Salam pembaca blog,

Ramai antara kita yang masih keliru tentang fokus sebenar dalam menguruskan wang. Kebanyakan daripada kita masih beranggapan jika mahu menjadi kaya kita perlu berusaha mencari seberapa banyak wang.

Jika anda fokuskan kepada mencari wang semata-mata, sebenarnya Berapa Banyak Yang Anda Mahu? Pada pengalaman dan pengamatan saya bersama beberapa orang kenalan yang berpendapatan tinggi dan sederhana, usahawan yang ‘low profile’ tetapi berstatus jutawan, pekerja makan gaji yang rajin buat ‘part time’ mahu pun yang bekerja sendiri masing-masing mempunyai tabiat dan cara pengurusan wang yang berbeza di antara satu sama lain.

Sebagai contoh mereka yang berpendapatan sederhana kebanyakan akan cuba mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi dengan berusaha lebih rajin dalam pekerjaannya dan apabila berjaya memperolehi pedapatan tersebut, kebiasaannya mereka mendapati ianya masih tidak mencukupi. Kenapa perkara sebegini berlaku ?

Jawapannya mudah, apabila anda fokus kepada berapa banyak pendapatan anda, secara tidak langsung adalah lebih mudah untuk anda dipengaruhi oleh emosi sendiri dengan berbelanja setara atau setanding dengan pendapatan anda.

Katakan sebelum ini anda memperolehi pendapatan RM3,000.00 sebulan, kemudian rezeki anda melimpah ruah pada tahun ini dan anda dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih kanan dengan pendapatan RM5,000.00, apakah anda akan terus hidup dengan gaya hidup RM3,000.00? Kebanyakannya Tidak!

Manusia adalah makhluk beremosi yang mudah terpengaruh dengan persekitaran masing-masing. Jika sebelum ini mereka memandu kereta nasional (harga lebih rendah) tetapi bila memiliki pendapatan yang lebih baik sudah tentu mereka ingin mengubah imej mereka.

Mungkin anda akan beranggapan adalah tidak sesuai seorang pegawai kanan hanya memandu kereta yang biasa, bagi menonjolkan imej, maka anda bertukar kepada kereta baru keluaran Luar Negara. Baru ada gaya, kata anda! Maka secara tidak langsung tanggungan kewangan anda turut meningkat seiring dengan pendapatan anda.

Sebaliknya jika anda fokus pada simpanan dan mempunyai ‘Sasaran Matlamat Simpanan’ (SMS) anda sendiri, secara tidak langsung anda akan mengutamakan matlamat tersebut dahulu dan seterusnya menangguhkan segala bentuk ganjaran buat diri anda.

Maka tidak hairanlah jika anda pernah lihat mereka yang rajin berkerja dan berusaha mencari pendapatan terus berhempas pulas mencari wang seolah-olah tidak pernah cukup. Ini kerana mereka terlalu menumpukan pada jumlah wang yang mereka perolehi dan bukannya berapa banyak yang mereka patut simpan daripada wang yang diperolehi tersebut.

Saranan saya, jika anda ingin menjadi kaya dan seterusnya mencapai impian kebebasan kewangan peribadi anda, Fokus kepada SIMPANAN dan bukannya pendapatan semata-mata!

Salam kekayaan,

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb