panjang adalah dengan mencari produk atau peluang pelaburan yang boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi berbanding nilai inflasi semasa seperti Unit Amanah dan Hartanah. Namun ianya juga bergantung kepada kemampuan dan kesanggupan anda untuk menerima kemungkinan dan risiko.

Pokoknya tanpa risiko anda mungkin tidak mendapat apa-apa pulangan kerana pada asasnya prinsip pelaburan,  semakin tinggi risikonya semakin tinggi peluang untuk anda mendapat keuntungan!

Salam kekayaan,

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb