Motivasi, Pendidikan, Perniagaan, Kewangan Peribadi

Skim Wang Kutu Tradisional Tidak Termasuk Dalam Akta – SSM

Image result for SSM

Aktiviti skim wang kutu secara tradisional yang tidak bermotifkan keuntungan tidak termasuk dalam Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan pada 19 September 2018 memaklumkan skim wang kutu tradisional hanya memberikan kembali jumlah yang disumbang mengikut giliran yang ditetapkan.

“Skim wang kutu tradisional biasanya dianjurkan atas dasar kemasyarakatan dan kepercayaan dalam kalangan jiran tetangga, sahabat handai, saudara-mara atau rakan kerja bagi tujuan mengumpulkan wang mengikut keperluan masing-masing tanpa sebarang keuntungan bagi mana-mana individu,” kata kenyataan itu.

Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 melarang mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 (atau dahulunya Akta Syarikat 1965) atau perniagaan berdaftar di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menjalankan aktiviti perniagaan berbentuk skim wang kutu.

Jika didapati bersalah, penganjur boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

SSM menegaskan aktiviti wang kutu yang mendatangkan hasil yang berlipat ganda berbanding sumbangan yang diberikan termasuk sebarang pulangan tambahan selain daripada wang sumbangan asal adalah termasuk dalam aktiviti yang dilarang dan tidak terkecuali daripada akta tersebut.

Baru-baru ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) memaklumkan aktiviti main kutu adalah satu kesalahan dan pesalah boleh didenda tidak lebih daripada RM500,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Melalui laman Facebook (Fb) Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police, JSJK mendedahkan terdapat beberapa kes penganjur atau ‘ibu kutu’ menghilangkan diri bersama wang yang dibayar pelabur atau peserta.

— BERNAMA

Be Sociable, Share!
Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm