Motivasi, Pendidikan, Perniagaan, Kewangan Peribadi

Ibadat Untuk Murahkan Rezeki

Salam pembaca sekalian,

Apa khabar? Saya doakan semoga para pembaca sekalian berada dalam keaadaan sihat dan dimurahkan rezeki sentiasa. InsyaAllah. Moga-moga setiap apa yang kita semua kerjakan beroleh keredhaan dan keberkataan dari Allah S.W.T.

Baiklah seperti biasa untuk artikel pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin kongsikan salah satu cara yang saya kira sangat bermanfaat dan secara jujurnya saya sendiri telah merasai dan menikmati sendiri akan kesannya. Alhamdulillah. Sebagai seorang muslim, apa sahaja yang kita kerjakan dan niat hanya kerana Allah maka ianya akan menjadi suatu ibadat. Semoga apa yang saya kongsikan dalam blog ini akan mendapat keredhaan dariNya. Insyaallah.

Ramai di kalangan umat Islam pada hari ini masih dibelenggu dan dihimpit oleh masalah kewangan. Mereka merasakan terlalu sukar untuk bebas daripada masalah kesempitan hidup. Bahkan saban hari mereka sering berharap agar dimurahkan rezeki untuk mereka setiap hari.

Sebenarnya, dalam Islam mencari rezeki juga merupakan suatu ibadat. Caranya mudah, niatkan dalam hati kita apa yang kita kerjakan pada hari ini adalah untuk mendapat keredhaan dan kerberkatan daripada Allah S.W.T. Disamping itu, terdapat amalan yang sangat dituntut dalam Islam semoga kita semua dimurahkan rezeki dan dalam masa yang sama menolak kepapaan.

Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.

Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan menyatakan keutamaannya, Antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:-

Maksudnya :”Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha .”( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya :

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata :

“Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berkata : “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat.

Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud:

“Adalah Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya.”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda bermaksud :

” Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” ( Riwayat At-Thabarani )

Begitulah antara kebaikan dan manfaat yang kita semua perolehi dengan mengerjakan ibadah Solat Sunat Dhuha. Semoga kita semua dapat menghayati dan seterusnya mengerjakan amalan ini dengan sebaiknya. Sesungguhnya apa yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan segala kekurangan dari apa yang saya kongsikan ini datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Semoga apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk para pembaca semua. Amin.

Salam kekayaan,

THINKERICH

Be Sociable, Share!
You can leave a response, or trackback from your own site.

One Response to “Ibadat Untuk Murahkan Rezeki”

  1. nazri says:

    Jazakallah.. Moga2 kita dapat istiqamah dlm amalan sunat untuk lebih dekat dgnNya

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm