“INSURANS TIADA UNSUR GHARAR” KATA ‘PAKAR INSURANS’

Salam pembaca sekalian.

Dalam post kali ini saya rasa terpanggil untuk mengulas pandangan agen/wakil/perunding insurans yang mungkin telah mempertikaikan hukum HARAM yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga Majlis Fatwa Sedunia ke atas produk dan perniagaan insurans.

Sebenarnya hukum insurans konvensional telah diputuskan oleh Sidang Kesatuan Ulama Fiqh Islam Sedunia OIC yang pertama pada 1397 H, sebagai haram kerana mempunyai unsur riba, gharar (ketidaktentuan), jahalah (ketiadaan maklumat tepat semasa tranksaksi), judi dan lain-lain.

Saya telah membaca tulisan daripada ‘Wakil Insurans Hayat’ dan pandangan ‘Pakar Insurans’ dalam catatan masing-masing (kandungannya hampir sama,  mungkin berlaku ‘copy & paste’ dan sedikit penambahan daripada karya asal catatan ‘Pakar Insurans’ oleh ‘Wakil Insurans Hayat’)

Kedua-dua tulisan tersebut seolah-olah mempertikaikan Fatwa pengharamam insurans dan cuba mempersoalkan Hukum yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa seluruh dunia.

Untuk makluman ‘Pakar Insurans’ pernah memberikan hujah dan pandangan beliau bahawa ‘Majlis Fatwa Silap, Insurans HALAL! sebelum ini.

Saya kira jika ianya telah jelas difatwakan sebagai haram bukan sahaja diperingkat kebangsaan malahan dunia, bahkan MAJORITI kumpulan ilmuan dan ulama Islam maka sudah jelas dan pasti ianya HARAM dan tidak perlu dipertikaikan lagi.

Pada pandangan saya berdasarkan hujah yang diberikan dalam kedua-dua tulisan tersebut, pandangan yang diberikan tidak merujuk kepada asas dan konsep sebenar mengapa insurans diputuskan sebagai HARAM oleh Majlis Fatwa dan majoriti ilmuan dan ulama Islam.

Semua orang seharusnya tahu bahawa Takaful dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan.

Namun di antara keduanya terdapat perbezaan yang besar.

Sebagai kemudahan rujukan semua, berikut saya sertakan sebahagian catatan daripada Ustaz Mohamad Saifuddin Gahnehman tentang perbezaan dan asas yang menentukan HALAL dan HARAM produk Insurans dengan produk Takaful.

Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada beberapa sudut berikut:

Hukum

Perniagaan Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur Riba, Maisir dan Gharar. Maka membeli polisi insurans dan segala hasil pendapatan daripada syarikat inurans adalah haram.

Kontrak asas yang digunapakai

Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran (Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru’)

Kontrak-kontrak lain

Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah (agensi) dan kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)

Tanggung jawab pemegang polisi

Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara penginsurans dan pemegang polisi.

Saluran pelaburan

Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan ini adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya Sekuriti (SC).

Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas syarikat perjudian dan arak.

Perjalanan operasi

1.       Syarikat Takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggung jawab memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Penasihat Syariah.  Syarikat insurans tidak mempunyai bahagian penasihat Syariah kecuali Syarikat MCIS Zurich Insurance. Walaupun begitu, penasihat Syariah ini hanya memberi nasihat dalam bebarapa perkara tertentu sahaja. Namun perjalanan operasinya masih lagi peniagaan insurans konvensional.

2.       Pengendali-pengendali Takaful di Malaysia menggunakan dua model perniagaan Takaful iaitu model Mudharabah (perkongsian untung rugi) dan model Wakalah (agensi). Kebanyakan pengendali Takaful menggunakan model Wakalah dan model Mudharabah digunakan oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

3.       Segala hasil tidak halal yang diperolehi oleh pengendali Takaful tidak akan dikira sebagai pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Syarikat insurans tidak mempunyai unsur ini.

4.       Pengendali Takaful wajib membayar zakat perniagaan dan cukai tetapi syarikat insurans hanya membayar cukai.

Aspek perundangan

Pengendali Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 sementara syarikat insurans tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1996).

**********************************************************************************************************

Perbezaan yang dinyatakan di atas adalah asas utama mengapa Insurans di hukum sebagai haram dan bukannya atas beberapa perkara pada pandangan beberapa pengamal insurans yang cuba mempertikaikan hukum fatwa yang telah diputuskan sebelum ini.

ISU GHARAR

Jadi benarkah dalam insuran tak wujud unsur ‘Gharar’ sebagaimana pandangan dan catatan ‘Pakar Insurans’ & ‘Wakil Insurans Hayat’ ?

Dalam membahaskan perkara ini, saya kira ada baiknya kita teliti laporan Badan Petugas Penubuhan Insurans Secara Islam di Malaysia yang menyatakan seperti berikut :-

“Kontrak insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan sedangkan kontraknya adalah berasaskan jual beli.

Keadaan ini bertepatan dengan definisi gharar oleh Ibn Taimiyah yang menerangkan :

“Apabila satu pihak mengambil haknya dan satu pihak lagi tidak menerima apa yang sepatutnya dia dapat”.

Maka jelaslah di sini perkara pokok yang menjadi punca persoalan halal haram produk Insurans ini adalah kerana KONTRAK JUAL BELI yang digunapakai.

Perkara ini tak berlaku dalam Takaful. Ini kerana syarikat-syarikat Takaful telah mengubah aqad ‘Mu’awadah Maliah’ (kontrak jual beli) yang digunakan oleh syarikat Insuran konvensional kepada aqad Tabarru’at (kontrak derma).

Hasilnya, aqad derma tidak terikat dengan syarat-syarat jual beli, tidak juga diperlukan untuk jelas dan terang jumlah itu ini,  dan bila serahan derma perlu dibuat.

Jadi ianya terlepas daripada isu gharar atau ketidaktentuan.

Dalam produk Insurans, masalah yang timbul adalah dari sudut pembeli.

Mereka tidak pasti bilakah mereka boleh memperolehi jaminan yang dibelinya dalam produk Insurans. (Walaupun mereka tahu jumlah yang bakal diterima)

Adakah tahun itu akan berlaku kemalangan atau tahun yang berikutnya? Tiada siapa yang tahu kerana bayaran hanya akan diterima bilamana musibah atau kemalangan menimpa mereka.

Untuk mudah faham apabila kita membeli dalam kontrak jual beli, akad jual beli memerlukan kejelasan dalam :

  1. Penjual
  2. Pembeli
  3. Benda yang dijual
  4. Harga

Dalam 4 rukun jual beli tersebut, syarikat insurans mempunyai masalah dengan barang yang dijual.

Ini kerana pelanggan telah membeli jaminan wang, ia dikira sebagai pertukaran mata wang RM dengan RM.

Berbeza dengan Takaful, perkara ini tiak menjadi satu isu kerana mereka menggunapakai kontrak Tabarru’at- kontrak derma.

Masalah yang timbul dalam kontrak jual beli insurans ialah pelanggan tidak tahu bila mereka boleh dapat jaminan wang tersebut sebabnya ianya hanya akan dibayar oleh syarikat insurans bila musibah berlaku sedangkan musibah belum berlaku. Itulah gharar atau ketidaktentuannya.

Katakan kita beli barang tetapi kita tak tahu bila kita boleh dapat barang yang dibeli itu. Itulah maksud ketidaktentuan yang berlaku dalam produk insurans.

Berbeza dengan Takaful yang menggunakan akad Tabarru’at iaitu kontrak derma atau sumbangan atau hadiah secara sukarela. Jadi ianya tidak terikat dengan unsur gharar.

Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat menghuraikan salah faham antara Halal & Haram antara Insurans dan Takaful yang masih diperdebatkan sehingga kini.

Wallahualam.

THINKERICH

Sumber Rujukan:

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Mengenai Penulis

Khairulnahar a.k.a Thinkerich merupakan seorang blogger (www.PemikirKaya.com) dan Internet Marketer yang aktif menyediakan informasi berbentuk pendidikan kewangan dan motivasi.

Mula bergiat aktif dan menceburkan diri dalam perniagaan internet tempatan sejak tahun 2007.

Kemahiran beliau adalah berkongsi idea-idea pengurusan wang dan menulis produk informasi kewangan sama ada di blog, ebook dan buku.

Sehingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku (termasuk dalam proses penerbitan) dan lebih 20 ebook yang membincangkan tentang pengurusan kewangan peribadi dan motivasi.

Beliau juga merupakan seorang Konsultan Kewangan yang ditauliahkan sebagai Affiliate Registered Financial Planner (Affiliate RFP) oleh Majlis Perancang Kewangan Malaysia atau Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan turut berkecimpung dalam industri Insurans, Takaful & Unit Trusts.

*Nota Penting: Anda dibenarkan untuk menyalin, menyebar dan meletakkan artikel ini di blog atau laman web anda selagi anda tidak mengubah isi kandungan artikel ini dan keterangan penulis mengenai Khairulnahar a.k.a Thinkerich di atas tidak dibuang.

Semua Artikel Di Blog Ini Adalah Hakcipta Terpelihara (c) PemikirKaya.com.

Tidak boleh digunakan tanpa kebenaran terlebih dahulu.

Be Sociable, Share!

KJ

Khairulnahar a.k.a KJ merupakan seorang blogger (www.PemikirKaya.com) dan Internet Marketer yang aktif menyediakan informasi berbentuk pendidikan kewangan dan motivasi. Mula bergiat aktif dan menceburkan diri dalam perniagaan internet tempatan sejak tahun 2007. Kemahiran beliau adalah berkongsi idea-idea pengurusan wang dan menulis produk informasi kewangan sama ada di blog, ebook dan buku. Sehingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku (termasuk dalam proses penerbitan) dan lebih 20 ebook yang membincangkan tentang pengurusan kewangan peribadi dan motivasi kekayaan & kewangan diri. Beliau juga merupakan seorang Konsultan Kewangan yang ditauliahkan sebagai Affiliate Registered Financial Planner (Affiliate RFP) oleh Majlis Perancang Kewangan Malaysia atau Malaysian Financial Planning Council (MFPC).

Comments are closed.