Salam pembaca PemikirKaya!

Beberapa minggu lalu, pihak CUEPACS telah meminta pihak kerajaan membenarkan kakitangan awam menjalankan kerja sambilan/kerja luar atau ‘part time’ kesan daripada peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga minyak.

Reaksi berbeza-beza diberikan, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang pada mulanya tidak bersetuju tetapi kemudian kembali merubah kenyataan beliau setelah mendengar pandangan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Unit Perancangan Ekonomi (EPU), dengan syarat kakitangan awam mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam perkara ini saya berpandangan bahawa pihak kerajaan tidak sepatutnya menyekat kakitangan awam mencari rezeki atau pendapatan tambahan selagi mereka dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya sepanjang waktu bekerja disamping tidak melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan sebagai seorang pengkhidmat awam.

Kerajaan juga perlu sedar akan kedudukan ekonomi dan kewangan kakitangan awam yang berpendapatan tetap ini, memandangkan mereka terpaksa hidup dengan sumber kewangan yang terhad sedangkan kos sara hidup mereka terus meningkat lebih cepat daripada kenakan gaji tahunan mereka yang tidak seberapa.

Bayangkan sahaja kos untuk petrol sahaja telah meningkat lebih 40%, sedangkan gaji mereka masih ditakuk biasa. Ini belum diambil kira pengumuman kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik di Semenanjung yang pasti turut mengundang seribu satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain.

Ini berbeza dengan mereka yang menjalankan perniagaan, mereka tiada masalah dengan kenaikan kos bahan api tersebut kerana mereka boleh menyerap kos tersebut dengan menaikan harga barang dan perkhidmatan mereka. Jika sebelum ini keuntungan mereka sekitar 30%, mereka akan kekalkan margin tersebut dengan menaikan kos modal mereka.

Berbeza sekali dengan kakitangan awam yang makan gaji setiap bulan, mereka tidak dapat berbuat demikian melainkan berjimat cermat dengan mengikat perut atau pun mengorbankan keselesaan hidup mereka sebelum ini .

Pihak CUEPACS juga tidak sepatutnya hanya melihat kerja ‘part time‘ yang boleh dilakukan oleh lebih sejuta ahlinya itu dengan hanya melakukan pekerjaan kedua seperti pembantu kedai, jaga, dan pelbagai pekerjaan yang menuntut pengorbanan masa yang tinggi selepas waktu bekerja.

Namun begitu, saya tidak menyalahkan mereka kerana ‘Minda Makan Gaji’ tetap akan berpandangan ‘Makan Gaji’ semata-mata!

Jika kakitangan awam memilih ‘part time‘ seperti yang dicadangkan oleh pihak CUEPACS, saya percaya ianya akan memberikan kesan terhadap produktiviti kerja mereka kerana terpaksa bekerja sepanjang masa tanpa mendapat ruang untuk berehat dan ada kemungkinan mereka berada dalam keadaan tekanan hidup. Ini kerana mereka telah hilang masa untuk berehat dan juga mendapatkan ketenangan bersama keluarga dan masyarakat.

Kakitangan awam sepatutnya tidak menjalankan pekerjaan ‘part time’ dengan mencari pekerjaan kedua tetapi sebaliknya menjalankan perniagaan secara ‘part time’.

Menjalankan perniagaan secara ‘part time’ pada masa ini mungkin hanya cukup-cukup untuk memenuhi keperluan hidup mereka dan jika mereka kreatif mungkin dapat meluaskan perniagaan dengan mencari peluang-peluang baru.

Sebagai contoh lain, mereka juga boleh menjalankan ‘part time’ seperti menjadi agen takaful dan insuran, agen unit amanah, dan agen jualan langsung MLM (yang sah).

Ini kerana kakitangan awam mempunyai hari Sabtu dan Ahad setiap hujung minggu yang boleh dimanfaatkan untuk menjalankan aktiviti mesyuarat dan temujanji dengan prospek mereka.

Aktiviti sebegini adalah jauh lebih baik dan meningkatkan motivasi kakitangan awam, kerana kebanyakan syarikat berkenaan mempunyai latihan yang amat baik dan boleh meningkatkan tahap dan mutu motivasi serta minda mereka yang terlibat.

Selain itu ianya juga memupuk semangat berdikari dan daya tahan yang tinggi serta budaya keusahawanan dikalangan kakitangan awam.

Berbanding dengan pekerjaan kedua, mereka mungkin merasakan lebih tertekan kerana masih lagi terikat dengan masa dan juga karenah daripada majikan kedua mereka. Selain itu, rasa rendah diri dan budaya bergantung harap kepada orang lain akan terus kekal tersemat dalam minda dan jiwa mereka.

Justeru itu, saranan saya kepada mereka yang ‘makan gaji’ terutama kakitangan awam yang terpaksa hidup dalam ekonomi yang serba mencabar ini agar tidak sekadar duduk dan merungut mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.

Adalah jauh lebih baik anda jadikan keadaan dan situasi sekarang untuk melakukan sesuatu yang boleh merubah kedudukan kewangan anda dan keluarga dengan mulai mencari-cari peluang perniagaan yang jauh lebih luas rezekinya daripada dunia ‘makan gaji’.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb