Salam pembaca blog,

Apa khabar semua, saya doakan semoga anda semua berada dalam keadaan baik, sihat, ceria dan kaya dengan kebaikan sepanjang masa.

Baiklah jika sebelum ini saya berkongsi pandangan tentang Rahsia Menjadi Kaya, kali ini saya ingin bersama anda sekali lagi untuk  mengupas topik dan persoalan yang sama iaitu KAYA!

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kaya itu bukan hanya satu keinginan. Ini kerana apabila kita meletakkan kekayaan itu pada paksi keinginan semata-mata dikhuatiri ianya akan menjerumuskan kita kepada nafsu dunia yang banyak pancaroba, muslihat dan penipuan.

Lihat sahajalah betapa ramai manusia yang kaya hari ini menjadi tamak haloba kerana semata –mata meletakkan kekayaan itu sebagai keinginan. Demi mencapai cita-cita dan impian yang mereka inginkan, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Menindas, rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa, menipu harga dan timbangan, menyorok bekalan,dan pelbagai lagi telah menjadi lumrah bagi mereka yang ingin menempah tiket mudah ke jalan kekayaan.

Inilah bahana dan akibatnya jika ramai dikalangan kita masih silap dalam meletakkan perkara kekayaan itu di atas dorongan dan keinginan semata-mata untuk menjadi kaya.

Sepatutnya KAYA itu semestinya menjadi suatu KEPERLUAN sehingga ia menjadi perkara yang MESTI dan tidak berubah sebagaimana kita perlu menunaikan ibadat, makan, minum, dan meluangkan masa untuk berehat atau tidur .

Kekayaan sebenar bukanlah terletak pada kekayaan harta semata-mata tetapi juga mencakupi kekayaan dari aspek –aspek lain. Orang kaya yang sebenarnya adalah orang yang menjalankan perintah Allah sehingga kekayaan mereka berkat dan bermanfaat bagi orang ramai.

Mereka membelanjakannya untuk infaq ke jalan Allah, bersedekah, mengeluarkan zakat, dan membantu hamba Allah yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama.

Justeru itu, kaya adalah perlu dan wajib bagi kita semua untuk gunakannya supaya menjadi sebaik-baik manusia iaitu manusia yang bermanfaat bagi orang lain.

Sahabat pada zaman Rasulullah s.a.w iaitu Abu Bakar Sidiq seorang yang kaya-raya, tetapi dia menyerahkan hartanya bagi perjuangan Islam. Abdurrahman bin Auf yang boleh diibaratkan sebagai seorang konglomerat yang penuh dengan strategi perniagaan dan tidak takut miskin juga menyumbangkan banyak hartanya bagi tujuan yang sama.

Mengapa mereka sanggup berusaha mencari kekayaan dan dalam masa yang sama menyerahkan segala-galanya bukan untuk kepentingan diri sendiri?

Inilah bukti bahawasanya mereka tidak meletakkan kekayaan itu sebagai satu keinginan buat mereka sebaliknya satu KEPERLUAN untuk membantu yang lain. Mereka ini adalah golongan kaya yang memilih untuk berniaga dengan Allah sehingga mereka tidak boleh dijual beli oleh kehidupan dunia.

Mereka dengan mudah mengagihkan SELURUH kekayaan mereka dan dalam masa yang sama memulakan usaha semula dari awal. Menarik dan luarbiasa bukan? Apakah masih ada orang kaya sebegini pada zaman dan era ekonomi kapitalis sekarang?

Salah satu punca kelemahan ekonomi dunia yang dapat kita lihat sekarang adalah orang kaya bertambah kaya dan yang miskin tetap miskin. Akibatnya berlaku kemerosotan ekonomi yang membawa kepada kekacauan, huru hara, tunjuk perasaan dan kebuluran. Tiada keseimbangan ekonomi berlaku.

Dalam Islam, seseorang muslim itu disarankan mengeluarkan zakat bagi menyuburkan harta dan dalam masa yang sama dapat meyeimbangkan ekonomi. Ianya amat dituntut kepada mereka yang mampu apatah lagi bagi golongan yang berharta dan kaya. Dengan adanya zakat jurang ekonomi di antara golongan kaya dan miskin dapat diseimbangkan.

Bagi mereka yang meletakkan kekayaan itu berlandaskan keinginan, sudah pasti mereka tidak sanggup untuk mengeluarkan zakat kerana pada mereka ianya akan mengurangkan harta kekayaan mereka.

Sebaliknya mereka yang meletakkan kekayaan sebagai satu keperluan sudah pasti tidak teragak-agak  untuk menyumbangkan harta kekayaan mereka ke jalan Allah. Bagi mereka itulah tujuan sebenar mereka mencari harta kekayaan. Keperluan untuk dibelanjakan ke jalan yang dituntut dan diredhai Allah.

Carilah kekayaan itu sebagaimana anda berusaha memenuhi keperluan hidup anda, dan janganlah meletakkan matlamat kekayaan itu sekadar keinginan semata-mata.

Wallahu’alam…

Salam kekayaan,

THINKERICH

Bookmark Artikel Ini:These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • digg
  • del.icio.us
  • blinkbits
  • blogmarks
  • YahooMyWeb