Salam pembaca blog pemikir kaya!
Ramai yang masih tercari-cari apakah bentuk pelaburan yang boleh memberikan keuntungan yang terbaik?
Bagi saya pelaburan yang terbaik adalah dengan BERSEDEKAH!
Dengan bersedakah, kita bukan sahaja dapat manfaatnya di dunia bahkan pulangan di akhirat kelak.
Inilah yang dikatakan pulangan yang berganda!
Sedekah tidak semestinya memerlukan modal yang besar, walau sekecil manapun jumlahnya apa yang penting keikhlasan.
Oleh itu, janganlah sesekali kita memandang remeh pemberian yang kecil kerana bukan banyaknya sedekah yang dikira tetapi sejauh mana keikhlasan hati.
Tiada guna kita bersedekah ribuan ringgit hanya semata-mata untuk berbangga dan riak dengan kemampuan dan kekayaan kita, sebaliknya jauh lebih besar ganjarannya jika kita bersedekah puluhan ringgit tetapi dengan hati yang ikhlas.
Sedekah juga tidak semestinya dengan wang ringgit, apa sahaja pemberian yang kita usahakan secara ikhlas dan dapat memberikan manfaat kepada yang lain, ianya juga dikira sedekah.
Sebagai seorang Muslim, kita sentiasa khuatir akan nasib kita di hari kiamat kerana memikirkan umat manusia bakal dibangkitkan dan dikumpulkan di padang Mahsyar sedangkan matahari berada sangat dekat di kepala.
Bagaimanapun, umat Nabi Muhammad bertuah kerana Baginda sudah menjelaskan bagaimana untuk mendapat naungan di hari kiamat seterusnya berusaha melaksanakan apa yang patut demi kebahagiaan di akhirat nantI.
Antara keterangan Rasulullah ialah hadis menyatakan bahawa naungan orang beriman di hari kiamat sangat terkait dengan kebiasaannya mengeluarkan sedekah sewaktu hidupnya di dunia.
Ketika di padang Mahsyar, setiap manusia menunggu giliran untuk diadili.
Semua akan merasakan panasnya matahari di atas kepala namun bagi yang rajin bersedekah, bakal memperoleh naungan daripada matahari kerana sedekahnya itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap orang berada di bawah naungan sedekahnya (pada hari kiamat) hingga diputuskan di antara manusia atau ia berkata: “Ditetapkan hukuman di antara manusia.”
Yazid berkata: “Abul Khair tidak pernah melewati satu hari pun melainkan ia bersedekah padanya dengan sesuatu, walaupun hanya sepotong kuih atau bawang merah atau seperti ini.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi, Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis lain, Nabi Muhammad SAW dengan jelas menyatakan: “Naungan orang beriman di hari Kiamat adalah sedekahnya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad) Menyedari hakikat itu, rajin-rajinlah bersedekah supaya memperoleh naungan di hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah.
Ketahuilah dan janganlah sekali-kali kita memandang remeh pemberian diberikan. Sesungguhnya bukan banyaknya sedekah yang dikira, tetapi keikhlasan hati.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah kami meremehkan sedikitpun perbuatan makruf sekalipun kamu sekadar menemui saudaramu dengan wajah berseri.” (Hadis riwayat Muslim)
Suatu ketika, seorang sahabat pernah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa seorang miskin berdiri di depan pintu rumahnya. Maka dia tidak menemukan sesuatu yang dapat di berikan kepada orang miskin itu.
Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemukan sesuatu yang dapat kamu berikan kepadanya selain kuku binatang yang dibakar, maka serahkanlah kepadanya di tangannya.” (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan serta sikap pengecut dan kebakhilan.” (Hadis riwayat Muslim)
Sumber : Dipetik dan diolah semula dari Artikel asal Hashim Ahmad, Manusia digalak bersedekah untuk naungan di hari kiamat, Berita Harian, Sabtu 13 Mac 2010.

Posted in 








Salam.
Mohon kebenaran copy artikel ini dalam blog saya.
Saya akan kreditkan kepada pemikirkaya.com
Tq.
Asraf,
Dipersilakan…Hmm tapi jangan lupa kreditkan pada blog http://www.PemikirKaya.com