IBARAT MENUNGGU BULAN JATUH KE RIBA

Salam Pembaca Blog Sekalian,

Ketika saya sedang asyik melayari internet, saya terserempak dengan satu forum yang agak menarik. Forum tersebut sememangnya hangat dan penuh dengan Harapan, fikiran positif dan Doa…

Kasihan…Kasihan.. Betul-betul kasihan,

Mereka semua tertipu! Ya, benar-benar tertipu! Namun begitu, mereka masih percaya dan cuba menegakkan benang yang basah. Inilah kisah mangsa-mangsa penipuan Skim-skim Pelaburan yang ntahapahapantah..yang sebenarnya dah berkubur pada pertengahan tahun 2007 lagi. Namun mereka ini masih diberi harapan oleh leader-leader mereka yang 2 x 5 juga dengan mereka yang tak tahu apa-apa. Cuma untuk menyedapkan hati para pelabur yang amat dermawan dan ingin cepat kaya itu maka berbagai harapan demi harapan ditaburkan. Dari satu jangkamasa ke satu masa. Namun wang keuntungan pelaburan tidak juga kunjung tiba….namun mereka masih setia ibarat menunggu bulan jatuh ke riba….

Ntahlah saya pun hairan dengan sesetengah masyarakat kita pada hari ini yang suka mengambil kesempatan dengan tergamak menipu menjayakan pelbagai bentuk pelaburan palsu dengan mengaitkannya pula dengan pemimpin politik, ekonomi negara dan serantau. Itulah bahananya jika kita tiada ilmu pengetahuan tentang pelaburan. Terima bulat-bulat apa yang diperkatakan tanpa usul periksa. Yang mereka tahu melabur sejumlah duit, goyang kaki dan dapatkan keuntungan. Semudah itu untuk menjadi kaya…itulah yang mereka fikirkan.

Yang lucunya,,,boleh pula mereka percaya akan cerita-cerita mengarut bentuk pelaburan yang mengaitkannya dengan dana luar yang dibekukan di luar negara. Yang amat saya hairankan dan bertambah Hairan Bin Ajaib pula apakah kaitannya, dengan wang pelaburan kita dengan wang haram yang dibekukan di negara luar tersebut??? Bukankah nampak sangat pembohongan NYATA semata-mata untuk merompak wang para pelabur(pelebur) mereka sahaja.

Saya sebenarnya juga amat bersimpati dengan mangsa-mangsa pelaburan ini. Ada di antara mereka sanggup berhutang ribuan ringgit malahan ada puluhan ribu ringgit semata-mata ingin menyertai pelaburan MISTIK ini. Ya, Pelaburan Mistik. Mereka percaya akan ada keuntungan tetapi wang pelaburan mereka hilang begitu sahaja dan keuntungannya hanya samar-samar sahaja. Nasihat saya kepada mangsa yang terlibat, usahlah buang masa dengan menanti dan terus berharap dengan sesuatu yang MUSTAHIL. Ada baiknya tuan-puan berdoa agar diberi petunjuk dan jalan agar dimurahkan rezeki bagi mendapatkan keberkatan dunia dan akhirat. Mula berfikir kehadapan. Timba ilmu pengetahuan yang sebenar tentang kewangan dan pelaburan. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu yuran pembelajaran anda dalam kelas pelaburan anda yang pertama. Bertindaklah dan fikirkan sesuatu yang realiti bukan fantasi dan penuh mistik!

Bagi mereka yang ingin jadi kaya, prinsip ini harus dipegang dan disemat di dalam minda anda. Sebenarnya tiada siapa pun yang sanggup untuk berkongsi keuntungan yang tinggi dengan anda sekiranya anda hanya melaburkan wang anda tanpa melibatkan sebarang usaha. Jika anda masih belum faham, biarkan saya bertanyakan kepada anda satu soalan? Sanggupkah anda berkongsi 50% wang hasil penat lelah dan kerja keras anda dengan orang lain yang tidak berbuat apa-apa? Lihat sendiri pihak Bank, mereka menggunakan wang para penyimpan untuk digunakan bagi menjana hasil pendapatan mereka. Namun berapa peratuskah keuntungan yang dikongsi kepada para pelanggan mereka? Kurang 2%…

Oleh itu, saudara – saudari yang saya kasihi sekalian, ingatlah bahawa berfikiran untuk kaya itu betul tetapi apabila berfikiran untuk cepat kaya itu, pasti pelbagai masalah akan timbul. Jadi renung-renungkanlah…

Salam kekayaan,

Thinkerich

SESI BERFIKIR

Salam kepada semua pembaca blog Pemikir Kaya!

“Pernahkah anda memerhati bagaimana seseorang usahawan yang berjaya menjalankan perniagaan mereka?”

“Pernahkah pula anda melihat usahawan yang kurang berjaya melakukan usahaniaga mereka?”

Mengapa saya bertanya kedua-dua persoalan tersebut kepada anda? Kerana saya inginkan minda anda sentiasa sibuk memikirkan situasi dipersekitaran anda. Ini kerana ia akan lebih membantu minda anda agar lebih peka dan sentiasa cergas, cerdas dan bermotivasi ke arah kekayaan dan kejayaan hidup.

Baiklah, saya tinggalkan anda semua dengan persoalan ini untuk sama-sama kita fikirkan. Anda semua amatlah digalakkan untuk memberi pendapat dan ulasan bergantung kepada apa yang minda anda cernakan daripada permerhatian dan penelitian anda sendiri.

Harus diingat, di sini tiada jawapan yang betul dan tiada jawapan yang salah kerana persoalannya adalah berkisar kepada pendapat anda dan bukan pendapat orang lain.

Jadi, apa pendapat atau komen anda?

Thinkerich

MEMBERI SEBELUM MENERIMA

Salam pembaca blog,

Apa khabar? Semoga sihat sejahtera hendaknya.

Pernahkah anda memberi sesuatu dengan ikhlas? Ya, ikhlas…memberi sesuatu dengan rela hati tanpa mengharapkan sesuatu balasan. Saya pasti tentu ada bukan? Tetapi kadangkala kebanyakan daripada kita apabila memberi dengan ikhlas, hanya dimulut dan bukan di hati.

Maka kesannya apa yang anda beri itu tidak memberi hasil dan pulangan yang berganda. Sebagai contoh anda tiba-tiba didatangi oleh seorang peminta sedekah ketika anda sedang asyik menikmati juadah makan tengahari, bersama kawan-kawan atau teman wanita anda. Demi untuk menjaga maruah dan air muka anda agar tidak kelihatan seperti seorang yang bakhil dan kedekut, lalu anda pun menghulurkan sekeping wang kertas RM5.00 (yang pada asalnya untuk belanja rokok anda!) Lalu peminta sedekah tersebut berlalu dan mengucapkan terima kasih kepada anda. Tetapi dalam masa yang sama anda masih berkira-kira di dalam kepala anda tentang jumlah RM5.00 yang telah anda keluarkan. “Menyesal sungguh rasanya”, bentak hati kecil anda.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika dilihat pada contoh di atas anda telah menjalankan suatu kebaikan atau kebajikan, namun begitu kerana tiada sifat ikhlas dalam diri anda maka perbuatan itu tidak mendatangkan pulangan yang membanggakan untuk anda sekadar kebaikan kepada penerima tersebut. Jika anda pernah melalui perkara sedemikian dan terdetik perasaan sedemikian anda sepatutnya cepat-cepat mengubahnya dengan menganggap bahawa itu adalah rezeki mereka yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t untuknya. Maka anda harus ingat bahawa wang RM5.00 itu hanyalah sekadar anda pegang untuk sementara sahaja atau dengan kata lain sebagai ‘pemegang amanah’.

Jika anda dapat berpegang kepada prinsip ini, aliran wang atau rezeki anda akan mengalir dengan lancar dan teratur. Anda tentu pernah melihat mereka yang mempunyai pendapatan wang yang banyak dan dalam masa yang sama memiliki simpanan yang banyak kelihatan sentiasa tidak cukup atau sering kesempitan wang. Rezeki mereka kelihatan tersekat-sekat dek kerana terlalu berkira untuk diinfak ke jalan kebajikan.

Suatu ketika dahulu sewaktu saya masih kecil, lebih kurang 20 tahun lalu, saya sering melihat seorang lelaki yang mengeluarkan RM50.00 untuk derma masjid setiap kali solat Jumaat.(RM50.00 pada 20 tahun yang lalu satu jumlah yang besar!) Saya sering tertanya-tanya, kenapa beliau sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar hanya untuk derma tabung masjid? Apa yang beliau dapat? Sedangkan hidupnya ketika itu tidaklah mewah ataupun kaya. Itulah persoalan seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa tentang wang dan konsep rezeki ketika itu.

Baru-baru ini ketika saya berkesempatan pulang ke kampung, saya sempat bertemu dan bersua muka dengan individu tersebut yang saya panggil sebagai Pakcik Saufi. Saya dapat tahu beliau kini telah memiliki beberapa cawangan kedai emas dan beliau kini cukup dikenali sebagai seorang pemaju perumahan yang berjaya dan dermawan. (Pakcik Saufi dahulunya hanyalah seorang pemuda biasa yang bekerja sebagai seorang tukang emas dengan teman arwah bapanya). Beliau juga kini sentiasa membantu keluarga miskin di sekitar kampung. Berkat daripada hasil kerja keras dan tabiatnya yang suka menyumbang itu kini beliau hidup dalam penuh kebahagian. Suatu sikap yang patut dipuji dan diamalkan oleh setiap insan di muka bumi ini.

Suatu lagi kisah daripada seorang teman saya, Sebelum ini beliau pernah menceritakan pengalaman dan nikmat hasil daripada sikap dan tabiat memberi sebelum menerima ini. Sebelum mengamalkan konsep ini, beliau sering mengadu menghadapi masalah kewangan- tidak cukup wang walaupun setiap bulan beliau telah mengagih-agihkan perbelanjaannya. Namun begitu, baru-baru ini beliau datang memberitahu saya bahawa beliau merasa cukup tenang dan lapang sekali. Katanya, dahulu beliau begitu berkira untuk memperuntukan sebahagian wang pendapatannya untuk menunaikan zakat pendapatan kerana beranggapan sekiranya beliau membayar zakat setiap bulan, wang perbelanjaannya tidak cukup.

Namun, begitu pada suatu hari beliau telah mendapat petunjuk untuk mula mengeluakan zakat pendapatan kerana beliau percaya bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah s.w.t, dan jika zakat itu sememangnya adalah sesuatu yang telah dituntut di dalam rukun Islam, kenapa harus dia meninggalkannya amalan tersebut. Dan Allah s.w.t sendiri telah berjanji bahawa barangsiapa yang mengeluarkan hartanya ke jalan Allah, maka tidak akan dikurang sedikit pun malahan Allah akan menambahkannya. Berkat tawakal dan kesungguhannya mengeluarkan zakat setiap bulan, beliau mengaku dan kadangkala merasa agak hairan kerana beliau kini tidak lagi mengalami masalah ketidakcukupan wang. Jika diteliti dan dikira secara logiknya memang tidak akan cukup! tetapi dari mana beliau memperolehi rezeki selebihnya? Saya percaya anda sudah pasti tahu akan jawapannya bukan? ALLAH s.w.t…

Oleh itu, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian. Jika kita dapat menyemai tabiat memberi sebelum menerima dan sentiasa bersyukur ke atas apa yang kita terima, pasti kita akan mendapat kebaikannya kelak. Tidak kiralah seberapa kecil pendapatan anda, jika anda mampu keluarkannya, maka laksanakanlah. Kadangkala seseorang yang hanya memperolehi pendapatan kecil yang sentiasa bersyukur dan mengeluarkan sedekah lebih kaya daripada mereka yang berpendapatan tinggi tetapi berkira-kira untuk mengeluarkan sedekah.


Wallahualam..

Salam kekayaan,

Thinkerich

TOKOH MAAL HIJRAH KEBANGSAAN 1429 H

SalamMaal Hijrah,

Apa khabar semua? Saya rasa masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada semua pembaca blog Motivasi Kekayaan, Pembangunan Minda.

Baiklah, pada post kali ini saya ingin ‘review’ wawancara bersama Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1429 H. Siapa lagi kalau bukan pengasas Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Banyak perkara yang boleh dijadikan panduan dan pengerak motivasi kepada semua pengunjung blog motivasi kekayaan ini.

Untuk makluman, Tan Sri Syed Mokhtar merupakan ahli perniagaan bumiputera terkaya di negara ini dengan harta bernilai RM4.16 bilion sebagaimana dinyatakan dalam Senarai Bilionair Dunia Forbes 2007.

Ikuti petikan wawancara beliau dengan wartawan Mingguan Malaysia.

Mingguan: Adakah orang Melayu begitu ketinggalan berbanding kaum lain jika diimbas kembali kemajuan yang dicapai oleh kaum bumiputera sejak 50 tahun lalu?

SYED MOKHTAR : Dalam hal ini, kerajaan banyak membantu. Kita bernasib baik dan bersyukur kerana mampu memiliki saham amanah dengan adanya agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ia bukan sahaja membantu tetapi turut berjaya sebagai antara institusi saham amanah termaju. Itu dalam aspek pemilikan saham sahaja tetapi kita juga perlu mencari usahawan Melayu yang mahu mengkhusus dalam bidang peruncitan, pemborongan dan pengedaran. Saya sendiri berusaha keras sejak tahun 60-an, dari Alor Star, Kedah menerjah ke seluruh pelosok negara bagi mencari peluang perniagaan yang boleh diceburi.

Generasi terdahulu pada awal kemerdekaan mungkin agak ketinggalan dalam hal ini tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak mahu ‘mengejar’ sebaliknya berusaha keras bagi menguasai bidang- bidang itu. Keadaan ini sememangnya mewujudkan jurang dalam ekonomi Melayu dibandingkan dengan bangsa lain terutama Cina dan ia diburukkan lagi dengan sikap beberapa usahawan Melayu pada tahun 80-an dan 90-an yang menjual kepentingan demi poket sendiri, melanggar Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi kekayaan kepada mereka. Golongan usahawan ini saya gelarkan sebagai individualis Melayu. Golongan ini mempunyai keupayaan tetapi tidak membantu masyarakat yang memerlukan bantuan. Saya fikir kita kena bagi balik kepada masyarakat. Dan apa yang dibuat perlulah sederhana kerana ini selaras dengan tuntutan Islam.

Apakah yang dilakukan oleh golongan individualis Melayu ini sehingga melebarkan jurang ekonomi Melayu dengan kaum lain?

SYED MOKHTAR: Golongan yang mementingkan diri sendiri ini bertindak menjual kepentingan yang dimiliki. Ini banyak berlaku dalam era 80-an dan 90-an. Semua ini berlaku sebab mereka merasakan kepentingan dan kedudukan kewangan mereka tergugat ekoran krisis ekonomi yang melanda negara.

Mereka mengambil tunai hasil penjualan saham syarikat yang dibangunkan di bawah DEB, cepat kecewa dengan perniagaan di tanah air sendiri dan memindahkan dana ke luar negara. Ini sekali gus mengurangkan bilangan usahawan Melayu yang ada di negara ini. Bukannya tidak boleh melabur di luar negara tetapi kenalah membawa balik ke negara ini.

Pandangan saya, jika golongan ini masih menjalankan perniagaan di sini dan mengalami masalah, tentunya ramai yang boleh membantu dan bukannya mengambil tindakan melabur di luar negara kerana mementingkan diri sendiri.

Syukur kepada Allah walaupun turut menerima kesan daripada krisis ekonomi pada kedua-dua era, usahawan Melayu seperti pengasas Kumpulan Sapura, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir, Pengerusi AMMB, Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi MKland Holdings Bhd., Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar serta beberapa yang lain termasuk saya sendiri masih kekal di negara ini, tidak mengikut jejak golongan individualis yang menjual kepentingan dan melabur di luar. Kami terus kekal di sini kerana kami ada pendirian.

Mungkinkah keadaan ini berlaku kerana makna kejayaan kepada golongan individualis ini berbeza dengan makna kejayaan kepada Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Bagi saya, makna kejayaan memang berbeza kerana mereka tidak mahu menginstitusikan perniagaan di negara ini. Mereka dilahirkan oleh DEB dan dapat peluang perniagaan tetapi kemudiannya menjual untuk kepentingan diri sendiri. Jadi apa guna kerajaan bangunkan, beri peluang dan jadikan mereka berjaya tetapi kemudian mereka hilang.

Ambil duit mereka dan tinggal di luar negara, cuba buat kajian dan anda akan tahu siapa mereka ini. Kalau orang Melayu tidak mementingkan diri dan kekal di Malaysia, alhamdulillah. Jadi kita tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Saya sudah merasa semua nikmat di dunia ini, cuma mati sahaja belum rasa.

Nikmat yang Allah berikan tiada yang lebih lagi, mahu lebih bagaimana lagi? Kita kena lebihkan di negeri sendiri, tanah tumpah darah kita dan bukan luar negara. Bawa balik dalam masyarakat dan kongsi segala kekayaan. adalah salah jika duit yang diperoleh daripada bantuan kerajaan dilaburkan diluar negara. Jangan tipu diri sendiri.

Ini tidak boleh. Kita kena balik kepada asas. Sewajarnya kita perlu sumbangkan kepada negara.

Saya akan terus usahakan selagi ada daya dan kesihatan. Biar seimbang kerana mencari rezeki adalah sebahagian daripada amalan. Ilmu juga sebahagian daripada amalan. Saya timba ilmu daripada pengalaman. Bila bercakap biarlah mengikut kedudukan. Jika ada RM1 jangan kata ada RM10. Ikhlaskan diri dan bila ada kemampuan, buat kerana Allah dan tidak perlu tonjolkan diri.

Tan Sri mengalami kerugian RM2 bilion semasa krisis ekonomi dahulu. Apa yang berlaku?

SYED MOKHTAR: Tahun 1997, kita labur dalam syarikat yang disenarai awam demi mengekalkan pegangan 30 peratus dalam syarikat-syarikat ini, naik setinggi mana pun kita tidak jual. Jadi, apabila krisis tiba dan harga saham merudum, kerana ingin kekalkan 30 peratus, rugi lebih kurang RM2 bilion. Macam-macam perasaan ada tetapi kita cari jalan untuk lupuskan kerugian dan cari peluang perniagaan baru.

Saya selalu tidak fikirkan diri sendiri, cuba jaga orang-orang yang terajui kumpulan. Sebab itu banyak yang kekal, biar sederhana tetapi tidak rosakkan diri dengan nikmat. Kadang-kadang benda yang kita dapat boleh rosakkan kita. Lebih baik kita amalkan “tidak lebih dan tidak kurang.” Kita kawal agar nikmat tidak rosakkan kita. Yayasan Albukhary menjadi tempat untuk menempatkan lebihan yang boleh rosakkan diri kita supaya dapat berkongsi dengan orang lain.

Jangan lupa asal diri walaupun kita dah pergi ke serata dunia. Insya-allah, orang Melayu hari ini pun dah ramai yang keluar universiti dan masih belum terlambat untuk berjaya, cuma ada jurang lagi. Kita kena terus bangun supaya bangsa lain tidak pandang hina pada kita. Maknanya biar dia cerdik dan kita pun tidak bodoh, dia kaya dan kita pun tak miskin. Kita kena cubalah, tiada miskin dalam nilai dan pembawaan, perlu ikhlas dan komited. Demi komitmen terhadap ummah, kita bawa masuk pelajar dari negara lain, ada yang miskin sangat, kasut dan baju pun tidak ada. Bila kita buat semua ini, ia secara automatik membawa kita kepada keinsafan.

Ada berpendapat bahawa Tan Sri melabur dalam terlalu banyak perniagaan. Bagaimana Tan Sri menguruskannya?

SYED MOKHTAR: Sistem pengurusan saya terbuka. Buat masa ini saya sedang berusaha menginstitusikan perniagaan dan yayasan saya supaya bila saya tiada nanti, kesemua ini masih boleh berjalan sebab telah ada satu sistem yang teratur dan mantap. Itu yang saya kesal bila ada orang Melayu yang jual kepentingan dan melabur di luar negara semasa berlakunya krisis ekonomi tahun 80-an dan 90-an.

Dahulu, semasa kerajaan suruh saya ambil alih Pernas, saya kata nak buat apa sebab saya tidak tahu pengurusan hotel. Tetapi kalau Pernas jatuh ke tangan orang lain, ia satu kemunduran DEB. Semasa saya ambil alih Pernas harga tawaran lebih sedikit daripada harga pasaran.

Bagi syarikat MMC (MMC Corporation Berhad), masa kita ambil alih daripada PNB dulu, harga sahamnya adalah lebih rendah berbanding sekarang. Bagi DRB-Hicom, kita berusaha bagi meningkatkan lagi prestasinya. Tetapi usaha itu bukanlah suatu yang dapat dilihat hasilnya dengan cepat. Kita kena berusaha walaupun lambat. Sekali lagi, ini semua untuk institusi, bukan untuk individu. Tetapi selagi hidup, kita akan pegang saham syarikat-syarikat itu kerana kita membangunkannya dari mula lagi.

Sekarang orang Melayu ada dua fahaman – parti UMNO dan Pas. Kadang-kadang kita tolong satu pihak sahaja sedangkan kedua-duanya adalah orang Melayu. Bagaimana Tan Sri melihat hal ini?

SYED MOKHTAR: Kawan- kawan saya di kampung ada ahli UMNO dan ada ahli Pas. Itu hanya fahaman politik tetapi dalam aktiviti masyarakat dan perniagaan, tiada perbezaan dan masalah. Kita hormati pemikiran politik masing-

masing dan tentunya saya sebagai anak UMNO, kadangkala ada berdebat tetapi kita tetap berkawan dan tidak bergaduh sesama sendiri. Dalam masjid, kenduri kita sama-sama masak nasi kawah, kita makan sekali. Insya-allah, jika kita tunjukkan nilai-nilai positif dalam diri kita dan saling tolong-menolong dan kunjung-mengunjungi antara satu sama lain, satu hari mungkin mereka akan tergerak hati untuk ikut kita. Jadi kita kena berkawan dan tunjukkan cara yang betul.

Apa yang harus dimiliki oleh orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Bagi saya orang Melayu kita kena ada sifat kuat berusaha. Sama ada kita dapat kejayaan atau tidak, kita tak boleh putus asa. Kalau dapat kejayaan kena bersyukur, tidak dapat pun bersyukur juga. Saya tidak melihat cara jangka pendek untuk berjaya. Saya percaya kita mesti melalui proses tertentu untuk kita mendapat kejayaan.

Ini kerana sebelum kejayaan diperoleh, kita terpaksa mengalami bermacam-macam cabaran. Kita kena kenal diri kita sendiri. Dalam agama pun Allah suruh kita kenal diri sendiri sebelum mengenali Allah. Maknanya kita kena menilai dengan jujur dan tidak boleh tipu diri sendiri. Sebab itu apa yang kita buat mesti ikhlas.

Asas mesti ada iaitu asas ekonomi kerana seperti Cina, mereka dibawa masuk sebelum merdeka untuk berniaga, India bekerja di ladang-ladang dan orang Melayu dijadikan petani. Jadi, sememangnya wujud jurang ekonomi antara ketiga-tiga ini. Kalau kita kecewa maka jurang ini akan semakin jauh. Walaupun sesetengah orang Melayu mudah kecewa namun sekarang ini sudah nampak banyak perubahan.

Jurang itu masih ada tapi saya tak putus asa dan terus belajar selok-belok berniaga beras semasa mula berniaga dahulu, kalau tiada kekuatan sendiri dan tiada pengalaman selok-belok perniagaan, susah untuk maju ke hadapan. Untuk orang Melayu maju, mereka kena kembali kepada asas dan tiada sebab untuk seseorang untuk tidak maju.

Sekarang ramai yang tidak sabar dan menggunakan jalan singkat dan kata mereka kalau ada jalan singkat, kenapa pilih jalan jauh? Apa komen Tan Sri?

SYED MOKHTAR: Kalau kita tak sabar, kita akan dapat hasil yang “tak sabar”. Tahun 60-an saya adalah salah seorang yang tak dapat peluang, yang orang patut tolong. Tapi alhamdulillah, saya tolong diri saya sendiri. Kita semua sama saja. Mak saya kata, “Hangpa tujuh orang keluar dari perut aku.”

Kerana itu dia tak bagi kami berkongsi bisnes. Tujuh orang kena ada kemahiran sendiri dan bila jumpa kasih sayang akan berpanjangan. Sekarang ini saya tolonglah sikit-sikit. Tapi yang penting mereka tolong diri sendiri. Setiap orang akan dapat peluang mengikut kemampuan dan tak boleh berputus asa. Saya anak DEB dan pendukung UMNO. Saya melalui proses, misalnya, mula-mula minta lesen nak berniaga kedai, minta lesen lori. DEB sediakan semuanya tapi ada yang hendak cepat kaya ambil lesen pajak kepada Cina. Beli lori tidak mahu mengusahakan sendiri.

Kerajaan yang didukung oleh UMNO memang ada polisi untuk menolong orang Melayu. Tapi DEB hanya bagi orang Melayu 30 peratus dan 70 peratus lagi kepada kaum lain. Sebab itu bila saya jumpa mereka saya kata, DEB bagi 70 peratus kepada mereka dan saya hanya tumpang 30 peratus, itu pun mereka hendak suruh kaji semula. DEB kayakan seluruh masyarakat Malaysia dan memberi peluang terbuka kepada semua kaum dan bukan kepada orang Melayu saja. Saya tahu perkara ini sebab saya menceburi perniagaan sejak dari awal lagi.

Sekarang ini ada semacam teori bahawa untuk berjaya mesti mendampingi orang politik. Apa kata Tan Sri ?

SYED MOKHTAR: Kita kena kenal orang politik, kena ada hubungan dengan UMNO. Bila ada hubungan dengan UMNO ada hubungan dengan pemimpin, bila ada hubungan dengan pemimpin kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita tak boleh menggunakan cara singkat untuk mendapat peluang, lepas itu orang lain yang ambil.

Macam saya, saya terpaksa pergi jumpa pemimpin atasan kalau ada masalah perniagaan yang melibatkan kepentingan negara. Kita ada hubungan dengan kerajaan. Kita minta tolong pemimpin kita mengenai apa yang kita boleh buat dan setakat mana kemampuan kita. Bukannya mengambil lesen kemudian bagi kepada orang lain. Saya panggil orang jenis ini sebagai individualis Melayu. Orang jenis ini fikir untuk diri sendiri saja.

Bila umur 45 mesti ada apartmen di luar negara, duit RM50 juta. Jadi, ini bukan masalah UMNO atau DEB. Ini masalah orang Melayu yang tidak percaya kepada diri sendiri. Mereka percaya kepada duit dalam akaun. Tapi saya tidak bersimpati dengan mereka yang bersikap demikian. Sebab itu saya tubuhkan yayasan. Syed Mokhtar akan mati. Yayasan akan kekal sebagai institusi. Syarikat-syarikat perniagaan juga akan kekal diurus oleh profesional yang berkelayakan dan bukan ahli keluarga. Perniagaan perlu menyumbang kepada hasrat yayasan dalam hal-hal kebajikan. Untuk itu perniagaan perlu diuruskan secara profesional untuk memastikan ia terus berkekalan.

Jadi kegagalan Melayu bukanlah kerana DEB gagal?

SYED MOKHTAR: Kalau gagal, itu disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Saya dilahirkan oleh DEB, dapat lesen lori, duit bantuan Mara, UDA bagi kedai. Tetapi DEB bukan kayakan orang Melayu saja, DEB kayakan seluruh masyarakat. Ini yang saya suka tekankan supaya semua orang faham.

Mungkinkah orang Melayu tidak sedar mereka ketinggalan?

SYED MOKHTAR: Saya fikir orang Melayu sedar tapi mereka mungkin tidak mahu menjadikan itu sebagai satu isu. Bagi saya, kalau sedar macam mana sekalipun, isu tetap di situ juga jika tidak mencari jalan mengatasinya.

Seperti saya selalu kata, benda yang benar akan kekal. Bagi saya, orang Islam bernasib baik kerana kita ada akhirat. Dalam Islam, ajaran dan budaya sudah lengkap. Ini meliputi cara hidup dan cara kita cari rezeki. Kalau kita ikut nilai-nilai ini tak payah nak pakai serban. Orang Kedah kata macam lebai kodok, bukan cerdik sangat. Tapi yang penting kita ada kekuatan itu. Kita tak perlu ada sifat malu kerana kita tak mencuri. Setiap orang, Allah bagi kekuatan.

Ramai tertarik dengan Muzium Kesenian Islam yang diasaskan oleh Tan Sri. Kenapa Tan Sri menubuhkan muzium ini yang tidak ada pulangan komersial?

SYED MOKHTAR: Saya dapat peluang apabila kerajaan bercadang membuka Muzium Islam semasa ekonomi berada dalam keadaan baik. Saya lihat ini sebagai peluang untuk saya menyumbang balik kepada masyarakat walaupun saya tiada pengalaman.

Nasib baik adik saya mempunyai pengalaman dalam bidang muzium ini, kami berbincang dan bersetuju untuk membangunkannya kerana ia boleh menjadi tempat untuk mempamerkan artifak-artifak Islam tempatan dan luar negara. Ia juga menjadi peluang kepada rakyat negara ini dan asing untuk menyaksikan artifak dari Turki, Istanbul dan muzium luar negara tanpa perlu ke negara-negara berkenaan.

Saya sedang berusaha untuk membawa kaligrafi, ukiran dan juga bahan-bahan seramik dari pelbagai negara untuk dipamerkan di muzium ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan Islam itu global. Artifak-artifak Islam ada di seluruh dunia tetapi tidak semua orang boleh menyaksikannya. Dan Muzium Kesenian Islam berusaha supaya semua orang boleh melihat warisan-warisan Islam daripada artifak-artifak ini.

Agama Islam ada di mana-mana negara dan artifak-artifak ini banyak dibawa masuk ke muzium menerusi pembelian, pertukaran artifak dan penganjuran pameran bersama Muzium Britain, Kaherah, Singapura. Bila kita buat pameran, kita terbitkan satu buku dan hantarkan ke seluruh dunia. Dari situ kita dapat belajar persilangan budaya yang berlaku kepada Islam di China, di India dan seluruh Asia, di mana-mana sahaja. Orang boleh nampak bahawa Islam agama yang terbuka.

Jiran saya di Alor Star ada India dan Cina, tiada masalah untuk hidup bersama. Islam tiada bagi masalah kepada yang bukan Islam. Muzium ini menunjukkan Islam itu global. Seramik dan besi cukup hebat. Artifak ini ada yang dibeli dari luar. Kerajaan bagi kita simpan dan kita buat muzium ini kita serah kepada kerajaan dan kerajaan pajak balik muzium ini untuk 99 tahun. Muzium ini dibiayai oleh Yayasan Albukhary sejajar dengan objektif untuk membangunkan budaya dengan belanja RM5 juta setahun. Saya juga mahu orang bukan Islam turut mengunjungi muzium ini untuk melihat tamadun dan kesenian Islam.

Masjid di Jalan Hang Tuah dibina bukan di kawasan majoriti Islam. Apa tujuan Tan Sri berbuat demikian?

SYED MOKHTAR: Asalnya masjid itu kecil sahaja. Ada jawatankuasa datang jumpa saya dan berbincang, saya kata jika mahu membangunkan semula biar betul-betul walaupun kawasan itu setinggan dan tidak ramai orang Islam.

Mungkin ada orang yang menaiki motosikal boleh singgah, budak-budak yang tinggal di pangsapuri berdekatan boleh datang mengaji, ada syarahan. Sasaran saya ialah masyarakat bandar yang berpendapatan rendah. Hari Jumaat boleh sembahyang di situ, saya fikir kita buat kerana Allah s.w.t. kita buat betul-betul. Ikhlaskan diri dan buat yang terbaik. Masjid di Jalan Hang Tuah ialah sebuah masjid bandar untuk warga kota. Ini membolehkan orang yang bekerja di sekitar kawasan itu singgah sembahyang di situ.

Bagaimana pula dengan bajet yayasan?

SYED MOKHTAR: Memandangkan yayasan baru hendak diinstitusikan, maka kita sedang meneliti banyak perkara terutama pendidikan yang melibatkan tuisyen yang disertai oleh pelajar-pelajar antarabangsa dari negara-negara yang penduduk Islamnya sedikit sahaja. Muzium pula lebih kepada persilangan budaya dan teras yayasan buat masa ini ialah pendidikan dan muzium sahaja. Sepuluh tahun yang lalu saya laburkan dalam pembinaan infrastruktur dan sekarang sedang membina kolej di Alor Star yang akan siap pada tahun 2009.

Sebanyak 3,000 pelajar disasarkan dengan 30 peratus pelajar tempatan manakala selebihnya antarabangsa. Ramai dari negara-negara Islam yang kecil di rantau Asia Tengah. Budak-budak ini cerdik tapi miskin dan mereka diberi pelajaran dalam Sains dan Matematik.

Ada juga kita hantar imam dan bilal yang kurang mampu ke Mekah untuk mengerjakan haji. saya lihat mereka ini kalau mati pun Allah beri mereka haji tetapi tidak dapat pergi ke Mekah kerana tidak mampu. Oleh itu, saya pilih 60 hingga 70 orang setahun dan kita bawa masuk Tabung Haji seperti yang ibu bapa kita buat. Selalu yang dapat ialah tok siak, imam dan bilal dan saya minta kuota daripada kerajaan untuk berbuat demikian.

Tan Sri pernah beritahu mahu memodenkan sistem sekolah pondok di negara ini. Adakah rancangan itu masih ada dan relevan untuk dilaksanakan pada masa ini?

SYED MOKHTAR: Sistem sekolah pondok yang ada pada hari ini memerlukan perubahan, sekolah yang lengkap dengan kemudahan asas. Ini penting kerana kebersihan itu adalah asas kesihatan pelajar dan juga sebahagian daripada iman.

Kolej Yayasan Albukhary di Alor Star ada sistem, lapan jam belajar, lapan jam waktu tidur dan lapan jam lagi untuk buat kerja-kerja sukarela. Pembelajaran hukum agama asas seperti sembahyang dan mengaji adalah tanggungjawab individu dan mesti ada. Kolej tidak banyak tumpukan kepada agama kerana itu tanggungjawab individu, tanggungjawab dengan Allah. Kolej itu tumpukan ilmu dunia.

Bila kita susah, orang tolong kita dan bila kita nampak orang susah kita kena tolong. Objektifnya bila keluar dari kolej ini mereka berisi dengan ilmu, nak jadi akauntan atau ahli ekonomi, kita berikan pelajaran dan lepas itu kita lepaskan, tiada terikat untuk pergi ke mana sahaja. Sistem sekolah pondok hanya pentingkan agama. Agama adalah tanggungjawab kita, memang ada dalam jiwa cuma perlu diperkuatkan tapi perlu juga ada ilmu dunia.

Boleh Tan Sri berkongsi zaman kanak- kanak, terutama cara Tan Sri dibesarkan dengan didikan keluarga yang bagaimana?

SYED MOKHTAR: Macam biasa juga, saya pergi ke sekolah rendah dan menengah. Cuma masa itu keluarga saya susah. Bila habis sekolah menengah, duit tidak ada dan saya ambil keputusan untuk tolong ayah saya dan berusaha dari kecil untuk berjaya. Duit kita guna untuk kehidupan peribadi dan untuk tolong orang lain juga.

Kaum lain ada organisasi seperti persatuan Hokkien atau Kantonis tetapi di mana orang Melayu? Di Kedah tiada satu pun dewan orang Melayu. Bila saya buat kolej, saya suruh buat lima atau enam reka bentuk sebab orang Kodiang, Arau, Padang Terap dan Pokok Sena bukan mampu untuk pergi sampai ke Samarkhan, Istanbul, Isfahan untuk melihat reka bentuk asing itu. Bila anda pergi ke kolej itu ada lima konsep seperti Morish, Turki, Tupaki, Afrika Utara dan sekali gus mencerminkan Islam yang global. Secara peribadi saya memang minat kepada seni bina Islam.

Buat masa ini, sementara menantikan kolej itu siap, kita tempatkan di UIA, ada 372 pelajar dari 47 negara dan insya-Allah, kita akan buka kolej di Kedah dan tumpukan kepada pelajaran asas seperti Pertanian, Perakaunan, Ekonomi dan ICT. Kita juga pernah adakan program ilmu untuk anak-anak Islam Pakistan dan ramai yang berjaya dan bekerja di luar negara. Perbelanjaan sepenuhnya kolej itu ialah RM600 juta apabila siap kelak. Seluas 75 ekar telah siap dan sekarang kita ada pusat dialisis, masjid dan rumah anak yatim dan orang tua, justeru pelajar itu akan buat kerja-kerja sukarela.

Tan Sri bukan sahaja mengembangkan perniagaan tetapi juga melaksanakan pengembangan yayasan.

SYED MOKHTAR: Itu niat saya. Sambil berniaga sambil juga membuat kerja-kerja kebajikan. Kita sementara masih hidup, melebihi 2.5 peratus zakat yang disyaratkan oleh Islam dan dapat tolong anak bangsa, dan juga bukan Islam, 70 anak-anak Islam dan 30 peratus lagi dikongsi oleh pelajar luar dan bukan Islam. Baru-baru ini kita menaja pelajar dari China untuk belajar di UIA tetapi kita tidak paksa mereka masuk Islam.

Bagaimana Tan Sri bekerja?

SYED MOKHTAR: Saya bertindak mengikut keperluan tapi kena terus berusaha agar setiap masalah selesai secepat mungkin. Harus menyelesaikan isu. Tidur selalu lewat, lagi malam lagi cerah mata kerana saya suka buat kerja malam-malam.

Yang penting semua kerja jadi, kena selesaikan isu walaupun berat. Kalau yakin perkara benar, tiada masalah. Perkara yang benar akan beri kita kekuatan untuk terus berusaha, jangan lari dari tanggungjawab.

Senaman kita buat secara sederhana, makan dan minum satu pertiga sahaja.

Saya suka berusaha dan cuba setakat yang terdaya kerana ini Tanah Melayu, jadi Malaysia. Bila saya jumpa pemimpin UMNO saya kata UMNO Melayu punya dan BN Melayu dan semua kaum punya. Dari awal, saya kata saya anak UMNO dan DEB. Kalau UMNO bagi teladan buruk, orang Melayu kecewa dan kita kena jaga. Bendang pun kita jaga dan jangan pajak kepada orang lain. Tapi bila orang cash-out, kita bina jurang yang luas lagi. Pergi luar negara untuk pengembangan tidak apa, tetapi asas kita di sini.

Adakah sejak dulu lagi Tan Sri sudah nampak masalah pendidikan orang Melayu?

SYED MOKHTAR: Masalah pendidikan memang ada dari awal lagi. Dalam tahun 60-an saya hadapi masalah pendidikan sebab tak ada kemampuan. Saya tidak boleh bayar yuran semasa di tingkatan lima.

Masalah budak-budak Melayu yang tak mampu nak bayar yuran memang ada pada masa itu. Saya nampak masalah pendidikan tapi saya pun salah seorang daripada mereka yang memerlukan pertolongan. Tapi tidak ada siapa yang tolong membayar yuran sekolah. Mungkin masa itu tidak ada orang Melayu yang berkemampuan yang boleh tolong saya. Jadi, bila dapat sikit peluang dalam perniagaan, saya ada kemampuan untuk menolong orang lain. Orang kaya ada dalam semua kaum. Mereka kena membantu kaum sendiri supaya tidak tercicir. Yang miskin kita kena bantu.

Apa yang Tan Sri akan lakukan dengan wang tunai RM80,000 yang diterima bersama trofi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan itu?

SYED MOKHTAR: Saya akan memberikannya kepada ibu saya. Masa dulu bila saya dapat RM1,000, saya hanya memerlukan RM500 saja. Bila saya dapat RM1,500 dan bawa balik ke rumah, mak saya kata RM750 cukup untuk keluarga. Baki RM750 bagi kepada orang tua-tua. Dari situ saya nampak perlunya jiran dan masyarakat dalam kehidupan kita. Saya dah ada interaksi dengan masyarakat.

Salam kekayaan,

Thinkerich

SILA AMBIL PERHATIAN !

Salam pembaca Blog Motivasi Kekayaan,

Kali ini saya masih lagi ingin membicarakan tentang kegiatan perniagaan MLM yang berbentuk pendapatan mudah dan segera. Sejak kebelakangan ini saya telah kerapkali dihubungi melalui SMS mahu pun telefon yang ingin mengajak dan memperkenalkan peluang buat duit melalui ‘perniagaan MLM’ dan yang amat menghairankan saya ianya pula dipelopori oleh bekas-bekas Jutawan dan mereka yang bergiat aktif dalam perniagaan MLM sebenar(konvensional) sebelum ini.

Saya masih ingat suatu ketika dahulu mereka ini begitu yakin dan petah membentangkan pelan pemasaran MLM yang tulen. Siap dengan membuat perbandingan dan perbezaan antara MLM, Piramid dan Skim Cepat Kaya. Malangnya kini saya lihat mereka pula boleh melakukan perkara sebaliknya dengan ghairah mengajak orang ramai untuk menyertai program sebegitu rupa.

Hairan Bin Ajaib saya dibuatnya. Malangnya mereka tidak berjaya mempengaruhi saya kerana saya masih berpegang pada apa yang pernah mereka ajar kepada saya suatu ketika dahulu. Katanya;

“Perniagaan MLM sebenar lebih fokus kepada jualan produk melalui networking manakala perniagaan bertopengkan MLM (Piramid, Binari) lebih mengutamakan kepada jumlah keahlian yang menyertai kumpulan mereka dan kebiasaannya jumlah yuran keahliannya melebihi ratusan ringgit bahkan ada yang mencecah ribuan ringgit”.

Pendek kata, perniagaan sebenar ialah menjual produk dan semakin banyak produk terjual dalam networking anda maka lebih besar komisyen yang anda boleh terima. Tetapi dalam perniagaan piramid/binari, semakin awal anda menyertainya dan yang paling penting jadilah orang terawal, maka peluang anda untuk mengaut lebih keuntungan adalah semakin cerah, secerah mentari pagi! Ini kerana semakin ramai orang menyertai networking anda maka semakin banyak komisyen yang anda dapat atau lebih tepat lagi semakin ramai yang anda cari dan menyertai anda maka semakin banyaklah bonus anda!

Jadi saya nasihatkan kepada semua agar lebih berhati-hati dan ambil perhatian tentang perkara ini sebelum menyertai mana-mana bentuk perniagaan sebegini. Ambil perhatian dan pastikan pelan pemasaran yang dijalankan memberi keutamaan kepada jualan produk melalui networking dan bukannya dengan mencari dan mendapatkan keahlian (cari orang) dengan yuran keahlian yang tinggi.

Ingat berhati-hati dan berfikiran kaya selalu dan bukan untuk berfikiran cepat kaya! Jika tidak anda pasti terjerat dan tertipu!

Salam Kekayaan,

Thinkerich

JUTAWAN MLM, BUKAN JUTAWAN SEBENAR..?

Salam pembaca blog Motivasi Kekayaan,

Apa khabar? Semoga ceria dan baik hendaknya. Baiklah kita terus pada topik kita yang agak PANAS kali ini….”JUTAWAN MLM, BUKAN JUTAWAN SEBENAR..?

Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini memandangkan masih terdapat dikalangan kita yang masih keliru dengan makna Jutawan yang sebenarnya. Saya pernah memberi sedikit komen dan pandangan di dalam sebuah blog kelolaan Jutawan Internet yang terkenal. Namun begitu pandangan saya tidak disokong dan diterima oleh beberapa orang pengunjung blog berkenaan.

Mereka seperti menyalahkan saya, apabila saya menyatakan Jutawan MLM bukan Jutawan yang sebenar! Saya menyatakan bahawa tidak SEMUA! Maksud saya di sini terdapat segelintir daripada mereka yang pernah mencapai PANGKAT atau RANK dalam sesebuah Pelan Pemasaran MLM ini kini sudah tidak lagi bergelar jutawan. Jadi kita perlu membezakan di antara PANGKAT dan nilai sebenar yang dimiliki oleh seseorang JUTAWAN. Saya dapat rasakan bahawa masih ramai yang tidak faham mahu pun keliru dengan makna Jutawan yang sebenarnya.

Baiklah biar saya jelaskan dalam kebanyakan pelan pemasaran MLM, mereka yang dinobatkan pangkat Jutawan adalah mereka yang telah memenuhi syarat untuk mencapai target jualan sesebuah syarikat MLM tersebut. Sebagai contoh, katakan anda telah memenangi insentif kereta mewah dan juga rumah. Pihak syarikat hanya memberi insentif wang pendahuluan dan juga peratusan bonus bulanan untuk kereta dan rumah yang dimiliki. Namun begitu untuk menikmati bonus tersebut, seseorang itu juga perlu mencapai tahap jualan yang telah ditetapkan . Jika tidak mencapai syarat yang ditetapkan, maka tiadalah bayaran insentif kereta dan rumah tersebut!!!

Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah berkenaan realiti sebenar kehidupan Jutawan MLM ini. Memang saya tidak nafikan ada di kalangan mereka yang bergelar Jutawan dan masih mempertahankan status Jutawan mereka.

Tetapi harus diingat kekayaan sebenar bukan dinilai daripada seberapa banyak wang yang anda perolehi tetapi berapa banyak nilai aset bersih(tidak termasuk tanggungan atau apa sahaja yang melibatkan anda berhutang dengan syarikat kewangan mahu pun bank) yang anda miliki.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini status Jutawan MLM ini hanyalah sementara dan seketika. Jika kita tidak bijak menguruskan kewangan kita, maka tidak mustahil ianya akan hilang daripada genggaman kita. Ini adalah kenyataan sebenar dan saya mengenali dengan rapat beberapa orang yang terlibat dan pernah mencapai kejayaan tertinggi di dalam pelan pemasaran MLM ni dan akhirnya kini berhempas pulas mencari peluang-peluang lain untuk menampung kehidupan mereka. Walau pun pernah suatu ketika mengecapi pendapatan bulanan puluhan ribu ringgit. Dan yang paling menyedihkan lagi, ada di kalangan mereka ini menggunakan status dan networking mereka sebelum ini untuk menarik mereka untuk turut serta dengan program-program ala-ala ‘Skim Cepat Kaya’, ‘Piramid’, ‘Binari’ dan ada juga yang sememangnya SKIM CEPAT KAYA!!!

Perniagaan MLM pun sama macam perniagaan yang lain. Ada turun naiknya. Kalau sedang naik, untung lah mereka tetapi kalau dah jatuh merundum, tiada orang yang ingin membeli produk berkenaan maka bonus pendapatan juga akan berkurangan.

Dan kesudahannya,Kereta mewah entah kemana, insentif rumah hilang ntah kemana? Ini semua kerana tiada pengetahuan yang cukup untuk menjaga dan mengembangkan kekayaan yang pernah dikecapi.

Pendapatan bonus bulanan jika dapat puluhan ribu dan dibelanjakan dengan puluhan ribu juga sebenarnya tidak memberi sebarang makna. Keadaannya hampir sama dengan mereka yang berpendapatan RM 500.00 sebulan. Dapat RM 500 belanja RM 1000. Jadi apa bezanya…

Salam Kekayaan,

Thinkerich

JANGAN KECEWA….

Salam pembaca sekalian.

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini artikel pada blog ini. Saya mohon maaf kerana sejak akhir-akhir ini saya agak terikat dengan rutin harian saya yang lain. Namun begitu harapan saya anda semuanya jangan berada dalam keadaan kecewa. Ya, jangan kecewa….

Terlalu ramai orang di dunia ini memilih untuk kecewa sebaik sahaja mengalami sesuatu yang tidak memenuhi keinginan dan impian mereka. Mengapa berlaku perkara sebegini? Jawapannya cukup mudah! Kerana anda sendiri memilih untuk mewujudkan perasaan kecewa di dalam fikiran dan emosi anda. Kebanyakan mereka yang berpegang kepada keadaan ini adalah mereka yang berada di dalam kerugian. Apakah yang anda dapat jika anda membiarkan perasaan kecewa menguasai anda? Tiada apa-apa bukan selain anda merasakan diri anda sungguh teruk dan menyebabkan fizikal anda tidak bermaya, emosi tidak menentu dan fikiran kacau!

Tahukah anda bahawa perasaan kecewa itu bukanlah sesuatu yang semestinya wujud dalam diri anda? Sebenarnya anda boleh melupakan sahaja kekecewaan anda itu dan mewujudkan perkara yang sebaliknya tetapi kerana anda membenarkannya maka ianya menguasai diri anda. Jadi mulai sekarang jika anda merasa kecewa dengan sesuatu yang berlaku, ubah emosi dan fikiran anda pada perkara yang membantu untuk mewujudkan kegembiraan untuk anda. Biarkan kekecewaan itu berlalu. Kata orang usah dikenang perkara yang berlalu….

Adalah jauh lebih baik kita fikirkan apa yang patut kita lakukan untuk masa yang mendatang.

Salam kekayaan,

Thinkerich

BERHATI-HATI JIKA INGIN KAYA…!

Salam kepada pembaca blog. Agak lama saya tidak update kandungan blog ini. Saya mohon maaf, kerana agak sibuk kebelakangan ini dengan rutin harian. Baiklah kali ini, saya ingin berkongsi dengan anda satu lagi tips yang sangat menarik.

Selepas makan tengahari tadi, saya telah dihubungi oleh rakan karib saya. Sudah agak lama beliau tidak menghubungi saya. Namun kali ini saya agak terkejut dengan nada suara ghairah beliau. “Berita baik dan luarbiasa! Jadilah orang terawal meyertai program ini” Itulah ungkapan yang keluar dari mulut beliau, “peluang ini tidak boleh dilepaskan oleh sesiapa sahaja jika mahu menjadi kaya.”

“Keluarkan wang RM 5,000.00, dan dapatkan seramai mungkin rakan-rakan untuk menyertai program ini! Dan dalam masa sebulan dari sekarang anda akan mendapat sebuah kereta BMW !”

Wah..wahh.wahhh…! hebat sungguh bunyinya dan saya percaya mereka yang tidak pernah berhadapan dengan Skim Cepat Kaya, Skim Piramid, Binari dan Pelaburan Internet pasti teruja dengan pulangan yang dijanjikan. Malangnya ada juga mereka yang pernah terkena atau menjadi mangsa penipuan pada skim sebelum ini masih terpengaruh. Nasihat saya kepada rakan saya dan semua agar hentikanlah dalam melakukan perkara-perkara sebegini. Sudahlah dan hentikanlah kepercayaan karut anda untuk menjadi kaya dengan cepat. Jika anda semua masih lagi dihampiri dengan mereka yang bermulut manis dan bercakap berdegar-degar tentang pulangan yang singkat, saya nasihatkan sekali lagi agar lari jauh-jauh. Bawa-bawalah untuk berfikir secara waras. Tiada sesiapa pun yang sudi berkongsi keuntungan dan kekayaan dengan anda.

Mereka mempelawa anda dengan nada ‘berkongsi’ tetapi jauh di lubuk hati mereka tidak lain hanya semata-mata untuk mendapatkan komisen hasil daripada wang yang anda keluarkan dan peserta lain di bawah mereka. Last-last mereka yang terdahulu juga untung. Yang menyertainya kemudian sekadar berputih mata dan hanya mampu mengigi jari. BMW ntah kemana, wang simpanan pun hangus begitu sahaja.

Jadi nasihat saya jika anda ingin menjadi kaya tambahkan pengetahuan kewangan anda. Belajar bagaimana kekayaan sebenarnya boleh diperolehi daripada mereka yang telah menjadi kaya. Jangan sekali-kali belajar daripada mereka yang ‘mengajak anda untuk menjadi kaya!’ Kerana mereka ini tiada lain semata-mata untuk menjadikan anda mangsa pembohongan mereka. Ingatlah bahawa fenomena ‘cepat kaya’ ini akan terus wujud dari masa ke semasa. Cuma gaya dan taktik mereka sahaja yang berbeza dengan kaedah yang lebih licik untuk memperbodohkan kita semua.

Jadi berfikiran ‘kaya’lah selalu dan bukannya ‘cepat kaya!’

Salam kekayaan

Thinkerich

ANDA MESTI….!

Salam ceria buat semua pembaca blog Thinkerich! Kali ini saya akan membicarakan satu pendekatan psikologi yang jarang sekali diberi perhatian oleh kebanyakan kita. Ianya sesuatu yang ‘simple’ tetapi berkuasa…

Saya ingin bertanya kepada anda semua, apa bezanya di antara dua perkataan berikut, Mesti dan Mahu? Baiklah biar saya jelaskan di sini agar anda lebih berhati-hati ketika menggunakan salah satu perkataan berikut. Ada perbezaan yang ketara di antara kedua ayat ini. “Saya mahu menjadi kaya!” dengan “Saya mesti menjadi kaya!” kedua-dua ayat tersebut membawa kepada objektif dan matlamat yang hampir sama. Namun begitu, ianya tidak akan memberi kesan dan tindakan yang sama. Mengapa saya berkata begitu?

Ini kerana boleh dikatakan semua orang mahu menjadi kaya tetapi mereka tidak pula mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencapai matlamat berkenaan. Sebaliknya mereka lebih banyak mencipta alasan di sebalik keinginan mereka itu. Ini dapat dilihat sebaik sahaja mereka menemui rintangan dan kegagalan. Maka tidak hairanlah ada di antaranya terus berhenti dan berputus asa. Berbeza dengan mereka yang ‘mesti’ menjadi kaya kerana mereka meletakkan komitmen dan kesungguhan yang berterusan tidak kira apa pun yang terjadi. Selagi mereka belum berjaya mereka akan teruskan sehingga mereka mencapai impian dan matlamat yang telah ditetapkan.

Jadi untuk itu, saya sarankan anda mulai sekarang anda ‘MESTI’ menggunakan perkataan yang membawa maksud yang lebih berkesan bagi apa sahaja tindakan anda. Ini kerana mereka yang menjadi kaya ialah mereka yang mesti mencapai matlamat kekayaan mereka.

Salam kekayaan,

Thinkerich

-think rich to get rich-

KENAPA MEREKA TIDAK KAYA

Salam bahagia,

Hari ini kita akan mulakan dengan siri pertama, kenapa mereka tidak kaya? Saya menyatakan di sini ‘mereka’ kerana saya tahu para pembaca blog thinkerich semuanya memiliki impian untuk menjadi kaya. Baiklah pada siri pertama ini, saya akan dedahkan kepada anda perkara pertama yang menyebabkan ramai di antara mereka di luar sana tidak kaya. Sebab utamanya ialah mereka tidak mempunyai matlamat yang jelas tentang impian kekayaan mereka.

Apabila ditanya kepada mereka, kenapa ingin menjadi kaya? mereka akan menjawab dengan jawapan yang ringkas dan padat, “memiliki harta dan wang yang banyak…”

Lihat jawapan yang diberi biasanya merujuk kepada sesuatu yang umum. Untuk anda menjadi kaya, perkara pertama yang perlu diberi perhatian di sini ialah matlamat yang khusus. Khusus di sini ialah sesuatu yang dapat dilihat dan dapat dirasai nilainya. Sebagai contoh jika anda inginkan kekayaan berupa wang yang banyak, anda perlu nyatakan jumlahnya secara khusus agar anda dapat mengatur langkah dan mengambil tindakan yang teratur ke arah mencapai tujuan tersebut. Katakan anda ingin mengumpul wang RM 1,000,000.00, ianya sesuatu yang khusus berbanding sekadar menyatakan jawapan seperti wang yang banyak. Jawapan yang cukup subjektif. Bagi sesetengah orang memiliki wang ratusan ribu ringgit sudah cukup banyak bagi mereka tetapi sesetengah orang pula memiliki wang yang berjuta masih belum mencukupi.

Jika anda bermatlamat sekadar ingin kaya dengan wang yang banyak, maka sudah pasti anda tidak akan dapat mencapainya. Sebabnya anda sendiri tidak tahu jumlahnya. Ini dapatlah di samakan dengan situasi seperti berikut, sekiranya anda menaiki teksi dan pemandu teksi bertanyakan kepada anda, “Encik/Cik nak ke mana?” dan anda menjawab ke rumah! Apakah anda fikir pemandu teksi berkenaan dapat membawa anda ke rumah dengan jawapan sebegitu? Sudah pasti tidak!

Jadi mulai saat ini, jika anda ingin menjadi kaya, anda perlu letakkan matlamat anda dengan jelas kerana ianya akan memandu anda ke arah destinasi impian anda. Ingat MATLAMAT yang JELAS dan KHUSUS….

Salam kekayaan,

Thinkerich

-think rich to get rich-