Motivasi, Pendidikan, Perniagaan, Kewangan Peribadi

10 PANDUAN MEMULAKAN BISNES

(1) Mulakan bisnes dengan modal sendiri. Sekiranya ada modal kecil, buat bisnes kecil. Kata Mark Cuban, pemilik Dallas Maverick, hanya “moron” memulakan bisnes dengan hutang. Dalam bisnes banyak ketidakpastian, cuma satu saja yang pasti, apabila berhutang, kena bayar.

(2) Cuba dulu sedikit-sedikit. Sebelum anda membelanjakan RM30,000 untuk buat produk “private label,” buat dulu produk itu sendiri kecil-kecilan. Sekiranya anda nak jual gunakan food truck, mulakan dengan jual (contoh: nasi lemak, burger atau apa saja) kecil-kecilan. Apabila ada permintaan banyak, barulah pindah kepada food truck.

(3) Usah sewa pejabat pada peringkat permulaan. Apabila anda sewa pejabat, duit anda “sangkut” kepada pejabat. Anda kena bayar sewa dan utiliti. Gunakan “virtual office” sama ada yang disediakan oleh agensi kerajaan atau swasta. Yuran yang dikenakan cukup rendah, bermula RM100 sebulan.

(4) Simpan rekod kewangan bisnes dengan baik. Anda mungkin tidak membuat pinjaman sekarang, namun rekod kewangan yang baik akan memudahkan anda membuat pinjaman dari bank atau agensi kerajaan apabila anda ingin membesarkan perniagaan kelak. Pastikan juga rekod kewangan peribadi baik dan tidak ada hutang tertunggak. Untuk memudahkan anda membuat pinjaman pada masa depan, rekod kewangan bisnes DAN rekod kewangan peribadi hendaklah bersih.

(5) Sekiranya anda sedang bekerja, usah berhenti kerja untuk memulakan bisnes. Buat bisnes sambil bekerja. Cuma pastikan anda tidak menggunakan masa bekerja untuk buat bisnes atau berlaku “conflict of interest.” Contoh bisnes yang boleh dilakukan sambil bekerja ialah perniagaan online. Apabila anda mendapati bisnes sudah berjalan dengan baik dan memberikan sejumlah pendapatan yang mencukupi, barulah berhenti kerja.

(6) Bagus untuk belajar pelbagai aspek keusahawanan. Namun, usah tunggu semua lengkap, baru nak mula bisnes. Mulakan sekarang. Sambil berniaga, sambil belajar. Anda akan lebih faham apa yang anda buat.

(7) Ramai orang buat kursus keusahawanan dan berikan nasihat. Dengar kesemuanya. Bagaimanapun, saring dan pilihlah yang sesuai. Manfaatkan pengalaman dan ilmu mereka. Namun, anda perlu tahu bahawa keputusan yang betul untuk orang lain belum tentu baik untuk anda. Mana-mana nasihat yang baik, ambil. Sekiranya tidak, bakulsampahkan.

(8) Bisnes adalah satu pengalaman berterusan. Sekiranya ada perkara yang mengecewakan anda, biarkan ia di situ. Usah diungkit berkali-kali. Buka buku baru. Berjalan terus.

(9) Ramai orang mencuba berniaga dan bisnes tak menjadi pada percubaan pertama. Itu lumrah. Usah kecewa. Anda tidak gagal kerana bisnes tak menjadi. Cuba lagi. Cuba lagi. Anda gagal tatkala anda berhenti mencuba bisnes baru.

(10) Sebagai usahawan, usah minta “bantuan.” Sebagai usahawan, anda memilih untuk berusaha sendiri. Usah rendahkan martabat anda dengan meminta-minta bantuan. Sekiranya anda perlukan khidmat agensi kerajaan, gunakan perkataan “facilitate.” Contoh, “Boleh tuan facilitate keperluan saya untuk mendapatkan modal tambahan? Gunakan ayat yang mencerminkan minda keusahawanan, bukan fikiran subsidi!

– Norizan Bin Sharif

Norizan Bin Sharif ialah seorang sociopreneur yang kini menerokai pasaran Amerika Utara. Dia yakin bahawa bisnes kecil di Malaysia ada potensi besar. Sebagai Chief Explorer Officer, Enescorp International LLC yang beroperasi dari New Jersey, Amerika Syarikat, Norizan melihat dirinya sebagai “market explorer” dan “market connector.”

Anak kampung. Berasal dari Kodiang, Kedah. Norizan mempunyai lebih 35 tahun pengalaman pengurusan organisasi awam dan swasta. Sebelum membangunkan bisnes sendiri, beliau berkhidmat selama lebih enam tahun di agensi pembangunan keusahawanan di Malaysia.

Beliau mempunyai Masters in Administrative Science dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara dan ijazah sarjana muda dari University of North Carolina at Charlotte, USA.

Norizan juga sebelum ini aktif dalam pergerakan belia. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia dan Setiausaha Agung, Committee for Asean Youth Cooperation.

 

Be Sociable, Share!
Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm