Salam pembaca blog pemikirkaya…
Dan selamat menjalani ibadah puasa bagi pembaca yang berugama Islam ..
Apa Beza Antara Rasuah dan Hadiah?
Tanya seorang teman pada saya bilamana saya membangkitkan persoalan rasuah sebagai salah satu penyakit kewangan yang amat bahaya jika tidak ditangani dengan segera!
Untuk menjawab persoalan tersebut secara mudahnya adalah seperti berikut:
Rasuah adalah pemberian samada dalam bentuk wang ringgit, harta atau manfaat tertentu yang bertujuan untuk memperolehi sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Atau dengan kata lainnya pemberian yang diberikan atas dasar untuk mendapatkan (atau telah mendapat) balasan daripada pihak yang berkepentingan.
Hadiah pula adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan.
Ringkasnya “rasuah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan”.
Ertinya, pemberi rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia tidak dapat memperolehinya tanpa sogokan tersebut.
Dengan pemberian tersebut menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya; samada dihilangkan, atau dikurang, atau dilambat atau akan ada pihak yang dikenakan suatu tindakan yang tidak adil.
Maka, rasuah merupakan pemberian bersyarat, sementara hadiah bukan pemberian bersyarat dan tidak menyebabkan kezaliman kepada pihak lain. Rasuah dikeji oleh Islam, sementara hadiah digalakkan.
Okey, itu dari segi penjelasannya tetapi bagaimana pula yang dikatakan Rasuah ini sebagai penyakit kewangan?
Peminta rasuah mahupun pemberi rasuah kedua-duanya adalah terdiri daripada mereka yang menghadapi penyakit kewangan.
Ini kerana mereka yang selalu melakukan rasuah sebenarnya terdiri daripada mereka yang berdepan dengan masalah kewangan.
Mereka mungkin berdepan dengan masalah hutang yang serius, lalu apabila berdepan dengan tawaran atau peluang mendapatkan wang cara mudah maka mereka ambil jalan mudah dengan menerima dan kemudiannya mula meminta rasuah.
Mereka mungkin mempunyai emosi dan keinginan yang tinggi untuk hidup mewah tetapi pendapatan yang diperolehi jauh lebih kecil. Keinginan BESAR tetapi kemampuan KECIL!
Lalu mereka memenuhinya dengan cara yang salah!
Tak salah untuk memenuhi impian hidup mewah atau menjadi kaya raya tetapi biarlah melalui usaha yang betul dan bukannya melalui cara rasuah!
Sebenarnya mengumpul kekayaan dan hidup mewah dengan harta rasuah tak kemana pun. Tiada keberkatan!
Bila tiada keberkatan maka ianya tak akan kekal lama…
Apabila perasuah telah terbiasa mendapatkan wang melalui rasuah, fikiran dan usaha mereka akan ligat mencari jalan seterusnya bagaimana untuk mendapatkan habuan rasuah dengan pelbagai cara dan taktik kotor.
Dan pada kebiasaannya mereka tidak boleh rancang kewangan mereka bilamana tiada sumber rasuah. Maka rasuah di sini sudah dijadikan sebagai salah satu daripada sumber kewangan tambahan..’extra income’ kononya …
Begitu juga bagi mereka yang memberi. Mereka hanya tahu memberikan sogokan untuk menjamin wang terus masuk ke poket mereka secara mudah malas nak bersaing secara adil…ni pada kebiasaannya pada pihak pembekal, syarikat dan kontraktor…
Jadi sekiranya seseorang itu terlibat dengan masalah rasuah, mereka juga sebenarnya terlibat dengan masalah kewagan yang kronik! Untuk elakkannya perlulah ada kesedaran agama dan kesedaran ilmu kewangan yang sebenar.
Rancanglah kewangan dengan baik jangan kerana masalah kewangan yang kita alami mengakibatkan diri kita mudah terjebak dengan gejala rasuah yang amat hina ini. Jadi berhati-hati agar kita tidak terjebak dalam kancah yang hina ini!
Semoga Allah s.w.t sentiasa melindungi diri kita semua daripada penyakit kewangan ini dan menyembuhkannya daripada mereka yang sedang dan masih menghidapinya.

Posted in 








pemberi dan penerima rasuah nie bukan sahaja bermasalah kewangan tapi menjadi masalah kepada negara, agama dan bangsa. Rasuah mampu meruntuhkan sesuatu negara secara senyap (silent killer)
razis,
Benar tu…