WANG TIDAK CUKUP?
Posted by Thinkerich on 26 May 2008 at 12:01 am | Tagged as: Kewangan Peribadi
Salam pembaca blog,
Selama 2 hari yang lepas post di dalam blog ini meyenaraikan senarai individu terkaya di dunia dan di Malaysia. Bagi kebanyakan orang senarai tersebut mungkin tidak memberi sebarang makna kepada mereka. Ada yang membaca dan melihatnya sekadar ingin tahu, ada pula yang menyaksikan senarai tersebut menyatakan kekaguman mereka dan tidak kurang pula yang iri hati dengan kekayaan yang telah diperolehi oleh individu berkenaan.
Bagi saya dengan melihat dan mengkaji aset kekayaan individu berkenaan, ianya membuatkan saya lebih berfikir. Ya, lebih berfikir! Bagaimana mereka saban tahun bergelut menguruskan aset kekayaan mereka. Ada yang meningkat naik, ada yang mewarisi daripada peninggalan keluarga, ada yang jatuh, dan ada juga yang tidak berubah.
Malangnya kebanyakan daripada kita lebih ramai yang bergelut dengan masalah ketidakcukupan wang! Ada yang berpendapatan RM750.00 sebulan tidak cukup untuk menyara kehidupan keluarga. Ada yang berpendapatan RM3,000.00 juga tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan. Ada yang berpendapatan suami isteri mencecah RM10,000.00 sebulan masih juga tidak cukup wang dan ianya berterusan dengan angka pendapatan yang terus meningkat tetapi dalam masa yang sama perbelanjaan mereka turut meningkat.
Inilah bahananya jika kita masih tidak nampak betapa pentingnya soal pengurusan wang yang betul. Ekonomi global dan dalam negara yang semakin tidak menentu, kenaikan harga barang, politik yang tidak stabil, kenaikan harga pasaran Minyak Mentah dunia yang melambung, inflasi dan sebagainya terus menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.
Dalam masa yang sama apa yang dapat saya perhatikan masih ramai cuba menyelesaikan permasalahan ini dengan meningkatkan hutang peribadi mahu pun liabiliti dalam Kunci Kira-Kira kewangan mereka. Mereka menambahkan liabiliti dengan membuat pembelian kereta baru, mendapatkan pinjaman peribadi bagi menjelaskan hutang lapuk (gali lubang tutup lubang), dan tidak kurang pula yang cuba-cuba mencari pendapatan sampingan.
Dalam mencari-cari peluang untuk menambah pendapatan sampingan tanpa disedari mereka teramat mudah terjebak dengan orang-orang yang suka mengambil keuntungan dan kesempatan daripada masalah orang lain. Maka ada yang terlibat dengan skim-skim piramid yang kononnya menjual produk tetapi lebih menekankan untuk mencari seramai mungkin ‘downline’.
Yang terbaru dikesan kegiatan menjual produk dengan cara pembelian paksa oleh peserta yang mana peserta perlu membeli 10 unit produk tertentu dengan harga yang telah ditetapkan mencecah puluhan ribu ringgit walhal produk berkenaan berharga ratusan ringgit sahaja di pasaran. Bagi yang berminat untuk menyertai program tersebut, wang bukannya masalah.
Yang penting bakal peserta ada keupayaan untuk membuat pinjaman peribadi. Hanya sertakan 3 bulan penyata pendapatan, tandatangan borang pinjaman, dapatkan tunai 5 angka daripada pinjaman tersebut, buat bayaran dan dapatkan 10 unit barang berkenaan dan seterusnya cari dan perkenalkan lebih ramai kawan-kawan untuk menyertainya. Ulangi perkara yang sama ke atas ‘downline’ masing-masing.
Kesudahannya ramai yang telah tersilap langkah, 10 unit barang tersebut masih tidak terjual tetapi dalam masa yang sama bayaran ansuran pinjaman bulanan terpaksa dibayar sehingga 10 tahun. Aduh, malangnya nasib mereka ini. Kedudukan mereka tidak ubah seperti “Sudah jatuh ditimpa tangga!”
Niat asalnya untuk menambah pendapatan tetapi sebaliknya terpaksa menambah beban hutang!
Jadi sebelum anda membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah kewangan anda, kaji dulu tabiat pengurusan kewangan anda, jangan tergesa-gesa atau terikut-ikut dengan pelawaan kawan-kawan yang menjanjikan bulan dan bintang kerana saya khuatir kepala anda pula yang pening dipenuhi dengan bulan dan bintang memikirkan masalah hutang:p
Salam kekayaan,
THINKERICH






