Motivasi, Pendidikan, Perniagaan, Kewangan Peribadi

TAHUN BAHARU 2017, AZAM BAHARU

PADA 2017 ini, saya ingin mengajak masyarakat keseluruhan sama-sama berazam meningkatkan tahap ilmu pengetahuan ke arah yang lebih baik dan meluas. Tentu banyak cara dan kaedah yang boleh digunakan bagi mencapai azam baharu ini. Namun, ingin dianjurkan untuk kita berazam membaca buku atau karya bermanfaat sejam setiap hari.

Azam ini kelihatan mudah. Namun, hakikatnya tidak. Azam ini memerlukan kita mengubah tabiat dan budaya hidup kita. Pertama ialah perubahan budaya kita terhadap ilmu pengetahuan itu terlebih dahulu. Kedua, perubahan sikap terhadap masa, manakala ketiga ialah perubahan tabiat dalam menentukan keutamaan amalan terbaik dalam kehidupan.

Budaya ilmu bermaksud kita memahami dan menghayati terlebih dahulu hakikat kedudukan ilmu yang tinggi berbanding perkara lain. Ketinggian kedudukan ilmu pengetahuan boleh diperhatikan dengan mata kasar kita mengenai kemuliaan yang dimiliki mereka yang berilmu pengetahuan.

Ilmuwan dihormati

Golongan ilmuwan dihormati segenap lapisan masyarakat. Kedudukan mereka di sisi masyarakat amat tinggi walaupun mungkin dari sudut kebendaan mereka dari kalangan orang kebanyakan.

Selain itu, apa yang lebih penting ialah peranan ilmu pengetahuan dalam mencorakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan kita. Tidakkah kita perhatikan keadaan mereka yang kurang berpengetahuan dengan mereka yang berpengetahuan? Menerusi pengetahuan yang menyeluruh mengenai sesuatu perkara, kita akan dapat membuat penilaian terbaik dalam apa juga keadaan apabila perlu membuat pilihan.

Orang berilmu tidak akan menjadi ‘pak turut’ lagi, tetapi bertindak dalam segenap aspek kehidupan ini secara sedar, dipandu kefahaman dan hikmah. Dari sudut agama Islam, kedudukan orang berilmu ini berada pada tahap tertinggi dari segi darjahnya. Allah SWT menjanjikan untuk mengangkat kedudukan orang berilmu ke darjah terbaik dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Menerusi penghayatan kedudukan ilmu dalam kehidupan ini, ia seharusnya mampu memberi satu hala tuju berfikir untuk kita bercita-cita memiliki dan mengetahui sebanyak dan setinggi yang boleh mengenai pelbagai persoalan keagamaan, kemanusiaan dan ketamadunan.

Perubahan budaya pertama ini menjadi asas untuk seseorang menjayakan perubahan kedua iaitu sikap terhadap masa. Semua kita memiliki jumlah masa yang sama. Namun, apa yang akan membezakan antara kita adalah sikap terhadap masa.

Bagi seseorang yang memiliki kesedaran budaya ilmu yang tinggi, mereka tidak akan mensia-siakan masa walau sedetik untuk melakukan perkara sia-sia. Dalam hubungan ini, mereka memanfaatkan setiap detik masa untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

Perubahan tabiat

Azam untuk membaca sekurang-kurangnya sejam setiap hari menuntut kita untuk memperuntukkan satu tempoh masa bagi menjalankan aktiviti membaca. Sikap positif terhadap nilai masa membolehkan seseorang itu memberikan satu masa khusus dalam sehari kehidupannya untuk peningkatan diri menerusi kaedah pembacaan.

Untuk mencapai azam baharu ini, perubahan tabiat dalam menyusun keutamaan amalan dalam kehidupan amat diperlukan. Kita sememangnya sentiasa berkejaran masa kesibukan dengan pelbagai tugasan dan urusan dalam kehidupan ini. Namun, kesibukan tidak boleh dijadikan alasan untuk kita tidak membaca dalam masa sehari.

Oleh itu, saranan terpenting di sini ialah untuk kita menjadikan amalan membaca sebagai satu daripada kegiatan utama dalam susunan amalan dalam kehidupan. Kita perlu memberikan waktu untuk amalan membaca dalam sehari walaupun sekejap. Malah, kita perlu menangguhkan kegiatan atau amalan lain yang tidak terlalu mustahak untuk memberikan ruang kepada kegiatan membaca.

Pada peringkat permulaan pemupukan budaya membaca, buku yang dibaca hendaklah sejajar dengan minat setiap individu. Namun, selepas beberapa tahap waktu, bentuk buku itu hendaklah sistematik. Pembacaan berpandukan klasifikasi ilmu yang dipecahkan kepada ilmu teras, ilmu umum, ilmu khusus dan ilmu alat mesti dipatuhi.

Masa membaca yang terbaik pula tergantung pada faktor biologi seseorang individu. Ada sesetengah ahli ilmuwan yang membaca pada awal pagi. Sebahagian lain sebelum tidur dan sebahagian yang lain ketika waktu petang. Apa yang penting bagi mereka yang ingin memulakan azam baharu membaca selama satu jam sehari pada tahun 2017 ini, jadikan membaca sebagai budaya dan amalan hidup pada waktu lapang.

Sumber : Berita Harian Online

Be Sociable, Share!
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

Powered by WordPress | Designed by: seo services | Thanks to ppc software, massage beds and web design firm