Motivasi, Pendidikan, Perniagaan, Kewangan Peribadi

Siapa Sangka Warga Bangladesh Ini Mampu Jadi Jutawan Di Malaysia!

Siapa sangka Billal Hossain Abdul Awal, 46, (kiri) kini menjadi jutawan walaupun kedatangannya ke Malaysia pada 29 tahun lalu hanya sekadar mahu membantu perniagaan abangnya.

Warga Bangladesh ini yang menganggap Malaysia dilimpahi ‘hujan emas’ asalkan rajin dan bijak memanfaatkannya.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia ketika berusia 17 tahun, Billal datang bersama seorang abangnya yang menetap di Jerman kerana melancong.

“Entah kenapa saya terus jatuh hati dengan Malaysia. Sebab itulah apabila abang menawarkan kerja di sini, saya terus datang dan bekerja di Sabah.

“Di Sabah saya uruskan pemasaran dan pengedaran syarikat pengeluar pakaian milik abang yang mempunyai kilang di Bangladesh,” katanya.

Selepas lima tahun mengumpul pengalaman dalam bidang perniagaan, Billal mengambil keputusan membuka syarikat sendiri.

Namun, perniagaan itu tidak kekal kerana ditipu rakan kongsi warga tempatan. Dia terpaksa membuka syarikat baru pada tahun 2001 dikongsi bersama isterinya yang juga rakyat tempatan.

“Jodoh kami bagaimanapun tidak panjang. Hanya dua tahun. Selepas bercerai, saya cari rakan kongsi lain yang juga warga tempatan,” katanya.

Bermula secara kecil-kecilan, syarikatnya menjadikan urus niaga hartanah sebagai fokus perniagaan walaupun turut membuka kedai runcit dan tanaman sayuran.

“Saya fokus pada urus niaga hartanah dengan membeli tanah, lot kedai dan rumah sedikit demi sedikit yang kemudian saya sewakan.

“Semua aset itu saya beli secara tunai. Selain memperoleh sumber pendapatan secara bulanan melalui sewaan, saya dapat jadikannya sebagai pelaburan,” katanya yang kini sudah bergelar jutawan.

Billal berkata, aset dan perniagaan hartanah jarang rugi kerana harganya terus meningkat.

“Walaupun tidak berpelajaran tinggi, saya banyak belajar melalui pengalaman kerana mula dari bawah,” katanya.

Terkini, dia membuat perancangan membina dua unit kondominium 20 tingkat di tanah lot yang dibeli di Taman Harmoni, Gombak.

“Dulu saya beli tanah itu dengan harga RM2 juta, kini harga nilainya mencecah RM20 juta. Daripada menjual tanah itu, saya fikir lebih baik bina kondominium bagi meningkatkan pendapatan.

Bagaimanapun, hasrat itu terbantut seketika apabila dia bercerai dengan isterinya, warga tempatan, yang dikahwininya pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak berusia 13 dan 11 tahun.

Ditanya mengapa memilih Malaysia sebagai lokasi perniagaan, Billal berkata, persaingan tinggi di Bangladesh menyebabkan dia sukar mengukuhkan empayar di negara asalnya.

“Di Bangladesh, penduduknya ramai iaitu sekitar 140 juta orang, jadi peluang perniagaan agak berisiko melainkan anda ada banyak modal.

“Harga tanah di Bangladesh juga jauh lebih mahal berbanding Malaysia. Malah, lebih mudah berniaga di sini kerana saya hanya perlu fokus kepada perniagaan dan tidak perlu terbabit dengan politik,” katanya.

Billal yang kini mendapat taraf pemastautin tetap berkata, Malaysia menawarkan peluang sama rata kepada semua orang asalkan mereka rajin.

Dia turut memiliki perniagaan sampingan seperti tanaman sayuran, ternakan kambing dan lembu serta kedai runcit.

“Kini, saya menanam sayur di Bukit Kundang, Hulu Langat di tanah seluas 0.8 hektar. Sebelum ini saya pernah sewa 242 hektar tanah di Cameron Highlands untuk tanam sayur tapi disebabkan pemiliknya ambil balik, sekarang saya dalam proses mencari tanah lain di sekitar Perak dan Pahang,” katanya.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

 

Be Sociable, Share!
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm