Motivasi, Perniagaan, Kewangan Peribadi

APA ITU INFLASI?

perniagaan internet

Salam pembaca blog,

Sejak kebelakangan ini ekonomi negara bahkan dunia telah melalui pelbagai isu seperti kenaikan harga minyak mentah, kekurangan bekalan bahan makanan, peningkatan permintaan di dua negara asia yang mempunyai bilangan penduduk yang tinggi hasil daripada pertumbuhan ekonomi iaitu di China dan India serta becana alam yang melanda beberapa buah negara di dunia.

Ekoran daripada kesan global tersebut ianya turut memberikan kesan kepada suasana ekonomi negara dan seterusnya mengakibatkan peningkatan pada pertumbuhan kadar inflasi negara.

Mungkin bagi kebanyakan orang, mereka masih kurang jelas tentang apa itu inflasi?

Inflasi secara huraian mudahnya adalah sesuatu keadaan ekonomi yang berlaku di sebabkan oleh kenaikan harga (kebanyakan barangan dan perkhidmatan) yang berterusan sehingga memberi kesan kepada kadar nilai wang semasa.

Oleh sebab itulah, pada masa sekarang adalah lebih mudah untuk menjadi jutawan dengan memiliki wang RM1 juta berbanding dengan 20 atau 30 tahun yang lalu. Ini adalah disebabkan nilai RM sudah jatuh walaupun dari segi (nilai muka) jumlah angka masih tetap sama!

RM1 juta hari ini jika dinilai atau dihitung pada nilainya jauh lebih murah daripada RM1 juta 20 atau 30 tahun yang lalu. Sebab itulah Jutawan “modern” tak seperti jutawan dulu-dulu

Mungkin 30 tahun yang lalu dengan RM1, kita boleh menikmati sarapan pagi tetapi hari ini dengan RM1 kita mungkin hanya mampu minum secawan teh O sahaja ! sekiranya dapat…

Jadi Apakah Punca Inflasi?

Berikut saya senaraikan 5 jenis punca yang mendorong kepada keadaan inflasi dalam ekonomi sesebuah negara;-

1. Inflasi Tarikan Permintaan

Berlaku apabila bekalan barangan dan Perkhidmatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. la berpunca daripada pertambahan permintaan acara tiba-tiba dalam jangkamasa pendek. Pengeluar kesuntukan masa untuk menambah pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Peniaga pula mengambil kesempatan untuk memperolehi keuntungan yang lebih. Contohnya apabila taraf hidup rakyat meningkat dengan kenaikan pendapatan yang diterima oleh kakitangan awam pada tahun lepas.

2. Inflasi Tolakan Kos

Berlaku apabila kos pengeluaran meningkat. Pengeluar akan memindahkan kos yang ditanggungnya kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk mengekalkan keuntungan. Contohnya apabila berlaku kenaikan harga minyak (petrol/diesel/gas) pada masa yang sama kita dapat rasai kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

3. Inflasi Bekalan Wang

Berlaku apabila bekalan wang meningkat melebihi bekalan barangan atau perkhidmatan dalam pasaran. Inflasi ini biasanya berlaku semasa peperangan. Wang yang banyak dicetak untuk membiayai perbelanjaan peperangan. Wang yang akhirnya menyebabkan inflasi. Oleh itu adalah penting untuk mempastikan peningkatan bekalan wang pada tahap tertentu bersesuaian dengan barangan dan perkhidmatan yang ada di pasaran setiap masa.

4. Inflasi Pentadbiran Harga

Berlaku apabila hanya terdapat sebuah syarikat (monopoli) atau sebilangan kecil syarikat (oligopoli) yang membekalkan barangan atau perkhidmatan, pengeluar biasanya mempunyai kuasa untuk menentukan harga. Jika pengeluar menggunakan kuasa itu, harga akan meningkat. Pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli pada paras harga yang ditentukan oleh pengeluar atau pembekal. Pengeluar atau pembekal berkemungkinan akan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan untuk menikmati keuntungan yang lebih besar sama ada kos meningkat atau tidak. Harga sedemikian dipanggil harga pentadbiran,

5. Inflasi Yang Diimport

Faktor-faktor luar negara juga boleh menyebabkan inflasi. Apabila kos bahan-bahan mentah, barang siap atau perkhidmatan yang diimport dari luar negara meningkat, ia akan menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan meningkat tanpa mudah disedari. Kenaikan harga barangan import boleh berlaku secara langsung iaitu inflasi yang berlaku di negara pengeksport atau tidak langsung melalui perubahan kadar pertukaran wang asing yang memihak kepada negara pengeksport. Contohnya dalam isu bekalan beras kebelakangan ini.

Justeru itu, adalah penting bagi kita semua memberi perhatian terhadap kos sara hidup kita pada hari ini memandangkan ianya lebih cepat meningkat berbanding dengan apa yang diperolehi hasil daripada pendapatan kita. Ini menjadikan pengurusan kewangan pada hari ini semakin mencabar dan seharusnya diberi perhatian yang sewajarnya.

Semoga anda semua mendapat manfaat daripada artikel ini.

Salam kekayaan,

THINKERICH

perniagaan internet

Bookmark Artikel Ini:
  • Facebook
  • Google Bookmarks
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm